Friday, August 8, 2014

Kali Pertama Naik Kapal Terbang

Kapal terbang merupakan salah satu pengangkutan yang boleh anda guna untuk pergi ke destinasi pilihan sama ada dalam negara mahupun luar negara. Jika ini kali pertama anda ingin menaiki kapal terbang, berikut diberi panduan yang boleh jadi rujukan.

* Tiket Penerbangan - Perkara pertama ialah anda menempah tiket sama ada atas talian, terus ke kaunter tiket atau agensi pelancongan. Tempahan secara talian sebenarnya adalah lebih baik dijadikan pilihan sebab mudah dan cepat.
Pembelian tiket biasanya hanya memerlukan anda untuk isi butiran maklumat diri iaitu nama, nombor Mykad, alamat dan seumpamanya. Jika anda menempah tiket antarabangsa, butiran peribadi pasport wajib diberikan.

* Daftar Masuk - Jika lapangan terbang saiz kecil, kaunter daftar masuk tidak banyak dan anda boleh nampak kaunter tersebut. Untuk penerbangan dalam negeri, anda hanya perlu tunjuk kad pengenalan sebelum diberi pas berlepas.
Setiap syarikat penerbangan ada peraturan tersendiri mengenai berat beg yang boleh daftar masuk, sila rujuk ini masa buat tempahan tiket. Bagasi tangan yang boleh dibawa naik ke dalam kapal terbang biasanya tidak lebih 7 kilogram.

Kawalan keselamatan - Anda boleh menuju ke pintu berlepas mengikut butiran dicetak di atas pas berlepas dan ada pemeriksaan keselamatan. Jika domestik, pemeriksaan biasanya tidak terlalu ketat, makanan dan minuman pun boleh dibawa masuk tanpa masalah kecuali ada pegawai yang cerewet.
Namun jika penerbangan antarabangsa, ada beberapa larangan yang perlu dipatuhi, sila rujuk papan info barangan larangan di sekitar lapangan terbang. Selepas melepasi kawalan keselamatan, sila pergi ke pintu ditetapkan dan sentiasa dengar pengumuman jika ada perubahan atau penerbangan lewat.

Menaiki pesawat - Apabila pengumuman panggilan masuk, anda perlu bertenang sebab panggilan pertama untuk penumpang istimewa seperti warga emas, ibu hamil dan orang cacat. Panggilan seterusnya akan dibuat mengikut barisan tempat duduk dan rujuk nombor kerusi tempahan anda.
Sebaik memasuki pesawat, boleh minta bantuan pramugari jika tidak pasti di mana kedudukan kerusi anda. Kemudian letak bagasi tangan di ruangan di atas atau di depan tempat duduk anda. Pasang kemas tali keledar, kerusi ditegakkan dan aktifkan mod penerbangan untuk gajet elektronik anda.


Anda perlu berada di terminal perlepasan sekurang-kurangnya 2 jam lebih awal sebelum jadual penerbangan untuk mengelak panik.

Thursday, August 7, 2014

Faedah Tuala Kembara

Objek mudah ini cuma panjang 120 sentimeter dan lebar 80 sentimeter, tetapi hairan ia sukar untuk diuruskan semasa dalam perjalanan walaupun hanya seberat 180 gram. Sebenarnya anda boleh melancong tanpa tuala namun berisiko jika guna kertas pasir nipis yang disediakan pihak hotel.

Itulah kebaikan tuala kembara yang direka khas menjadi kain ultra penyerap padat, mudah disimpan dan cepat kering. Biasanya ia diperbuat 100 peratus daripada gentian mikro yang berfungsi sebagai antibakteria dan mampu serap air 8 kali ganda berbanding tuala mandi biasa. Ini 5 faedah untuk anda:

1. Jimat ruang dalam beg galas atau bagasi anda. Tidak kira apa jenama yang anda pilih, tuala kembara yang baik akan berkali-kali ganda boleh dikecilkan hingga sebesar saiz tuala kapas biasa. Setiap inci ruang penting apabila anda susun barang dalam bagasi, jadi ia tidak bazir ruang pembungkusan seperti tuala mandi biasa.

2. Kering cepat. Tidak kira berapa lasak cabaran perjalanan, tidak seronok apabila badan dikeringkan dengan tuala basah. Tuala kembara hanya gunakan tangan anda untuk diperah kering, anda boleh dapati banyak air keluar daripada tuala kembara itu dalam beberapa jam sahaja. Ia sentiasa bersedia kering sebelum diguna berulang kali.

