Sunday, June 1, 2014

Jadi Pelancong Bijak

Kegiatan pelancongan bukan sekadar terbang ke suatu tempat dan berjalan makan angin. Ada banyak buku di pasaran dan rencana menerusi akhbar, majalah atau Internet bercerita apa yang boleh dan tidak pelancong lakukan.

Namun, lebih mustahak diketahui ialah bagaimana melakukan kegiatan ini secara bijak dan betul. Terdapat beberapa tip mudah yang boleh menukarkan anda untuk menikmati tinggal lebih lama sebagai pelancong di tempat asing.

Justeru jadilah pelancong bijak dengan mengikut beberapa petua mudah ini:

Buat sikit kerja rumah - Sebelum pergi ke sesebuah negara, contohnya Thailand; baca sedikit mengenai fakta umum negara itu termasuk sejarahnya serta tahu secara purata apa yang lelaki dan wanita Thai suka, cara pakaian, makanan, dan maklumat tambahan untuk faedah jangka panjang.

Belajar bahasa asas – Anda tahu serba sedikit ungkapan atau ayat mudah penduduk tempatan agar mereka tidak janggal dengan anda. Percakapan seperti ‘ya’, ‘tidak’, ‘terima kasih’, ‘apa khabar’ membuatkan anda diminati masyarakat tempatan yang pasti sedia layan anda ketika kesusahan.

Cara sapa orang – Sesetengah negara ada ada budaya khusus ketika beri ucapan hello, contohnya China, Korea dan Jepun, mereka tunduk sedikit kepala sebagai tanda menyapa hormat seseorang. Anda kena belajar asas ini walaupun mungkin mudah dan remeh agar tidak nampak seperti biadap.

Hormat budaya setempat – Usah perlekeh tradisi atau norma harian tempatan serta anggap standard tamadun anda lebih tinggi kerana ini akan beri persepsi negatif terhadap diri anda. Misalnya di India; gajah, monyet dan lembu dianggap haiwan suci, jadi elak hina simbol masyarakat di situ.

Tanya orang tempatanAda buku panduan atau pemandu pelancong sendiri tidak arif dengan suasana di kawasan pelancongan itu. Jadi lebih baik usah malu bertanya terus kepada penduduk setempat mengenai pengalaman makan, beli-belah dan tempat menarik yang beri anda pengalaman unik.

Rujuk ulasan pelancong – Jika anda kenal sesiapa pernah pergi ke tempat itu, dapatkan maklumat daripada mereka, selain pendapat dan komen jujur pelancong itu kerana ada kala lebih baik daripada buku pelancongan yang berat sebelah hanya paparkan benda baik atau mungkin buruk sahaja.

Belajar serba sedikit maklumat asas mengenai tempat anda pergi melancong menjadikan anda lebih bijak merancang percutian.

Saturday, May 31, 2014

Urus Bayi Kecil Waktu Cuti

Berlibur bersama-sama ahli keluarga merupakan kaedah terapi terbaik bagi anda menikmati saat-saat indah yang tidak dapat dilupakan bagi ibu bapa yang berkerjaya. Namun bagi pasangan yang mempunyai anak kecil, percutian pasti tidak semudah seperti yang dirancang dengan orang dewasa.

Sesetengah bayi atau kanak-kanak mudah diuruskan tetapi ada juga anak-anak yang lasak dan sukar untuk dikawal ketika bercuti. Langkah terbaik ialah buat persiapan awal dan perancangan kreatif untuk menguruskan bayi tanpa menjejaskan mood percutian seperti berikut:

1. Beg lampin – Kain lampin sama ada pakai buang atau tidak, kain lap, plastik sampah dan bedak perlu diasingkan dalam beg bersaiz kecil serta perlu diletakkan di tempat yang mudah dicapai terutama ketika anda ingin menukar lampin bayi apabila anak kecil itu membuang air besar.

2. Pemilihan makanan – Snek ringan merupakan makanan terbaik untuk anak kecil sewaktu bercuti, pemilihan menu pula perlu mempunyai kandungan zat  protein yang tinggi seperti kekacang yang memberi tenaga ketika bergerak jauh, namun ibu bapa juga dapat menikmati makanan bersama anak-anak sekali gus menjimatkan bajet.

3. Barang permainan – Alat-alat mainan kanak-kanak ialah peralatan penting yang perlu dibawa, sebaiknya ibu bapa membeli permainan baharu kerana ia merupakan cara terbaik untuk membuatkan anak-anak berasa teruja dengan permainan tersebut tanpa mengganggu mood anda.

