Monday, July 7, 2014

Sebelum Keluar Bercuti

Bercuti merupakan satu aktiviti yang paling digemari masyarakat masa ini. Ia bukan sahaja dapat menenangkan fikiran setelah sekian lama 'mengabdikan' diri dengan kerja-kerja pejabat, malah ia memberi peluang kepada anda untuk bersantai bersama ahli-ahli keluarga.
Pada hujung tahun ini adalah waktu yang sesuai untuk pergi bercuti sementelah cuti sekolah yang panjang, cuti umum dan ada yang ingin menghabiskan cuti tahunan yang perlu dihabiskan sebelum tahun baru.
Bagi yang berkeluarga, waktu inilah perlu diambil kesempatan untuk melancong sama ada di dalam negara atau yang berkemampuan, bolehlah ke luar negara. Bercuti bukan semata-mata melawat ke tempat-tempat menarik tetapi boleh juga balik ke kampung.
Bagaimanapun seperti umum ketahui, untuk pergi bercuti bukanlah satu perkara yang membebankan tetapi persiapan sebelum berangkat pastinya sedikit sebanyak membuatkan anda menjadi 'kelam kabut'.
Tambahan pula sekiranya anda merupakan orang yang bertanggungjawab menguruskan segala-galanya termasuk anak-anak. Jadi di sini terdapat beberapa tip persediaan bercuti untuk memudahkan perjalanan anda sekeluarga sebelum berangkat:

* Pilih untuk bercuti pada hari biasa. Lazimnya untuk hari biasa ia dapat menjimatkan kos kerana tidak ramai pergi bercuti jika dibandingkan dengan hari minggu atau cuti perayaan.

* Buat kajian awal mengenai tempat-tempat yang bakal dilawati. Ini memudahkan anda mengetahui apa-apa kemudahan yang disediakan secara sistematik.

* Bagi yang tidak biasa melancong atau ingin ke tempat yang tidak pernah dilawati, anda dinasihat agar guna khidmat agensi pelancongan kerana boleh melawat lebih banyak tempat berbanding melancong sendiri, secara tidak langsung jimatkan masa dan kos.

* Jangan pakai banyak barang kemas. Ia adalah untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Sebaliknya biarlah penampilan anda tidak terlalu ketara seperti orang asing.

* Tukar mata wang asing sebelum bertolak bagi mereka yang ingin melancong ke luar negara dan simpan sedikit sebagai persediaan jika berlaku kecemasan luar jangka.

* Sediakan barang-barang yang sesuai dan penting sahaja dan jangan terlalu banyak atau menyusahkan. Jika perjalanan jauh, seelok-eloknya kurangkan beban yang akan dibawa.

* Elakkan banyak berjalan seperti membeli-belah kerana itu akan memenatkan dan jadual percutian anda akan lari daripada tujuan asal untuk menikmati keunikan sesebuah tempat.
                         
Buat perancangan awal sebelum pergi bercuti dapat menjadikan aktiviti pelancongan anda bersama keluarga lebih unik.

Sunday, July 6, 2014

Kembara Pengangkutan Awam

Selain kapal terbang, ada juga pelancong yang sanggup menghabiskan percutian mereka dengan hanya menaiki pengangkutan awam seperti bas, teksi, kereta api atau feri. Ia memang murah dan anda boleh menikmati pengembaraan secara langsung dengan melihat sendiri kehidupan sebenar masyarakat tempatan. Namun ada beberapa perkara perlu diberi perhatian demi memastikan aktiviti percutian anda lebih selesa.

Jadual perjalanan
Kebanyakan pelancong yang bergerak menggunakan pengangkutan awam bertindak mencetak sendiri jadual perjalanan perkhidmatan pengangkutan awam lebih awal sebelum tiba ke negara yang ingin dilawati. Anda kena periksa dan cetak jadual itu di atas kertas sebelum memulakan percutian dan ia dapat memudahkan perancangan waktu perjalanan agar tidak terlepas daripada menaiki pengangkutan tersebut.