3. Nyah bau dan kulat. Lembab, gelap dan tiada udara tidak baik. Cukup tuala basah disimpan di bahagian bawah beg anda adalah resipi untuk bau tengik dan cendawan. Ini juga boleh merebak ke seluruh pakaian dalam beg anda. Namun pembungkusan tuala kembara yang kering membantu jaga beg serta pakaian anda segar, kering dan bebas kulat.

4. Tuala ini lebih ringan daripada tuala biasa. Banyak pengembara mengakui setiap auns penting apabila anda bawa segala-gala barangan di belakang tubuh badan anda. Sesetengah tuala kembara tiga kali lebih ringan berbanding tuala biasa. Jadi ia meringankan beban anda dan menyelamatkan berat bagasi untuk kegunaan perkara lain.

5. Boleh  rendam masuk semua. Tuala kembara direka untuk menyerap air dari 5 hingga 9 kali lebih berat tuala itu sendiri. Ia mampu menyerap lebih daripada tuala kapas dan boleh diguna untuk pelbagai tujuan. Jadi ia adalah lebih daripada cukup untuk memastikan barangan anda sentiasa kering.
Jadi sama ada andabackpacking’ mengembara di seluruh Eropah atau di hutan tebal Amazon, lupakanlah sahaja tuala kapas besar anda di rumah. Sebaliknya guna tuala kembara yang cepat segar. Anda dapat jimat ruang, berat dan akan sentiasa memiliki tuala yang sedia kering.
Kegunaan pelbagai tuala kembara bukan sahaja praktikal untuk tujuan melancong jauh, malah baik dari segi kesihatan tubuh badan.

Wednesday, August 6, 2014

Waktu Daftar Masuk / Keluar

Mungkin anda tidak tahu atau keliru lagi apakah waktu standard patut seseorang itu daftar masuk atau disebut check in, register atau sign-in; dan daftar keluar atau check out untuk penginapan yang diduduki.

Secara universal masa standard daftar masuk ialah pukul 2 petang dan daftar keluar selepas 12 tengah hari namun ia juga bergantung pada peraturan polisi sesebuah hotel, motel, hostel atau resort untuk menetapkannya sendiri.

Jika anda tiba agak awal di hotel berkenaan dan kebetulan pula tiada bilik kosong, anda perlu memahami waima anda telah buat tempahan setahun yang lepas sekali pun kerana tiada hotel membenarkan masuk bilik lebih awal.

Tetapi ada juga hotel membenarkan daftar masuk seawal pukul 12 tengah hari atau paling lewat pun 6 petang hingga 10 malam kepada pelanggan yang sudah membuat tempahan awal lazimnya pakej percutian berkumpulan.

Manakala masa keluar dari hotel pula, jika anda ingin sedikit lewat atas sebab tertentu, sebaiknya anda kena telefon dulu ke kaunter pendaftaran untuk mengesahkan anda dibolehkan daftar keluar lewat tanpa caj tambahan.

Jangan keluar lewat mengikut sesuka hati anda kerana pihak hotel juga tidak teragak-agak mengenakan bayaran tambahan dengan kadar penginapan seharian sehingga menjejaskan pelanggan lain yang ingin daftar masuk.

Pelanggan perlu dahulu merujuk kepada pihak hotel mengenai maklumat tepat waktu daftar masuk dan keluar yang ditetapkan.

Tuesday, August 5, 2014

Kenapa Pergi Melancong?

Pelancongan ialah pengembaraan untuk gembira dan santai jauh daripada tempat tinggal anda. Kebelakangan ini, industri pelancongan berkembang pesat ekoran perubahan gaya hidup manusia yang sanggup berbelanja untuk makan angin berbanding generasi zaman dahulu.

Aktiviti mengembara juga semakin murah dan berbaloi terutama kos penerbangan untuk jarak jauh. Anda mungkin mahu melancong atas beberapa sebab – berseronok, lawat negara asing, belajar adat budaya tempat lain atau melarikan diri daripada tekanan kesibukan kerja seharian.

Pelancong sanggup pergi ke pelbagai destinasi menarik sama ada bersendirian, bersama-sama keluarga atau rakan-rakan serta melalui pelbagai cara pengangkutan, penginapan dan kegiatan. Berikut disenaraikan jenis pelancongan untuk panduan anda:

Pelancongan Pantai - Ramai suka menghabiskan percutian domestik di tepi laut untuk berehat, mandi-manda atau mendengar hembusan bayu ombak. Percutian di pinggir pantai sudah menjadi tradisi manusia lebih 200 tahun lalu.

Pelancongan Musim SejukSudah bermula pada pertengahan abad ke-19 apabila golongan mewah Eropah pergi ke resort peranginan tinggi banjaran bersalji Alp hingga 3,000 meter bermain ski dan menikmati suhu sejuk.

