Thursday, November 6, 2014

Jengah destinasi aura K-Pop



PENGARUH drama bersiri Korea Selatan, Winter Sonata dan Running Man menarik minat saya dan tujuh rakan-rakan untuk berkunjung ke negara yang tidak asing lagi dengan budaya K-pop itu.
Tanggal 31 Ogos lalu, kami merealisasikan rancangan untuk menjejakkan kaki ke Korea Selatan setelah hampir setengah tahun merancang.
Seorang pemandu pelancong, Won Man Soo sedia menunggu setibanya kami di Pulau Jeju. Selepas itu, kami dibawa ke Greenday Guesthouse iaitu tempat penginapan selama tiga hari dengan bayaran hanya RM125 semalam. Namun, kami dilarang untuk membuat sebarang bunyi bising selepas pukul 11 malam.
Oleh kerana pengaruh rancangan realiti televisyen, Running Man, kami pergi ke salah satu lokasi pengembaraan mereka pada hari kedua iaitu Jeju Kimnyong Maze Park. Bayaran yang dikenakan sebanyak KRW3,330 (RM10). Di sana, kami dikehendaki untuk membunyikan loceng yang berada di tengah-tengah taman tersebut.
Seterusnya kami ke Jeju Mini Land. Bayaran masuk dikenakan sebanyak KRW9,000 (RM2) dan hampir ke semua ikon-ikon di setiap negara boleh didapati di taman ini termasuk Menara Berkembar Petronas dan Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar, Perak.
Perjalanan kami diteruskan lagi ke Jeongbang Waterfall iaitu antara 10 pemandangan tercantik di Pulau Jeju. Terusan air terjun itu terus mengalir ke laut dan ia merupakan antara tarikan utama pelancong ke sini dengan bayaran masuk sebanyak KRW2,000 (RM6).
Kami sempat ke Cheonjiyeon Waterfall dengan melalui laluan landskap yang disediakan. Cheonjiyeon Waterfall dipercayai tempat dewi-dewi bermandi-manda.
Seterusnya kami ke Oedolgae Rock iaitu lokasi penggambaran rancangan televisyen, Dae Jang Geum (Jewel in the Palace) yang terkenal dengan pemandangan cantik dan cuaca menenangkan.
Kami juga ke Olle Trail laluan ke­tujuh dari Oedolgae Rock ke Pelabuhan Wolpyeong sejauh 15.1 kilometer tetapi kami hanya mampu sampai separuh jalan kerana terlalu penat.
Pada hari ketiga, kami ke Dragon Coast atau Rock of Dragaon Head iaitu kawasan pantai di mana bentuk batu di sini seperti kepala seekor naga. Kami juga dapat melihat kaum wanita di sini mencari rezeki dengan menyelam ke dasar laut untuk mencari mutiara tanpa sebarang alat bantuan pernafasan.
Langkah diteruskan ke Mystery Road bagi merasai pengalaman menaiki kenderaan yang bergerak sendiri tanpa menghidupkan enjin, sama seperti yang terdapat di Kimanis-Keningau, Sabah.
Sepanjang laluan di Mystery Road, terdapat batu-batu ukiran yang menarik dapat dilihat. Setiap ukiran batu mempunyai cerita tersendiri. Kemudiannya kami ke Teddy Bear Museum yang banyak mempamerkan koleksi-koleksi patung beruang dan persembahan konsert beruang Elvis Presley.
Kami turut mengunjungi Trick Art Museum dan Hello Kitty Island sebelum bergegas ke lapangan terbang untuk ke Seoul menaiki kapal terbang Air Busan BX8012.
Kami menginap di Golden Pond Guesthouse dengan harga RM150 semalam. Lokasi yang strategik di tengah pekan Daehangno dan dekat dengan kemudahan pengangkutan awam.
Tidak banyak lokasi yang kami pergi pada hari keempat kerana cuaca hujan hingga ke tengah hari tetapi kami sempat ke pekan Itaewon dan Dongdaemun Market untuk membeli barangan cenderahati.
Bermula jam 8 pagi waktu tempatan, kami semua menaiki bas dan feri untuk ke Pulau Nami pada hari kelima. Perjalanan mengambil masa selama sejam setengah itu amat berbaloi kerana kami dapat menyaksikan pemandangan indah bandar Seoul.
Melihat sendiri lokasi penggambaran filem Winter Sonata membuatkan kami terasa ingin tinggal terus di Korea Selatan. Kami menaiki basikal untuk mengelilingi Pulau Nami. Setelah hampir seharian, kami menuju ke Namdaemun Market hingga ke malam menyaksikan pelbagai gelagat rakyat Korea Selatan sambil mencari cenderahati.
Pada hari keenam, kami ke National Palace Museum of Korea di Gyeongbukgung dan N Seoul Tower atau lebih dikenali sebagai Menara Namsan dengan ketinggian 237 meter yang turut menjadi lokasi penggambaran Running Man.
Tanpa melengahkan masa, kami terus menaik Cruise di Sungai Han. Pada sebelah malam pula, kami ke Myeong-dong Market, kawasan membeli-belah yang sedikit urban untuk golongan muda.
Pada hari ketujuh pula, kami memilih untuk lebih santai dan kerana pada sebelah petang kami menuju ke Busan dengan menaiki Air Busan BX8875 dan bermalam di Indy House berharga RM150 semalam.
Pada hari kelapan, kami berpecah kerana ada yang ingin ke Haeundae Beach dan sebahagian pula ke Shinseagae Spa Land iaitu sebuah spa yang terkenal di Korea Selatan.
Bagaimanapun, makanan di Korea Selatan sangat mencabar. Kebanyakan kami membawa bekal dari Malaysia seperti serunding, roti, mi segera dan sup segera. Rumah tumpangan di Jeju dan di Busan menawarkan beberapa barangan secara percuma untuk sarapan pagi seperti nasi, jus dan telur.
Kami bebas untuk memasak di ruang dapur yang dikongsi bersama pelancong lain. Masalah komunikasi tidak menjadi masalah kerana salah seorang teman iaitu Fathuljannah fasih berbahasa Korea.
Sempat juga merasai pelbagai juadah Korea seperti Ddukbokkie iaitu kek beras yang dimasak dengan sos merah Korea.
Hakcipta terpelihara 


