Saturday, June 14, 2014

Pelancongan Penjara Unik

Selain pelancongan seram iaitu cuti di kawasan hantu, kegiatan pelancongan penjara kian popular bagi pelancong yang mahu jelajah di sebalik tirai besi terkenal serata dunia. Mungkin penjenayah profil tinggi pernah jadi banduan di penjara itu dan kini ia dianggap tarikan pelancong popular. Berikut 10 penjara ternama pilihan pelancong antarabangsa:

Alcatraz, San Francisco, Amerika Syarikat – Juga disebut The Rock kerana terletak di pulau berbatu, ia penjara kerajaan sejak 1934 sebelum ditutup pada 1963. Penjara kawalan ketat dikelilingi laut sukar untuk banduan melarikan diri kemudian sering jadi lokasi penggambaran filem dan kini, anda perlu tempah lebih awal jika mahu melancong ke sini.

Old Melbourne Gaol, Melbourne, Australia -  Dibuka pada 1845, ia dijadikan muzium pada 1957 oleh National Trust Australia, sebuah badan warisan sejarah. Penjara ini menjadi tarikan pelancong kerana dilaporkan berhantu oleh penggemar aktiviti paranormal namun kini popular untuk pelbagai acara persendirian seperti parti hari jadi dan majlis perkahwinan.

Kalapani Cellular Jail, Andaman Islands, India – Pernah dijadikan penjara khas untuk tahanan politik ketika era penjajahan British antara 1896 sehingga 1906. Kemudian selepas India merdeka, penjara dekat pulau peranginan popular Nicobar ini diubah sebagai sebuah memorial kebangsaan sejak 1969 dan menjadi tarikan utama kedatangan pelancong asing.

Kilmainham Gaol, Dublin, Ireland – Mula dibina pada 1796, ia menjadi tempat kurungan dan hukuman untuk ramai pemimpin terkenal Ireland pada zaman dahulu. Pada pertengahan 1980-an, kerajaan Ireland menukar kepada muzium tetapi senibina bangunan penjara ini popular sebagai lokasi pembikinan filem terkenal The Shawshank Redemption dan The Italian Job.

Hoa Lo Prison, Hanoi, Vietnam – Bererti lubang neraka, ia dibina penjajah Perancis pada 1888 untuk banduan aktivis politik kemerdekaan Vietnam. Pertengahan 1990-an, sebahagian penjara dijadikan muzium termasuk bilik pancung kepala lengkap dengan peralatan asal, manakala sebahagian lagi jadi hotel apartmen 25 tingkat dan beberapa kompleks beli-belah.

Ottawa Jail Hostel, Ottawa, Kanada – Asalnya bernama Carleton County Gaol kini sebuah hostel diuruskan oleh Hostelling International. Penjara 4 tingkat terletak di pusat bandar ibu negara Kanada ini dibina pada 1862 dan warden dilaporkan sering melihat roh hantu ramai banduan yang gantung bunuh diri sehingga 1972 apabila ia diubah menjadi sebuah hostel.

Karosta Prison, Liepaja, Latvia -  Dibina antara 1890 hingga 1906, ia merupakan sebuah penjara pelabuhan terletak dalam kawasan pangkalan tentera laut  Rusia ketika pemerintahan Tsar Alexander III. Penjara 2 tingkat ini ditukar kepada sebuah galeri iaitu K@2 Artist Center dan menjadi tumpuan pelukis antarabangsa dan pelancong asing menikmati panorama indah laut.

Port Arthur, Tasmania, Australia – Mulanya ia sebuah stesen kayu balak sebelum menjadi penjara pada 1830 dan berkembang sebagai bandar kecil untuk ribuan pesalah diasingkan dalam pulau Tasmania. Pada 1970-an, Perkhidmatan Hidupan Liar dan Taman Negara menguruskan kawasan ini menjadi tapak bersejarah yang menarik pelancong asing.