Pelancongan Kesihatan Dahulu pelancong pergi ke luar negara untuk gugur bayi luar nikah namun kini ia menjadi trend pesakit kaya khasnya rawatan perubatan, pergigian, jantung atau pembedahan plastik yang kos mahal.

Pelancongan Pendidikan Tidak kira anak muda remaja atau lanjut usia, ramai sanggup menyambung pengajian di negara lain yang tarafnya lebih tinggi selain belajar menerusi program pertukaran pelajar antarabangsa.

Pelancongan SukanPenganjuran banyak acara kejohanan antarabangsa turut menarik pemain dan peminat untuk datang ke negara asing selain liga sukan tempatan yang popular seperti bola sepak, lumba basikal atau golf.

Pelancongan Lasak - Mula popular lebih 20 tahun lalu dan menarik jutaan pelancong untuk merasai aksi lasak penuh cabaran seperti aktiviti payung terjun, kenu sungai, basikal ekstrem atau kembara 4WD hutan tebal.

Pelancongan AgamaJutaan penganut agama tertentu datang menziarah tempat suci kerohanian sambil beribadah setiap tahun seperti umat Islam menunaikan haji di Mekah, Katholik pergi ke Vatican atau Hindu ke Gangges.

Pelancongan EkologiTrend terbaru pelancong mesra alam sekitar yang gemar kepada tarikan alam semula jadi seperti safari, air terjun, kawasan seni bina warisan bersejarah dan membeli-belah produk cenderamata unik.

Kegiatan pelancongan bukan sahaja meluaskan pengetahuan malah memberi anda kefahaman budaya masyarakat tempat lain.

Friday, July 11, 2014

Jemur Santai di Pantai

Aktiviti berjemur atau sunbathe cukup popular dalam kalangan pelancong Barat yang mahu lari daripada suasana iklim sejuk dan menikmati sinaran matahari bagi 'memanaskan' tubuh badan sambil duduk santai mendengar hembusan ombak dan desiran bayu pantai.

Selain kegiatan berenang, mandi-manda, bermain bola pantai atau membina istana pasir, berjemur secara malas yang mendedahkan sebahagian tubuh sebenarnya amat baik kepada kesihatan diri. Berikut disenaraikan beberapa faedah daripada aktiviti berjemur itu.

Merawat mood - Walaupun nampak ringkas, kegiatan berjemur di bawah sinaran suria seketika dapat merawat perasaan diri untuk menjadi lebih tenang sambil mengingati kebesaran Ilahi. Kajian menunjukkan berjemur pada cuaca panas meskipun seketika boleh menyebabkan orang gembira dan lebih ceria sambil melepaskan tekanan kerja.

Melawan penyakit - Berjemur terutama pada waktu pagi memberi anda khasiat vitamin D secara semula jadi kepada tubuh. Ia akan menjana proses melawan jangkitan penyakit kerana sinaran matahari yang kurang terik mengandungi sumber kebaikan tambahan kesihatan atau suplemen yang amat diperlukan oleh tubuh badan untuk kembali segar.

Tidur nyenyak - Benar kajian mendapati pendedahan secara berkala terhadap sinaran matahari akan menyebabkan anda menikmati tidur yang lebih nyenyak. Berjemur menjadikan paras hormon serotonin kekal sihat dan tubuh akan membebaskan hormon melatonin semula jadi pada waktu malam untuk membolehkan anda terus tidur lebih lena.

Kulit sihat - Berjemur paling lama 20 minit sehari akan meningkatkan pigmen warna perang pada kulit dan ini membolehkan lapisan permukaan kulit menjadi lebih tebal sekali gus melindungi tubuh anda daripada sinaran bahaya matahari terik. Ia juga merawat penyakit kulit seperti eczema, acne kronik, kurap atau kutil selain melawan bakteria jahat.

Kurang stres - Selain mempertahankan tubuh anda daripada komplikasi jantung dan penyakit berkaitan, berjemur secara sederhana dapat membantu anda untuk merendahkan tekanan perasaan. Malah hormon stres yang ada dalam badan akan kurang dikeluarkan sekali gus menjadikan tubuh lebih sihat.

                               
Berjemur santai bersama pasangan ketika bercuti bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, malah mengeratkan hubungan.