4. Beg sandang – Bagi ibu bapa yang membawa anak berusia kurang setahun, beg sandang bayi merupakan kelengkapan praktikal untuk dibawa selain kereta sorong bayi kerana ia memudahkan pergerakan tanpa sebarang batasan tidak kira di kawasan bandar, taman rekreasi atau kawasan berbukit.

5. Pakaian sesuai – Pemilihan pakaian yang mudah dan ringkas dapat memendekkan masa anda ketika menguruskan anak-anak. Bagi bayi perempuan, seluar ketat ialah pilihan untuk menyenangkan anda menukar lampin tanpa buka stoking dan bayi lelaki sebaiknya seluar paras lutut untuk beri keselesaan.

 

Membawa anak bersama pergi melancong bukan sahaja mengeratkan kasih sayang malah mendidik anak kepada pengetahuan dunia baru.

Friday, May 30, 2014

Awas Penyeluk Saku!

Usah pandang remeh gejala seluk saku khasnya ketika melancong di Eropah kerana penjenayah profesional ini memiliki kemahiran cukup tinggi malah lebih hebat daripada ahli silap mata sendiri jika anda leka seketika.

Berikut disenaraikan beberapa panduan umum bagi memastikan anda bukan mangsa terbaharu penyeluk saku licik ini yang amat aktif di Eropah dan menjadikan pelancong asing sebagai sasaran mudah utama mereka:

* Penyeluk saku biasanya bergerak secara berkumpulan, dengan seorang akan cuba mengalihkan tumpuan anda dan seorang lagi akan kebas dompet atau barang berharga anda dalam beg galas, manakala ramai ladi ‘pelakon tambahan’ berada di sekeliling anda berpura-pura bersembang.

* Tempat tumpuan orang ramai adalah fokus sasaran iaitu bas, tren LRT atau pasar, bahkan berhati-hati ketika melihat persembahan jalanan atau buskers yang jika ramai orang kerana mungkin penghibur seni itu adalah salah seorang daripada anggota mereka sendiri.

* Kawasan pelancongan yang ada dipasang papan tanda 'Beware of Pickpocket' atau ada pengumuman interkom hebahan awam disebut: 'Please take care of your belongings' sebenarnya adalah kawasan hitam dan banyak jenayah. Anda harus lebih berhati-hati.

* Berwaspada ketika merentasi sempadan antara negara Eropah guna kereta api kerana penyeluk saku sangat aktif, dan jika anda hilang pasport, maka sukar untuk memasuki negara jiran tersebut bagi buat laporan polis terutama jika anda kehilangan semua wang tunai.
 
* Jangan baik hati beri pinjam telefon bimbit anda kepada orang tidak dikenali tetapi jika ada cuba minta walaupun nampak seperti kecemasan, katakan sahaja anda tiada telefon atau tunjuk arah pondok telefon awam.

* Elak terlalu layan orang tempatan yang ingin beramah mesra dengan anda. Ingat anda datang untuk melancong dan jangan layan orang hendak tukar duit kecil kerana mereka boleh buat sendiri di kedai runcit jika beli gula-gula.

* Usah layan orang tidak dikenali beri salam dan hulur tangan. Jawab sahaja salam tanpa jabat tangan. Jika tidak, mungkin jam tangan atau dompet anda lesap. Untuk elak, harus tiada sentuhan badan dengan penyeluk saku.

* Jika menaiki kereta api atau bas awam, jangan letak beg berisi barang berharga di rak atas kepala dan jika mahu tidur, jangan semua ahli kumpulan anda tidur serentak tetapi salah seorang perlu berjaga.

* Tidak ada polis berpakaian preman di Eropah yang ‘rajin’ periksa pasport, dompet atau b
eg anda, sebaliknya itu adalah penyeluk saku yang berlakon kononnya dia anggota polis dan tunjuk kad kuasa palsu.

* Kaji indeks jenayah di tempat yang anda ingin lawat dengan rujuk laman Tripadvisor; dan jika mahu masuk taman tema contohnya, beli tiket di kaunter khas bukan dari individu yang tawar harga murah kepada anda.

* Elak beli cenderamata dari individu tepi jalan; anda mungkin ditahan polis sebab beli barang curi; dan usah bersedekah kepada pengemis kerana di sekitarnya ada ramai penyeluk saku sedang memerhati.
 

Anda perlu waspada dengan keadaan sekeliling dan menjaga barangan berharga daripada lesap menjadi sasaran penyeluk saku.

