Wednesday, May 28, 2014

Tip Penerbangan Jarak Jauh

Tidak ramai suka jangka masa penerbangan yang lama untuk destinasi jarak jauh. Letih lenguh duduk terperuk di kerusi kecil berjam-jam. Selain itu, akibat tekanan udara berlainan ketika di udara, telinga seperti tersumbat. Di sini dikongsikan beberapa tip mudah untuk bantu anda berasa lebih selesa ketika terperap di dalam penerbangan yang panjang:
1. Pakai pakaian selesa pada hari anda perlu menaiki penerbangan. Tidak perlu bergaya sakan. Pakaian diperbuat daripada kain kapas selesa dan serap peluh. Elak pakaian ketat dan kain keras seperti jeans. Juga kasut tidak ketat dan tapak leper. Berhati-hati kerana perbezaan tekanan udara semasa penerbangan akan buat saiz kaki anda sedikit kembang.
2. Bawa snek walaupun penerbangan ada sedia makanan dan minuman, namun hidangan adalah berjadual. Elakkan 'kebuluran' dengan bawa sedikit snek daripada rumah seperti kekacang, buahan kering sesuai untuk basmi kelaparan ketika di dalam pesawat. Pastikan snek anda diletakkan rapi di dalam plastik ziplock untuk mengekalkan kesegaran makanan.
3. Ada bawa ubat kerana anda mungkin jatuh sakit ketika berada di dalam penerbangan. Bawa semua ubatan yang anda perlu agar tidak terlepas waktu memakan ubatan. Walaupun setiap kapal terbang dilengkapi dengan first aid kit, namun ubatan yang spesifik sudah pastinya tidak ada di dalam kotak itu, jadi, jangan terlupa untuk bawa ubatan anda sendiri.
4. Gajet hiburan untuk elak bosan 'terperangkap di dalam pesawat, habiskan masa anda dengan aktiviti libur seperti tonton filem, main game atau dengar muzik. Ia juga dapat bantu sesetengah orang yang ada sindrom keresahan ketika berada di udara atau di dalam tempat kecil tertutup. Jangan lupa cas gajet anda agar bateri berada di paras maksimum.
5. Kekal segar kerana penerbangan yang lama akan membuatkan muka anda berminyak dan badan berbau lantas membuatkan anda berasa kurang selesa. Bawa barangan penjagaan diri anda di dalam botol-botol bersaiz kecil. Ini dapat membantu anda untuk sentiasa berasa segar sepanjang penerbangan. Facial wipes, breath freshner dan deodorant wajib ada!


Penerbangan jarak jauh tidak akan menjejaskan percutian jika anda tahu cara yang betul untuk menguruskan diri di dalam pesawat.

Tuesday, May 27, 2014

Cara Pilih Agensi Pelancongan

Sekiranya anda memilih untuk melancong dengan menggunakan agensi pelancongan atau travel agent, pastikan anda memilih dengan bijak. Kepakaran setiap agensi adalah berbeza bagi memenuhi kehendak anda sebagai pelancong, pelanggan dan pengguna.
Di sini disenaraikan beberapa petua secara ringkas yang boleh dikongsi:

1. Buat sedikit kajian perbandingan harga pakej yang ditawarkan. Pada kebiasaannya harga berubah mengikut musim dan jenis pakej yang dipilih. Perlu diingat yang terendah bukanlah yang terbaik. Pastikan ia juga selaras dengan bajet anda.

2. Selidiki latar belakang agensi, lesen berdaftar Kementerian Pelancongan serta permit Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang sah. Ia adalah sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan anda ditipu, hilang wang deposit dan sebagainya.

3. Rujuk tarikh dan kadar harga syarikat penerbangan selain jenis perjalanan jika pakej yang dipilih termasuk tiket penerbangan. Setiap syarikat penerbangan mungkin menyediakan perkhidmatan yang berbeza atau ada kos-kos tambahan lain.

4. Ambil tahu tentang hotel penginapan yang disediakan oleh agensi pelancongan itu termasuk alamat, lokasi, kadar penginapan, makanan dan sebagainya. Ia akan menunjukkan harga pakej pelancongan anda secara umum.