Wednesday, November 5, 2014

Jejak warisan Sherlock Holmes



KEPADA peminat-peminat bola sepak, menjadi satu impian kepada mereka untuk melawat stadium dan tempat-tempat bersejarah pasukan kegemaran masing-masing.
Pasukan Manchester United misalnya, sinonim dengan Old Trafford manakala pasukan Chelsea pula ke Stamford Bridge di United Kingdom. Peminat siri drama Korea Selatan pula pasti teruja mahu menjejakkan kaki ke Pulau Jeju, penggambaran drama bersiri Winter Sonata.
Penulis dan teman perjalanan, Shahreen Alias merupakan peminat tegar fiksyen detektif ciptaan Sir Arthur Conan Doyle iaitu Sherlock Holmes dan sahabat beliau, Dr. John Watson.
Ada pelbagai versi Sherlock Holmes yang dizahirkan ke layar perak dan televisyen.
Antaranya, versi Jeremy Brett/Edward Hardwicke sekitar era 80-an sehinggalah yang terkini, jelmaan versi Elementary, yang dilakonkan oleh Jonny Lee Miller dan Lucy Liu sebagai Dr. John Watson.
Namun, yang menjadi kegilaan jutaan peminat Sherlock Holmes seluruh dunia, pastinya versi BBC Sherlock. Dua tonggak utamanya didukung oleh pelakon British, Benedict Cumberbatch dan Martin Freeman.
Mula ditayangkan sejak tahun 2010, siri televisyen ini berjaya menarik jutaan penonton seluruh dunia, walaupun cuma ada 10 episod setakat ini. Rancangan ini berjaya memenangi puluhan anugerah berprestij seluruh dunia dan yang terkini, tujuh anugerah Emmy.
Sherlock versi Cumberbatch hidup dalam era moden.
Beliau ditemani gajet-gajet canggih tetapi masih menjiwai watak dalam karya asal penulisnya sebagai seorang yang biadab, mementingkan diri dan sanggup berbuat apa sahaja demi menyelesaikan kes.
Kami merancang perjalanan ini seawal bulan Mei. Penulis mengambil kesempatan sempena cuti pendek selepas anak sulung saya tamat peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk ‘merehatkan otak’ tanpa menyangka terjadinya insiden kebocoran kertas peperiksaan tersebut.
Namun, penulis bersyukur kerana tarikh peperiksaan ulangan tidak mengganggu perancangan kami.
Berpandukan maklumat yang disenaraikan di laman web Sherlockology, kami mengambil masa lebih kurang dua hari untuk berkunjung ke lokasi-lokasi ini.
Destinasi pertama kami ialah Hospital St. Bartholomew yang terletak di West Smithfield.
Kami tiba di lokasi tersebut pada pukul 8 pagi. Sebagai antara hospital tertua di London, lokasi ini mula diperkenalkan dalam episod A Study In Pink. Di situlah kali pertama Sherlock ditemukan dengan John Watson.
Di atas bumbung hospital ini jugalah berlakunya peristiwa penting dalam episod The Reichenbach Fall.Para peminat Sherlock tidak melepaskan peluang meninggalkan mesej kepada watak-watak kegemaran mereka dalam sebuah pondok telefon di hadapan hospital ini.
Kami meneruskan perjalanan ke rumah bernombor 187, North Gower Street. Di sinilah lokasi ikonik 221B difilemkan kerana lokasi asalnya, 221B Baker Street telah diubah suai menjadi Muzium Sherlock Holmes.