Seodaemun Prison, Seoul, Korea Selatan – Dibuka pada 1908 semasa penaklukan Jepun, ia menjadi penjara untuk aktivis antipenjajah. Apabila Korea Selatan merdeka pada 1945, ia masih lagi penjara untuk banduan biasa sehingga 1992 ditukar menjadi Taman Sejarah Penjara Seodaemun untuk tarikan pelancong antarabangsa dan tempatan.

Eastern State Penitentiary, Philadelphia, Amerika Syarikat – Juga disebut ESP, ia dibuka pada 1829 sehingga 1971 dalam kawasan seluas 11 ekar. Rekabentuk macam mahligai lama jadikan ia popular untuk penggambaran drama siri TV, filem malah permainan komputer. Kerajaan menjadikan ia mercu tanda sejarah sejak 1965 bagi memulihara warisan negara.
Bekas tapak penjara terkenal yang pernah mengurung banduan profil tinggi kini popular menjadi tarikan pelancong asing.

Wednesday, June 11, 2014

Negara Popular Pelancongan

Statistik dikeluarkan Pertubuhan Pelancongan Sedunia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) menganggarkan lebih 1.03 bilion pelancong menghabiskan percutian di seluruh dunia sepanjang 2012, naik 4 peratus berbanding tempoh yang sama bagi 2011.
Untuk rantau Asia Pasifik, hampir 250 juta pelancong direkodkan pada 2012, iaitu bertambah sebanyak 7 peratus daripada tempoh sama tahun 2011.
Jika anda berhajat mahu melancong ke luar negara, berikut 10 buah negara paling ramai dikunjungi pelancong antarabangsa pada 2012:
1. Perancis                            =       83.0 juta
2. Amerika Syarikat              =      67.0 juta
3. China                                 =       57.7 juta
4. Sepanyol                          =        57.0 juta
5. Itali                                      =       46.4 juta
6. Turki                                   =       35.7 juta
7. Jerman                              =       30.4 juta
8. Britain                                =       29.3 juta
9. Rusia                                 =        25.7 juta
10. Malaysia                          =       25.0 juta
Keunikan Menara Eiffel di kota Paris menjadi antara lokasi wajib popular ramai pelancong asing ke Perancis.

Tuesday, June 10, 2014

Bercuti Ketika Hamil

Bukan halangan besar untuk wanita mengandung dalam menjalani kehidupan normal kerana kehamilan adalah anugerah Tuhan kepada setiap insan yang kali pertama bakal bergelar ibu. Namun sebenarnya bukan mudah untuk membawa perut yang memboyot selama 9 bulan pergi melancong.
Apatah lagi sarat hamil ketika anda sibuk melancong bersama-sama keluarga, ia memerlukan beberapa tip mudah cara menghabiskan aktiviti percutian dengan sempurna dan selesa terutama bagi pasangan baru berkahwin yang tiada pengalaman.
·     Kurangkan aktiviti fizikal sepanjang percutian sebaliknya ambil peluang pelancongan itu untuk merehatkan diri seperti memanjakan tubuh badan di spa atau membaca buku di tepi pantai.
·        Jika perjalanan anda melibatkan penerbangan dalam tempoh yang lama, pastikan anda melakukan senaman ringan seperti berjalan setiap sejam untuk memastikan pengaliran darah sempurna.
·   Bawalah snek atau kudapan ringan untuk menenangkan diri kerana bimbang tekak anda mungkin terasa loya sepanjang perjalanan jauh dan ketika bercuti di tempat yang ramai orang.
·     Hindari daripada kegiatan riadah yang boleh menyebabkan anda jatuh cedera seperti mandi di kawasan air terjun atau aktiviti pantai lasak yang memerlukan lebih daya tenaga badan.
·   Jangan sesekali berasa malu untuk merakamkan momen detik indah diri sendiri bersama keluarga ketika bercuti yang boleh ditunjukkan kepada anak anda selepas dia selamat dilahirkan.