Kurang bagasi
Beg pakaian, bagasi atau barang peribadi yang terlalu banyak untuk dibawa sebenarnya boleh mengganggu kelancaran perjalanan anda terutama apabila berhimpit di stesen-stesen pengangkutan awam yang penuh sesak pada waktu puncak. Hanya bawa barangan yang perlu sahaja seperti peralatan kebersihan diri, beberapa helai pakaian contohnya baju sejuk dan kasut yang sesuai untuk berjalan jauh di semua jenis permukaan jalan.

Simpan barang
Segala dompet, wang belanja harian dan dokumen perjalanan perlu disimpan di tempat yang selamat bagi mengelakkan anda daripada menjadi mangsa penyeluk saku. Ingat penjenayah ini banyak berkeliaran di stesen pengangkutan awam yang popular dalam kalangan pelancong asing dan mungkin berpura-pura kononnya mahu membantu anda.

Periksa tambang
Kadar tambang bagi setiap jenis pengangkutan awam adalah berbeza yang bergantung kepada jarak perjalanan, tempoh promosi atau risiko kecemasan. Bagaimanapun kebanyakan harga tambang standard telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan tetapi anda perlu menyemak kadar tambang daripada ditipu oleh penyedia pengangkutan awam tersebut terutama teksi bandar yang mungkin mengenakan cas mahal kepada pelancong.

Bawa peta
Perlu dapatkan peta perjalanan terkini daripada mana-mana kaunter pelancongan tempatan kerana ia dapat membantu untuk mengenal pasti kedudukan sebenar stesen-stesen pengangkutan awam yang terdekat. Ia juga akan menolong anda untuk mengelak daripada tersesat jalan serta banyak membuang masa, wang dan tenaga yang habis dibazirkan ketika melakukan perjalanan.
          
Melancong dengan menaiki pengangkutan awam lebih menarik dan anda dapat menyaksikan kehidupan masyarakat tempatan secara langsung.

Saturday, July 5, 2014

Bermalam Dalam Khemah

Aktiviti tidur dalam khemah terutama bagi pelancong jenis backpacker atau beg sandang memang popular dalam kalangan pengembara Eropah yang bercuti pada kos amat bajet. Ia juga memberi pengalaman unik berbanding penginapan di hotel kerana banyak kegiatan boleh dilakukan di tempat terbuka secara santai.

Namun, terdapat beberapa perkara asas yang perlu diambil kira terlebih dulu sebelum anda mahu membuat keputusan untuk bermalam di dalam khemah jika dibandingkan tidur di hostel atau motel biasa. Berikut disenaraikan antara panduan ringkas yang boleh dijadikan rujukan anda:

Lokasi
Apabila tiba ke destinasi yang hendak dijadikan tempat percutian, hubungi pihak berkuasa tempatan atau polis untuk mendapatkan lokasi perkhemahan yang selamat, lazimnya mereka ada mewartakan kawasan lapang atau padang untuk pelancong berkhemah secara sistematik. Kedudukan tapak perkhemahan yang sesuai biasanya tidak terdedah kepada risiko menjadi mangsa jenayah serta bukan di kawasan sering dilanda bencana alam seperti ribut atau banjir. Juga jika memilih lokasi di zon taman negara atau hutan lipur, pastikan ia bukan tempat haiwan buas berkeliaran mencari makanan mereka.

Unggun api
Sekiranya anda ingin membuat hidangan barbeku yang melibatkan aktiviti pembakaran terbuka semasa berkhemah di tapak perkhemahan awam contohnya di pinggir bandar, pastikan ia dibuat di tempat unggun api yang dibina khusus untuk tujuan itu. Jika tiada tapak disediakan, barbeku masih boleh dibuat tetapi mestilah di tempat yang bebas daripada risiko api merebak sehingga menyebabkan pula kebakaran. Selepas selesai barbeku, padam api sehingga tiada bara sebelum meninggalkan lokasi perkhemahan.