Namun, kami agak kecewa kerana restoran Speedy’s yang terletak bersebelahan ditutup pada hari Ahad. Terlepaslah peluang untuk menikmati secawan kopi di sini.
Restoran ini mengambil kesempatan atas populariti siri Sherlock dan menambah hidangan Sherlock wrap ke dalam menunya.
Destinasi kami yang seterusnya ialah Leinster Gardens iaitu salah sebuah lokasi daripada episod The Last Vow. Terselit antara bangunan unik ini, ia bukanlah kediaman sebenar tetapi hanyalah facade yang dibina untuk menyelesaikan masalah infrastruktur pada zaman awal penubuhan landasan kereta api bawah tanah lewat tahun 1860-an.
Bagaimanakah kami mengenal pasti façade ini? Lapan belas tingkap bangunan bernombor 23 dan 24 ini digelapkan dan pintunya tiada peti surat.
Sampai ke Muzium Sherlock Holmes di 221B Baker Street, kami agak kecewa melihat barisan pelawat yang beratur panjang menunggu giliran.
Muzium yang dirasmikan pada tahun 1990 ini dibuka dari pukul 9.30 pagi hingga 6 petang.
Tiket masuknya berharga 10 pound (RM53) untuk dewasa dan 8 pound (RM42) untuk kanak-kanak bawah usia 16 tahun. Kami mengambil keputusan untuk tidak masuk ke muzium tersebut, sebaliknya mengambil kesempatan menjamu mata di kedai cenderamata yang terletak bersebelahan.
Destinasi seterusnya ialah Tower of London yang menjadi salah satu tempat yang dibolosi oleh James Moriarty dalam episod The Reichenbach Fall. Kami terpegun melihat pekarangan istana yang bermandi darah.
Rupa-rupanya, ia adalah simbolik sempena memperingati ulang tahun Perang Dunia Pertama yang bermula seabad lalu. Pameran Blood Swept Lands and Seas of Red itu berlangsung sejak 5 Ogos lalu hingga 11 November ini. Sebanyak 888,246 kuntum bunga popi seramik direka khas untuk memperingati setiap warga Britain yang terkorban dalam Perang Dunia Pertama.
Hasil jualan setiap kuntum bunga popi ini akan disalurkan kepada enam badan kebajikan perajurit.
Sebenarnya, banyak lagi lokasi ikonik yang kami sempat lawati seperti yang ditonjolkan dalam siri ini seperti Istana Buckingham, bangunan Parlimen di Istana Westminster dan St. James Park, sekadar menyebut beberapa nama.
Tidak ketinggalan juga pengalaman menjadi penumpang Black Cabse setelah kepenatan berjalan sepanjang hari. Dalam kisah sebenar, Sherlock hampir menjadi mangsa pemandu teksi pembunuh bersiri ini dalam episod A Study in Pink. Walaupun mata kami memandang pasrah meter teksi yang berjalan laju, sambil otak mencongak pertukaran mata wang pound kepada Ringgit Malaysia.
Hebat sungguh penangan sebuah rancangan televisyen kepada para peminat Sherlock. Penulis berpendapat, ada antara peminatnya dari seluruh dunia datang ke London semata-mata kerana penangan siri ini dan kerana para pelakonnya yang kian meningkat popular.
Mungkinkah suatu hari nanti, para karyawan kita dapat menghasilkan sebuah filem atau siri televisyen yang bisa menarik jutaan pelancong seluruh dunia berkunjung ke Malaysia?