·   Pastikan kelengkapan pakaian yang selesa dan cukup dibawa bersama selain ubat-ubatan atau suplemen tambahan untuk kesihatan diri anda dan juga anak dalam kandungan.
Aktiviti santai sangat sesuai untuk wanita yang bakal bergelar ibu pergi melancong bersama keluarga dengan selesa.

Thursday, June 5, 2014

Kembara Kereta Api

Melancong kereta api popular di benua Eropah selain Amerika Syarikat, Australia dan India. Di Malaysia, perkhidmatan kereta api khas Eastern & Oriental antara Singapura dan Bangkok juga digemari pelancong yang mahu menikmati panorama semula jadi sepanjang laluan.

Ada jenis moden berkelajuan tinggi setanding kapal terbang tetapi kebanyakan pelancong memilih jenis konvensional lengkap dengan layanan istimewa dan pengalaman unik. Berikut panduan untuk anda yang mahu mengembara dengan kereta api sebagai rujukan:

Semak jadual – Walaupun beli tiket awal, periksa teliti jadual perjalanan berlepas dengan pihak stesen kereta api dan pastikan anda memilih kereta api yang betul untuk anda dapat rancang pergerakan dari rumah atau hotel.

Bagasi ringan – Sesuai untuk gerabak sempit boleh diletak di bawah kerusi bagi mudah dicapai apabila tiba di destinasi. Jika gerabak ada katil, beg saiz kecil memadai untuk jimat ruang dan letak barang keperluan peribadi seperti berus gigi di luar beg yang senang dilihat.

Tiba awal – Macam kapal terbang, lebih baik tiba awal di stesen agar anda tidak terlepas gerabak atau keliru platform. Kebanyakan kereta api tidak menunggu penumpang keluar masuk gerabak dan mungkin cuma singgah seketika untuk beberapa minit sebelum bergerak.

Awas pencuri – Jika berkongsi tempat duduk atau katil bertingkat berjiran dengan orang asing, waspada barangan anda. Kunci bagasi dengan mangga dan letak di tempat selamat. Jika berasa bahaya, tidur dengan beg manakala rakan lain bergilir-gilir jaga persekitaran.

Pelihara adab – Anda mungkin menyiku atau bergesel dengan penumpang lain kerana laluan koridor sempit atau kedudukan kerusi kecil. Ucap saja minta maaf atau isyarat bahasa tangan anda tidak sengaja terlanggar mereka. Ia lebih baik daripada bertekak memarahi orang lain.

Cukup rehat – Jika kereta api perjalanan jarak jauh sama ada waktu malam atau siang, cuba rehat cukup termasuk tidur sekejap. Bila badan letih, anda mungkin terlepas stesen sepatutnya kerana tiada siapa akan kejut anda bangun kecuali hebahan pengumuman ketibaan stesen.

Waspada makanan – Kebanyakan kereta api ekspres jarak jauh ada gerabak kafeteria atau kantin. Namun, jika anda tidak selesa dengan menu hidangan atau bimbang makanan cepat habis dijual, bawa bekalan kecemasan seperti biskut, keropok atau buah untuk dikunyah.
Pengalaman menaiki kereta api merentasi banyak negara amat digemari pelancong yang mahu mengembara tanpa mengejar masa.

Wednesday, June 4, 2014

Susun Atur Beg Pakaian

Kerja menyusun banyak pakaian dalam bagasi sama ada percutian lama atau singkat pasti memeningkan kepala jika tidak dilakukan dengan betul apatah lagi jika melibatkan ahli keluarga yang ramai dan pelbagai kerenah.

Berikut disediakan beberapa tip mudah cara ideal untuk anda menyusun segala jenis barangan di dalam ruang sebuah bagasi yang terhad saiz untuk memastikan percutian anda lengkap tanpa masalah kemudian hari:

Semak cuaca – Ini amalam standard pengembara iaitu menyemak status  semasa cuaca tempat anda akan pergi bagi anda tambah atau buang mana-mana pakaian tidak perlu, misalnya jika cuaca meramalkan salji, anda perlu bersedia dengan pakaian tebal sekurang-kurangnya lengkap sepasang.