5. Kenal pasti cara bayaran yang boleh dibuat kepada agensi pelancongan sama ada hanya guna wang tunai, cek, kad kredit atau bayaran online. Sebaiknya pilih kad kredit kerana lebih selamat dan bayaran akan ditolak sebaik menaiki kapal terbang.

6. Pastikan tiada bayaran tambahan atau kos tersembunyi yang dikenakan. Ini adalah kes yang selalu berlaku apabila anda mungkin dikenakan banyak caj tambahan yang tersembunyi. Maka berhati-hatilah sebelum membuat sebarang keputusan.


                                         
Pilih agensi pelancongan yang berwibawa bakal menjadikan pakej percutian anda lebih unik.

Monday, May 26, 2014

Tip Menginap di Hotel

Tidak kira anda menginap di hotel bertaraf 5 bintang atau hotel bajet tanpa bintang, aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan setiap pelancong sama ada secara individu, berkumpulan, atau mengikuti pakej agensi pelancongan.

Anda kena ingat bahawa anda bukan berada di rumah sendiri tetapi menumpang untuk tempoh sementara waktu dan selalu mengambil langkah-langkah pencegahan agar percutian anda tidak terjejas seperti berikut:

1. Sentiasa beringat selalu untuk menguncikan pintu bilik hotel anda sama ada ketika anda masih berada di dalam bilik atau keluar walaupun hanya untuk seketika waktu; atau jika tidak mahu bilik anda dikemas sila letak tanda 'Jangan Ganggu' atau 'Do Not Disturb' di tombol pintu masuk bilik anda.

2. Pastikan barang-barang berharga terutaman pasport sudah disimpan rapi jika anda ingin meninggalkannya di dalam bilik. Sebaik-baiknya gunakan peti besi yang ada disediakan di kebanyakan hotel; atau simpannya di dalam beg bagasi anda dan kemudian dikunci dengan mangga.

3. Sebaik tiba di bilik selepas daftar masuk, terus periksa di mana kedudukan pintu kebakaran dan tangga kecemasan yang di silingnya dipasang papan tanda KELUAR atau EXIT berwarna HIJAU bagi memudahkan anda menyelamatkan diri sekiranya sesuatu yang buruk atau kecemasan berlaku.

4. Sekiranya anda ingin berjumpa dengan seseorang yang anda sendiri pun tidak kenali dan menetapkan temu janji itu pula di hotel, jadikan lobi ruang legar atau restoran atau kafe hotel yang sentiasa ada ramai orang lalu-lalang sebagai tempat ideal untuk pertemuan tersebut.


Penginapan di hotel yang selesa menjadikan percutian anda lebih selamat. 

Sunday, May 25, 2014

Petua Ketika Melancong

Jika anda memilih agensi pelancongan tempatan untuk ke luar negara, ia menjadi tanggungjawab agensi itu untuk memberi tip-tip bagi pelanggan yang ingin ke negara asing.

Keselamatan pelanggan sentiasa menjadi tumpuan utama namun kadangkala berlaku juga kelalaian disebabkan tiada pengetahuan dan pengalaman pelanggan terbabit.

Berikut disenaraikan beberapa panduan mudah yang mungkin boleh membantu anda berdasarkan pengalaman untuk kita bersama-sama selamat pergi dan pulang:
1. Pastikan anda memiliki pasport antarabangsa atau/dan dokumen perjalanan seperti visa yang sah serta belum lagi tamat tempoh.

2. Sentiasa memerhatikan keadaan bagasi dan beg anda sepanjang sesi lawatan khususnya di sekitar lapangan terbang atau di dalam bas persiaran.

3. Ketika mahu mengambil bagasi di conveyor, tunggu bagasi anda di bahagian keluar bagasi bagi mengelakkan bagasi anda tertukar atau dicuri.

4. Periksa bagasi dalam keadaan sebaiknya. Jika terbuka atau tidak seperti asal, pastikan tiada bendasing di dalamnya atau dapatkan bantuan ketua rombongan atau pihak berkuasa.

5. Sentiasa ada tag nama atau kad nama ketua rombongan atau kad nama hotel sepanjang lawatan. Ia tercatat nombor kecemasan seperti pemandu pelancong dan Kedutaan Malaysia negara terbabit.