Thursday, May 29, 2014

Sebaik Pesawat Mendarat

Ada perbezaan prosedur apabila tiba di lapangan terbang jika anda melancong di luar negara atau dalam negara sendiri. Namun prosesnya adalah mudah jika semua berjalan lancar dan anda boleh melancong dengan gembira tanpa masalah. Ikuti panduan ringkas di bawah:

* Apabila kapal terbang telah selamat mendarat, jangan lupa mengambil bagasi anda jika diletakkan di ruang atas kepala atau depan tempat duduk anda dan dengar arahan pramugari yang akan memberi tunjuk arah pintu keluar dari pesawat sama anda menerusi tangga atau jambatan udara.

* Ikut pergerakan penumpang lain tertib berjalan kaki dalam barisan menuju ke bangunan terminal dewan ketibaan. Sekiranya anda mempunyai bagasi tambahan yang disimpan dalam ruangan kargo pesawat tadi, sila segera terus pergi ke kawasan conveyer pengambilan beg. 

* Ambil bagasi anda dan pastikan ia betul milik anda dan bukan penumpang lain, kemudian boleh bergerak ke pintu keluar. Jika anda memerlukan perkhidmatan teksi atau kereta sewa, sila buat tempahan di kaunter-kaunter yang terdapat dalam perjalanan ke arah pintu keluar dewan ketibaan.

* Bagi penerbangan antarabangsa, setibanya di lapangan terbang selepas mengambil bagasi, anda perlu pula melalui lorong pemeriksaan pihak imigresen untuk pengesahan pasport dan kemudian kastam untuk pengimbasan bagasi sebelum anda dibenarkan keluar.

* Ada pihak penguat kuasa sesetengah lapangan terbang akan meminta untuk memeriksa isi kandungan bagasi anda. Jangan panik, biarkan mereka melakukan kerja itu dan hanya perlu jawab jika ada kemusykilan contohnya sambal belacan yang mungkin disangka sebagai dadah!

Nota: Jika anda pergi berkumpulan menerusi pakej percutian tertentu, anda akan disambut oleh wakil agensi pelancongan tempatan di ruang menunggu di luar dewan ketibaan sebelum dibawa menaiki van atau bas persiaran.

Aktiviti pelancongan secara rasmi dianggap bermula sebaik anda melepasi proses pemeriksaan di dewan ketibaan lapangan terbang.

Wednesday, May 28, 2014

Tip Penerbangan Jarak Jauh

Tidak ramai suka jangka masa penerbangan yang lama untuk destinasi jarak jauh. Letih lenguh duduk terperuk di kerusi kecil berjam-jam. Selain itu, akibat tekanan udara berlainan ketika di udara, telinga seperti tersumbat. Di sini dikongsikan beberapa tip mudah untuk bantu anda berasa lebih selesa ketika terperap di dalam penerbangan yang panjang:
1. Pakai pakaian selesa pada hari anda perlu menaiki penerbangan. Tidak perlu bergaya sakan. Pakaian diperbuat daripada kain kapas selesa dan serap peluh. Elak pakaian ketat dan kain keras seperti jeans. Juga kasut tidak ketat dan tapak leper. Berhati-hati kerana perbezaan tekanan udara semasa penerbangan akan buat saiz kaki anda sedikit kembang.
2. Bawa snek walaupun penerbangan ada sedia makanan dan minuman, namun hidangan adalah berjadual. Elakkan 'kebuluran' dengan bawa sedikit snek daripada rumah seperti kekacang, buahan kering sesuai untuk basmi kelaparan ketika di dalam pesawat. Pastikan snek anda diletakkan rapi di dalam plastik ziplock untuk mengekalkan kesegaran makanan.
3. Ada bawa ubat kerana anda mungkin jatuh sakit ketika berada di dalam penerbangan. Bawa semua ubatan yang anda perlu agar tidak terlepas waktu memakan ubatan. Walaupun setiap kapal terbang dilengkapi dengan first aid kit, namun ubatan yang spesifik sudah pastinya tidak ada di dalam kotak itu, jadi, jangan terlupa untuk bawa ubatan anda sendiri.
4. Gajet hiburan untuk elak bosan 'terperangkap di dalam pesawat, habiskan masa anda dengan aktiviti libur seperti tonton filem, main game atau dengar muzik. Ia juga dapat bantu sesetengah orang yang ada sindrom keresahan ketika berada di udara atau di dalam tempat kecil tertutup. Jangan lupa cas gajet anda agar bateri berada di paras maksimum.
5. Kekal segar kerana penerbangan yang lama akan membuatkan muka anda berminyak dan badan berbau lantas membuatkan anda berasa kurang selesa. Bawa barangan penjagaan diri anda di dalam botol-botol bersaiz kecil. Ini dapat membantu anda untuk sentiasa berasa segar sepanjang penerbangan. Facial wipes, breath freshner dan deodorant wajib ada!