Pakaian rasmi – Jika anda pergi atas urusan kerja sambil melancong, bawa hanya sehelai pakaian suit, gaun mahal atau blazer tebal itu yang memang akan dipakai untuk program tersebut. Ia boleh dilipat bersama kasut dan diletak bahagian atas sekali agar mudah dicapai sebaik bagasi dibuka.

Barangan diri – Bungkuskan segala barangan penjagaan kesihatan diri dan diasingkan pada tempat berzip dalam ruang bagasi bersama objek kecil lain seperti ubat gigi. Juga pakaian kecil contoh stoking, seluar dalam, baju dalam boleh dilipat dan disimpan di ruang poket luar berzip yang jimat ruang.

Pilih benda penting – Susun pakaian dan barangan yang hanya akan dibawa bercuti dan mengikut tema hari agar anda hanya memakai pakaian ditetapkan untuk sepanjang hari itu. Banyakkan baju T dan seluar kasual sebagai kecemasan untuk anda senang tukar jika pakaian asal basah kotor.

Gajet elektronik – Pengembaraan kini tidak lengkap tanpa alat canggih ini seperti tablet, laptop, ipod, notebook; namun ia perlu disusun dalam satu beg berasingan dan dibawa menaiki kapal terbang. Jangan simpan di dalam bagasi untuk mengelak ia rosak ketika dipunggah muat dalam pesawat.

Ada ruang sikit – Tinggalkan sedikit bahagian dalam bagasi anda kerana mungkin ada barangan menarik yang anda beli semasa bercuti untuk dibawa balik. Jika tidak, anda mungkin terpaksa beli sebuah lagi bagasi tambahan bagi mengisi segala macam barangan yang anda beli itu.
Bukan semua jenis pakaian boleh dimuatkan dalam ruang bagasi yang terhad dan sempit untuk tujuan percutian anda.

Tuesday, June 3, 2014

Alamak Bagasi Hilang

Memang seronok melancong serta dapat kongsi pengalaman menarik bersama ahli keluarga dan rakan. Namun percutian anda mungkin bertukar menjadi memori pahit jika tiba di sesuatu lapangan terbang tanpa bagasi yang sepatunya jadi bekalan sepanjang bercuti.

Apatah lagi sekiranya barangan disimpan di dalam bagasi itu pula merupakan benda keperluan penting yang sukar dicari di tempat lain atau cenderamata kenangan yang anda beli daripada percutian untuk diberi sebagai hadiah kepada insan tersayang atau kenalan.

Kecuali ada tuah nasib baik, hilang bagasi terutama apabila tiba di lapangan terbang jika berlaku bukan sahaja memeningkan anda malah syarikat penerbangan itu kerana menjadi tanggung jawab mereka untuk memastikan setiap bagasi selamat tanpa masalah besar.

Berikut disenaraikan antara langkah-langkah yang boleh diambil sekiranya bagasi anda hilang:

* Secara umum, anda tidak boleh mempersalahkan sepenuhnya syarikat penerbangan kerana mereka mengurus ribuan bagasi dalam satu masa dan kebarangkalian untuk hilang pasti tidak dapat dielakkan sama sekali.

* Kelaziman anda boleh menuntut ganti rugi kecuaian atas kehilangan bagasi tersebut walaupun mungkin amaun pampasan diberi tidak setimpal dengan nilai sentimental barangan yang disimpan di dalam bagasi anda itu.

* Untuk elak kes bagasi hilang, pastikan anda daftar masuk ke kaunter lapangan terbang paling kurang sejam sebelum penerbangan kerana ia waktu selamat beg anda dipunggah betul teratur mengikut kod destinasi pesawat.