Kebersihan
Sampah sarap perlu dikutip dan dibuang dalam tong khusus untuk sisa pepejal. Tetapi jika tiada pula tong sampah disediakan di kawasan perkhemahan itu, simpan sampah di dalam bekas plastik dan kemudiandibuang apabila anda menemui mana-mana tong sampah awam di luar tapak perkhemahan tersebut. Justeru anda digalakkan membawa bekas khas untuk mengisi sampah kerana dibimbangi tempat anda berkhemah mungkin tiada tong sampah dan jangan amalkan membuang sampah merata-rata kerana tindakan itu mungkin menyebabkan anda boleh dikenakan hukuman denda oleh pihak berkuasa tempatan jika ditangkap.

Telefon bimbit
Sebelum memasang khemah, pastikan terlebih dulu kawasan perkhemahan itu mempunyai liputan telekomunikasi selular atau kemudahan jalur lebar wifi dan bateri telefon bimbit anda dicas penuh yang boleh digunakan untuk menghubungi pasukan penyelamat sekiranya berlaku apa-apa kecemasan. Adalah lebih baik juga jika tapak perkhemahan itu memang sentiasa dikunjungi orang ramai atau berhampiran dengan kawasan penduduk tempatan.

                        
Kegiatan perkhemahan menjadikan aktiviti percutian lebih unik jika anda membuat persediaan awal secara berkumpulan dan teratur.

Friday, July 4, 2014

Waspada Beg Sandang

Kesihatan perlu lebih diutamakan biarpun ketika anda sedang bersantai dan mengembara jauh ke sesuatu destinasi secara 'backpack' atau lebih popular disebut pengembara beg sandang.
Beg galas yang dibawa di belakang tubuh bukan hanya menarik untuk digayakan, malah si pemakainya harus tahu cara betul melaras ketinggian pada bahu, tali paut penyeimbang dan pengikat pinggang.
Beberapa tip asas perlu diingati agar pengembaraan yang menyeronokkan tidak dirosakkan oleh kesakitan pada pinggang, belakang tubuh dan bahu anda sendiri.
Rahsianya terletak pada kestabilan dan beban yang dipikul di belakang tubuh boleh dikawal dengan memastikan kedudukan dasar beg tidak melepasi paras bawah pinggang anda. 
Selain petua mudah itu, barangan berat sebenarnya perlu diisi di ruang bawah beg dan dirapatkan ke tubuh badan anda.
Barangan seterusnya perlu diisi bertimpa ke atasnya, dengan berat yang terbahagi sekata dan tersusun secara simetri dengan belakang tubuh.
Namun anda jangan bimbang kerana hari ini, banyak beg kembara di pasaran memang dicipta secara ergonomik bagi tujuan ini.
                          
Beg galas perlu diisi dengan betul bagi memastikan tubuh badan anda tidak mengalami kesakitan apabila berjalan jauh.

Thursday, July 3, 2014

Letih Naik Pesawat

Masalah keletihan tubuh badan akibat penerbangan yang lama sering mengganggu urusan kerja dan percutian. Ini adalah beberapa tip kesihatan untuk mereka yang mahu menghindar masalah kelesuan fizikal tersebut:

* Jika waktu ketibaan di destinasi dijangka adalah pada waktu siang, anda perlu mengambil sarapan pagi yang penuh khasiat protein, seperti telur dadar sebelum menaiki kapal terbang.

* Dedahkan diri pada cahaya matahari dari tingkap pesawat untuk ‘memberitahu’ tubuh supaya bangkit dari tidur, atau habiskan hari pertama di destinasi ketibaan di tempat yang terang.

* Lakukan senaman ringan seperti berjalan kaki sambil menghirup udara siang juga dapat mengatasi keletihan dan rasa mengantuk sepanjang berada di dalam pesawat.

* Jika waktu ketibaan di destinasi pada waktu malam, anda perlu mengambil hidangan yang tinggi karbohidrat seperti pasta. Ini memudahkan anda berasa mengantuk.

* Kaedah lain adalah dengan ’memaksa’ tubuh diri untuk tidur mengikut waktu tempatan, walaupun ketika itu anda masih lagi tidak berasa mengantuk.

* Mandian air hangat dengan minyak lavender, minum teh chamomile atau berurut boleh membantu. Jangan lupa pastikan lampu tidak terlalu terang di dalam kapal terbang.