Penerbangan jarak jauh tidak akan menjejaskan percutian jika anda tahu cara yang betul untuk menguruskan diri di dalam pesawat.

Tuesday, May 27, 2014

Cara Pilih Agensi Pelancongan

Sekiranya anda memilih untuk melancong dengan menggunakan agensi pelancongan atau travel agent, pastikan anda memilih dengan bijak. Kepakaran setiap agensi adalah berbeza bagi memenuhi kehendak anda sebagai pelancong, pelanggan dan pengguna.
Di sini disenaraikan beberapa petua secara ringkas yang boleh dikongsi:

1. Buat sedikit kajian perbandingan harga pakej yang ditawarkan. Pada kebiasaannya harga berubah mengikut musim dan jenis pakej yang dipilih. Perlu diingat yang terendah bukanlah yang terbaik. Pastikan ia juga selaras dengan bajet anda.

2. Selidiki latar belakang agensi, lesen berdaftar Kementerian Pelancongan serta permit Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang sah. Ia adalah sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan anda ditipu, hilang wang deposit dan sebagainya.

3. Rujuk tarikh dan kadar harga syarikat penerbangan selain jenis perjalanan jika pakej yang dipilih termasuk tiket penerbangan. Setiap syarikat penerbangan mungkin menyediakan perkhidmatan yang berbeza atau ada kos-kos tambahan lain.

4. Ambil tahu tentang hotel penginapan yang disediakan oleh agensi pelancongan itu termasuk alamat, lokasi, kadar penginapan, makanan dan sebagainya. Ia akan menunjukkan harga pakej pelancongan anda secara umum.

5. Kenal pasti cara bayaran yang boleh dibuat kepada agensi pelancongan sama ada hanya guna wang tunai, cek, kad kredit atau bayaran online. Sebaiknya pilih kad kredit kerana lebih selamat dan bayaran akan ditolak sebaik menaiki kapal terbang.

6. Pastikan tiada bayaran tambahan atau kos tersembunyi yang dikenakan. Ini adalah kes yang selalu berlaku apabila anda mungkin dikenakan banyak caj tambahan yang tersembunyi. Maka berhati-hatilah sebelum membuat sebarang keputusan.


                                         
Pilih agensi pelancongan yang berwibawa bakal menjadikan pakej percutian anda lebih unik.

Monday, May 26, 2014

Tip Menginap di Hotel

Tidak kira anda menginap di hotel bertaraf 5 bintang atau hotel bajet tanpa bintang, aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan setiap pelancong sama ada secara individu, berkumpulan, atau mengikuti pakej agensi pelancongan.

Anda kena ingat bahawa anda bukan berada di rumah sendiri tetapi menumpang untuk tempoh sementara waktu dan selalu mengambil langkah-langkah pencegahan agar percutian anda tidak terjejas seperti berikut:

1. Sentiasa beringat selalu untuk menguncikan pintu bilik hotel anda sama ada ketika anda masih berada di dalam bilik atau keluar walaupun hanya untuk seketika waktu; atau jika tidak mahu bilik anda dikemas sila letak tanda 'Jangan Ganggu' atau 'Do Not Disturb' di tombol pintu masuk bilik anda.

2. Pastikan barang-barang berharga terutaman pasport sudah disimpan rapi jika anda ingin meninggalkannya di dalam bilik. Sebaik-baiknya gunakan peti besi yang ada disediakan di kebanyakan hotel; atau simpannya di dalam beg bagasi anda dan kemudian dikunci dengan mangga.

3. Sebaik tiba di bilik selepas daftar masuk, terus periksa di mana kedudukan pintu kebakaran dan tangga kecemasan yang di silingnya dipasang papan tanda KELUAR atau EXIT berwarna HIJAU bagi memudahkan anda menyelamatkan diri sekiranya sesuatu yang buruk atau kecemasan berlaku.

4. Sekiranya anda ingin berjumpa dengan seseorang yang anda sendiri pun tidak kenali dan menetapkan temu janji itu pula di hotel, jadikan lobi ruang legar atau restoran atau kafe hotel yang sentiasa ada ramai orang lalu-lalang sebagai tempat ideal untuk pertemuan tersebut.


Penginapan di hotel yang selesa menjadikan percutian anda lebih selamat.