* Lekatkan tanda pengenalan unik dan cukup jelas dilihat pada badan bagasi anda seperti tag nama atau riben kerana jika hilang, pihak berkuasa lapangan terbang dapat kesan bagasi itu berdasarkan tanda khas yang anda buat.

* Agensi pelancongan dan syarikat penerbangan ada menawarkan insurans bagasi; dan anda perlu mengambilnya jika berasa barangan di dalam beg itu amat berharga selain memudahkan urusan tuntutan pampasan.

* Jangan sesekali letak barang mudah pecah, ubat sensitif atau gajet mahal bahkan dokumen penting dan barang kemas dalam bagasi tetapi memadai disimpan dalam beg kecil boleh naik terus ke dalam kapal terbang.

* Semakin ringan berat bagasi anda maka semakin kurang risiko peluang bagasi anda hilang, justeru tetapkan beg anda khusus untuk simpan pakaian sahaja dan barangan murah yang jika hilang pun tidak berasa ralat.

Pastikan anda letak tanda pengenalan unik pada bagasi untuk memudahkan ia dikesan sebaik tiba di lapangan terbang.

Monday, June 2, 2014

Canda Pasiran Pantai

Pelancong Barat paling gemar menghabiskan waktu percutian di tepi pantai dengan berkelah atau santai bersama keluarga bagi melarikan diri daripada cuaca sejuk di negara mereka. Namun ada beberapa tip yang boleh dijadikan rujukan untuk memanfaatkan aktiviti pelancongan di pinggir laut.

Sandal – Kasut getah termasuk jenis flip flop atau croc lebih selesa dipakai kerana permukaan pantai berpasir dan mungkin licin selain memudahkan anda berjalan di kawasan air cetek. Ia juga baik untuk kanak-kanak kerana senang ditanggalkan untuk bermain di gigi air.

Cermin mata – Juga dipakai bersama topi cukup untuk memastikan anda tidak kepanasan apatah lagi elak nyahhidrasi atau hilang air dalam badan bagi kanak-kanak. Cermin mata dengan perlindungan UV sesuai ekoran sinaran matahari terik agak bahaya jika tiada penapis di muka.

Krim pelembapAda dipanggil sebagai sunscreen, anda perlu bawa sekurang-kurangnya sebotol jenis minimum SPF 15. Ia wajar disapu pada permukaan kulit untuk elak lapisan luar tubuh jadi merekah terutama jika cuaca terlalu panas terik tanpa ada payung, pokok rendang atau khemah.

Beg kering – Jangan lupa walapun saiz kecil kerana ia boleh mengisi segala barang keperluan anda sekeluarga sebaik-baiknya jenis kalis air agar jika basah terkena hempasan ombak, semua objek di dalam beg itu terutama kamera kecil atau tuala masih selamat dan tidak basah.

Beg simpanan – Bawa bersama sebungkus lagi beg tambahan untuk anda masuk segala pakaian basah selepas mandi atau barang kering yang sudah terkena air laut masin asing daripada beg kering.

Tikar – Jika anda rancang percutian untuk tempoh seharian suntuk lama daripada pagi hingga petang, adalah lebih baik bawa sebidang tikar atau selendang besar untuk dihamparkan di pasir, sekali gus barangan anda terselamat selain anda boleh baring tidur lena tanpa gangguan.

Makanan – Berada di tepi pantai menyebabkan anda mudah cepat lapar dan dahaga. Jadi bawa bersama sedikit makanan ringan dari rumah sama ada dimasak atau snek ringkas seperti biskut dan sandwich yang boleh dikongsi dengan ahli keluarga lain serta rakan-rakan.

Pakaian bersih – Tidak lupa membawa beberapa helai pakaian tambahan walaupun anda tidak mandi pun kerana mungkin baju yang anda pakai itu kotor dan memudahkan anda segera menukarkannya jika berlaku kecemasan tanpa perlu balik ke rumah.

Bersantai di kawasan pasiran pantai adalah jenis pelancongan yang paling jimat kos dan tidak memerlukan banyak tenaga.