Dapatkan tidur yang cukup di dalam pesawat sepanjang penerbangan untuk mengelak daripada kelesuan apabila tiba di destinasi.

Wednesday, July 2, 2014

Awas Makanan Jalanan!

Mengembara ke negara asing tentunya amat menyeronokkan. Namun, kesihatan yang terjejas akibat pengambilan makanan tercemar sebenarnya mampu merosakkan segala perancangan aktiviti percutian yang dibuat. Berikut adalah antara tip yang boleh diikuti jika melancong ke negara asing.
* Pengembara perlu memastikan buah-buahan atau sayur-sayuran yang hendak dimakan mesti sentiasa dalam keadaan segar, sama ada ketika dikupas atau ketika dimasak.
* Elakkan daripada memilih makanan yang mentah atau separa masak bagi hidangan daging, ikan atau makanan laut bercangkerang. Harus diingat, keracunan makanan dan cirit-birit boleh terjadi tanpa diduga.
* Minuman terbaik adalah air yang dibotolkan atau ditinkan biarpun mungkin dijual agak mahal sikit. Ini termasuk pengambilan jus buah segar dan juga produk tenusu yang disimpan sejuk dengan betul.
* Ketika mahu menggosok gigi, pastikan berkumur-kumur dengan air daripada sumber yang bersih. Kalau masih was-was, gunakan air yang dibotolkan. Air bekalan di hotel lima bintang selalunya bersih, tetapi tidak salah kalau membiasakan diri dengan air panas.
* Pokok pangkalnya, walau bagaimana hebat pun anda sebagai pengembara berpengalaman, elakkan mencuba makanan daripada jualan gerai penjaja di pinggir jalan walaupun nampak hidangan itu membuka selera anda.
* Cuba dapatkan nasihat daripada pakar kesihatan sebelum melancong juga banyak membantu percutian anda di samping semak panduan direktori restoran makanan halal di negara terbabit daripada pihak berkuasa agama Islam tempatan.
                        
Bijak memilih makanan yang dijual di tepi jalan ketika bercuti kerana dibimbangi mungkin ada boleh mengalami keracunan.

Friday, June 20, 2014

Tip Kunjung ke Festival

Berkunjung ke lokasi tumpuan padat orang ramai seperti pesta keramaian awam, taman tema tempatan atau festival skala meriah, sudah tentu menimbulkan keadaan yang kurang selesa kepada pelancong.

Apatah lagi apabila acara itu berlangsung pula pada musim panas atau cuaca kering sehingga menimbulkan bau tubuh badan yang kurang enak ekoran pengeluaran banyak cecair peluh membasahi tubuh anda.

Bayangkanlah anda secara tiba-tiba mahu membuang air kecil tetapi kemudahan tandas yang disediakan adalah sedikit sehingga terpaksa beratur panjang, ia bukanlah sebuah percutian yang menyeronokkan kita.

Berikut beberapa tip mudah bagi anda untuk membuat persediaan sebelum berkunjung ke tempat keramaian:

Pakai pakaian yang selesa. Pastikan pakaian anda daripada kain fabrik yang memiliki daya serapan peluh yang tinggi dan aliran pengudaraan yang baik bagi memastikan anda tidak terlalu panas selain memudahkan pergerakan.

Gunakanlah produk nyahbau. Penggunaan produk kebersihan diri seperti minyak wangi atau nyahbau adalah penting ketika anda berkunjung ke lokasi dipenuhi orang ramai bagi mengelak badan berbau hamis tengik.

Sediakan sebotol air mineral. Selain berfungsi sebagai air minuman yang baik bagi menghilangkan dahaga, ia juga boleh bertugas sebagai bahan pembersihan diri pada waktu kecemasan yang di luar jangkaan.

Bawa bersama tisu basah. Ia boleh berperanan sebagai sumber alternatif untuk melembapkan tubuh ketika kemuncak cuaca panas terik malah ia juga boleh dijadikan sebagai bahan pencuci diri anda sendiri pada waktu terdesak.
Pakai pakaian yang selesa dan pastikan anda membawa bersama bekalan air yang cukup untuk mengelak badan daripada penghidratan.