6. Bawa dan simpan salinan pasport, kad pengenalan dan kad kredit/ATM di tempat selamat (dalam bagasi/tas tangan) agar boleh jadi rujukan jika barang asal itu hilang.

7. Anda digalakkan membawa sedikit sahaja wang tunai kerana bimbang disamun dan sebaiknya gunakan kad kredit atau cek kembara.

8. Gunakan push-bag atau money belt bagi menyimpan barangan berharga anda ketika keluar lawatan atau sesi membeli-belah.

9. Pertimbangkan untuk membawa satu lagi dompet tambahan yang cuma diisi sedikit wang tunai sebagai umpan kerana cara ini boleh berkesan jika anda dirompak atau dicuri penyeluk saku.

10. Jangan menumpang kenderaan sembarangan, sebaliknya gunakan bas persiaran yang telah disediakan atau teksi rasmi jika keluar selepas waktu lawatan. Dapatkan maklumat lanjut tentang kenderaan awam di situ daripada pemandu pelancong, ketua rombongan atau pihak hotel.


                                  
Aktiviti pelancongan akan lebih menarik jika anda tahu aspek keselamatan semasa dalam perjalanan.

Saturday, May 24, 2014

Usah Terlalu Tonjol Diri

Bagi yang kali pertama melancong tidak kira dalam negara apatah lagi ke luar negara, tip mudah: Jangan terlalu menonjolkan diri anda di tempat awam sebagai pelancong; khususnya di negara asing yang diketahui kadar jenayahnya agak ketara. Berikut tip-tip ringkas untuk panduan anda:

1. Jika anda tidak tahu ke destinasi mana hendak dituju dan kebetulan perlu melihat peta walaupun guna gajet tablet, jangan terlalu menonjolkan perbuatan tersebut dan cuba cari tempat yang kurang orang seperti di dalam kafe atau pondok telefon awam.

2. Pakailah pakaian yang biasa dan tidak terlalu nampak jauh berbeza daripada penampilan penduduk tempatan dan bukan ketara lagaknya ala pelancong Mat Saleh seperti berbaju corak bunga warna terang diiringi sebuah kamera digantung di leher.

3. Berwaspada selalu sekiranya anda perasan dan menyedari ada seseorang yang asyik memerhatikan gerak-geri perjalanan anda dan jika perlu berjalan di kawasan tidak terlalu sesak ramai orang yang dibimbangi anda menjadi mangsa seluk saku.

4. Elakkan daripada memakai atau menunjuk-nunjuk sebarang barangan kemas walaupun kecil yang mampu membuatkan pencuri atau perompak tidak perlu berfikir dua kali untuk terus menyamun anda, sebaliknya simpan barang kemas tidak perlu di hotel.

5. Cuba sesuaikan diri dengan keadaan sekeliling dan jangan cuba pula berlagak sebagai seorang pelancong, malah anda boleh minta bantuan petugas kaunter hotel mengenai senario tempat anda melancong termasuk adat pantang larang masyarakat setempat.
                                   
Biarlah penampilan diri dan pakaian anda tidak terlalu nampak keterlaluan di tempat awam terbuka.

Friday, May 23, 2014

Apabila Berlaku Kecemasan...

Bukan semua negara yang anda ingin lawati itu berada dalam keadaan aman sentosa, malah ada yang sentiasa bergolak sepanjang masa dan tidak kurang juga yang tiba-tiba boleh pula tercetus kekacauan tanpa sebarang tanda-tanda amaran.
Kebiasaan Wisma Putra iaitu Kementerian Luar Negeri di Putrajaya akan memaklumkan semua pejabat perwakilan Konsulat Malaysia atau Kedutaan Malaysia (bagi negara-negara bukan Komanwel) atau Suruhanjaya Tinggi Malaysia (negara-negara Komanwel).
Memo nasihat perjalanan atau travel adivisory akan segera dikeluarkan tetapi jika anda sudah pun berada di negara tersebut dan kebetulan terperangkap pula dalam insiden kecemasan, berikut disenaraikan antara petua yang boleh dijadikan rujukan:
1. Dapatkan nasihat dan maklumat terkini daripada ketua rombongan anda atau pemandu pelancong atau pun laman internet pihak berkuasa mengenai tahap keselamatan kawasan yang ingin anda lawati sendiri, terutamanya pada waktu malam.