Thursday, July 10, 2014

Tukar Mata Wang Asing

Jika anda memilih untuk melancong ke luar negara, masalah paling besar ialah tukaran mata wang asing. Secara teknikal bagi yang berpengalaman sering ke luar negara, adalah lebih baik membuat pertukaran di dalam ­negara sebelum bertolak, ia lebih me­nguntungkan, mudah dan paling penting selamat.
Namun anda perlu ingat, sesetengah tempat ­pertukaran atau disebut pengurup mata wang asing tidak sama kadarnya ­dengan tempat lain. Malah jika di kaunter pengurup di lapa­ngan terbang, anda sebenarnya akan mendapat nilai kurang daripada yang ditukar di tempat lain, begitu juga di bank.

Lebih teruk jika membuat pertukaran di luar negara pula, ada negara yang tidak menerima Ringgit Malaysia dan keadaan ini sudah pasti menyusahkan terutama jika anda sudah kehabisan wang tunai ketika melancong. Berikut disenaraikan beberapa tip pertukaran mata wang asing sebagi panduan.

1. Semak nilai mata wang ­negara yang dituju sebelum berangkat. Cara mudah adalah melalui ­Internet. Anda juga boleh bertanyakan kepada agensi pelancongan atau tempat penukaran mata wang asing yang terdekat. Maklumat nilai tukaran asing negara yang dituju adalah penting untuk anda boleh buat perbandingan supaya anda tidak tertipu atau rugi.
2. Biasanya nilai tukaran di lapangan terbang dan bank lebih rendah atau dengan kata lain harganya lebih mahal. Cuba sedaya upaya tidak menukar duit di lapangan terbang atau hotel. Jika terpaksa, ­tukarlah hanya jumlah diperlukan untuk bayar teksi atau ­kereta sewa untuk ke hotel penginapan dari lapangan terbang atau keperluan mustahak ­sahaja.

3. Sesetengah pengurup ambil komisen dan ada yang tidak. Jangan tertipu dengan nilai ­ tukaran yang tinggi berbanding di tempat lain, padahal ­dikenakan komisen. Di akhir urus niaga, ­harganya sama saja bahkan mungkin lebih ­mahal. Buat kiraan sebaik mungkin agar tidak rugi ­sebaliknya menguntung­kan anda. Jika ada pilihan, carilah yang tidak ­ada komisen.

4. Carilah tempat ­tukaran mata wang asing yang boleh dipercayai untuk elak penipuan. Minta saranan daripada ­kakitangan hotel di lokasi percutian anda. Kenal pasti tempat pengurup itu berada di kawasan yang selamat. Di beberapa negara, ada pengurup sering menipu. Mereka akan membayar wang yang ditukar kurang daripada jumlah yang sepatutnya diterima. 



Buat semakan kadar terbaru pertukaran lebih awal untuk mendapatkan nilai mata wang asing yang banyak.

Wednesday, July 9, 2014

Kekal Sihat Masa Bercuti

Melancong bukan sekadar berehat tetapi yang lebih penting ialah mesti kekal sihat. Tiada guna pergi bercuti di destinasi menarik atau menerusi pakej mewah walhal anda terlantar di katil hospital atas sebab-sebab kesihatan. Berikut antara panduan untuk persediaan anda memastikan tahap kesihatan sentiasa baik sepanjang percutian.

* Dapatkan suntikan vaksin sebelum pergi melancong khasnya negara yang memerlukan pelancong disuntik vaksin tertentu sebelum dibenarkan masuk.

* Bawa bersama salinan maklumat kesihatan peribadi anda dan disimpan selamat di dalam beg berasingan yang mudah dicapai ketika berlaku kecemasan.

* Jangan minum air terus daripada paip tetapi digalakkan mengambil minuman yang dibotolkan, air berkarbonat atau masak sahaja air lebih selamat.

* Guna straw untuk minum air dalam tin tetapi jika tiada straw disediakan, lap permukaan tin bagi bersihkan karat logam atau tuang air ke dalam gelas.

* Elak makan sayur-sayuran mentah atau buah-buahan segar yang dibasuh dengan air paip, sebaliknya guna air masak untuk bersih makanan tersebut.

* Pastikan anda sudah menjalani temujanji doktor gigi sebelum pergi bercuti atau bawa dokumen rawatan pergigian sebagai langkah berwaspada.

* Rujuk dengan pemandu pelancong atau pihak berkuasa mengenai lokasi klinik atau hospital tempatan yang berdekatan dengan tempat anda melancong.

* Jika ada alahan pada sesuatu, tulis dalam bahasa tempatan untuk dimaklumkan pada restoran atau petugas perubatan jika diserang alergik.

* Ambil perlindungan insurans atau takaful sekiranya bercuti di negara diketahui berisiko wabak penyakit, perang atau bencana alam.

                
Kesihatan perlu dipelihara sepanjang percutian untuk memastikan aktiviti pelancongan anda berjalan lancar tanpa masalah.