2. Elakkan daripada berjalan kaki secara bersendirian atau melalui kawasan yang sunyi sepi waima pada waktu hari siang, seelok-eloknya biarlah berteman walaupun hanya untuk pergi membeli sedikit makanan ringan dekat hotel penginapan anda.

3. Sekiranya anda dirompak atau diragu
t, elakkan daripada melawan penjenayah itu kerana anda perlu lebih sentiasa ingat nyawa anda adalah lebih berharga berbanding hilang harta benda yang sebenarnya boleh dicari ganti kemudian.

4. Jauhkan diri anda daripada memasuki kawasan larangan atau bahaya berlaku letupan bom, kejadian pergaduhan, pertelingkahan politik, demonstrasi dengan pasukan polis pencegah rusuhan atau tunjuk perasaan dengan serta-merta.
5. Jika malapetaka bencana alam seperti banjir, tsunami, gempa bumi, angin taufan, puting beliung, ribut pasir, letusan gunung berapi, kebocoran radioaktif dan sebagainya, segera rujuk agensi kecemasan tempatan untuk bantuan pihak kedutaan.
Elak daripada terlibat dalam apa jua konflik yang meletus di negara tempat anda sedang melancong.


Thursday, May 22, 2014

Elak Bosan Dalam Pesawat

Kepada anda yang mungkin jarang menaiki pesawat atau kali pertama mengembara dengan kapal terbang, duduk statik agak lama pasti menjemukan anda. Justeru, sila amalkan beberapa panduan untuk memastikan perjalanan anda tidak bosan apatah lagi jika penerbangan jarak jauh 
1. Bawa buku nota. Masa yang ada di dalam penerbangan boleh diluangkan dengan menulis nota penting di dalam buku anda. Sekiranya anda di dalam perjalanan untuk melancong, masa yang ada boleh diluangkan untuk mentelaah tempat-tempat yang bakal anda lawati setelah sampai ke destinasi. Jika anda terbang untuk tujuan kerja, boleh juga diluangkan masa untuk menyiapkan kerja-kerja yang masih belum selesai.

2. Dapatkan rehat yang cukup. Mengembara ketika badan keletihan terutama selepas sibuk habis kerja amat perlu dielakkan. Badan yang letih akan membuatkan minda anda hilang fokus, maka berlakulah kejadian-kejadian seperti keciciran pasport, tertinggal kapal terbang, mood yang tidak baik dan sebagainya. Pastikan anda mendapat waktu rehat yang secukupnya pada hari sebelum anda menaiki kapal terbang.

3. Berbual santai. Masa yang lama di dalam kapal terbang adalah tempoh waktu yang amat sesuai untuk anda berbual secara santai dengan ahli keluarga, rakan-rakan ataupun sesiapa sahaja yang duduk di sebelah anda. Berbual akan mengelakkan diri anda daripada berasa bosan. Selain itu, ianya juga dapat mengeratkan silaturrahim dan mungkin memberi idea kepada anda sebaik tiba di lapangan terbang.
4. Daftar masuk awal. Satu perjalanan yang baik bermula dengan permulaan baik. Kalau daripada mula sudah kelam kabut, maka keseluruhan perjalanan jadi tidak menentu. Pastikan anda tiba awal di lapangan terbang dan daftar masuk atau check-in bagasi pada waktu yang disarankan dua jam sebelum pelepasan. Ingat biar datang awal daripada bergegas penat jika tiba lewat.
5. Naik taraf tiket anda. Kepada mereka yang ada bajet lebih, menaik taraf tiket perjalanan anda daripada kelas ekonomi kepada kelas pertama akan memastikan keselesaan yang lebih dengan servis yang lebih bagus. Bagi penerbangan jarak jauh, membeli tiket kelas pertama sebenarnya agak berbaloi. Sesekali mahu merasa menaiki kelas pertama, apa salahnya, bukan begitu?



Lebih baik isi masa dengan bersembang sepanjang penerbangan untuk elak aktiviti percutian anda daripada terbiar kosong begitu saja.