Tuesday, November 4, 2014

Legasi teh asli Darjeeling



BAGI kebanyakan orang, Darjeeling hanya sebuah kawasan penanaman teh yang terletak di daerah Bengal Barat, India.
Bagaimanapun, Darjeeling cukup terkenal sebagai lokasi peranginan yang mempunyai pemandangan menakjubkan dari puncak Banjaran Himalaya.
Kawasan tersebut turut menjadi habitat hidupan liar seperti harimau bintang salji dan panda merah.
Kereta api Toy Train yang berge­rak di laluan sempit sangat terkenal kerana masih menggunakan enjin lokomotif wap.
Pelancong yang melalui perjalanan jauh dari Sikkim iaitu salah satu daerah di utara India untuk sampai ke Darjeeling berpeluang merasai budaya Tibet yang berada di luar kuasa kerajaan China.
Nama Darjeeling diperoleh daripada perkataan Dorje-ling yang membawa maksud tanah mistik halilintar manakala lapangan terbang paling dekat ialah di Bagdogra iaitu 90 kilometer (km) dari bandar tersebut.
Waktu terbaik untuk berkunjung ke Darjeeling ialah antara bulan Oktober hingga November atau Februari hingga April kerana keadaan cuaca sejuk sederhana memberi keselesaan kepada pelancong.
Keadaan jalan raya sedikit sesak dengan kereta, teksi dan bas yang membawa pelancong ke landasan kereta api Toy Train kerana ruang jalan raya yang agak sempit.
Diiktiraf sebagai salah satu warisan dunia, landasan kereta api itu sudah beroperasi pada tahun 1881. Ia menjadi tumpuan utama pelancong yang menawarkan perjalanan dengan pemandangan pergunungan dan melihat rutin harian penduduk tempatan.
Para pelancong digalakkan memulakan perjalanan pada pukul 8 pagi dari Darjeeling ke Ghum menaiki kereta api tertinggi iaitu 2,258 meter bagi mendapat pemandangan menarik.
Perjalanan yang mengambil masa selama dua jam dengan bayaran sebanyak 400 rupees (RM22) itu turut berhenti di muzium kereta api dan landasan kereta api berbentuk melengkung yang memberikan pandangan menakjubkan.
Bagi kemudahan hotel, pelancong yang mempunyai bajet rendah disarankan menginap di rumah rehat awam bersebelahan dengan gereja St. Andrews Anglican yang dibina pada tahun 1843. Jika mempunyai bajet yang tinggi, mereka boleh menginap di Windamere iaitu sebuah hotel warisan yang merupakan rumah persinggahan kepada penanam teh British pada era ke-19. Harga satu bilik bermula daripada RM516 semalam termasuk makanan.
Selain itu, pelancong juga boleh menginap di ladang teh seperti yang ditawarkan oleh Glenburn Tea Estate & Boutique Hotel.
Para pelancong tidak boleh melepaskan peluang untuk melihat puncak bersalji Gunung Kanchenjunga yang merupakan gunung ketiga tertinggi di dunia dengan ketinggian 8,586 meter dari paras laut.
Kebanyakan pelancong keluar seawal pukul 4 pagi untuk menikmati pemandangan indah matahari terbit di Tiger Hill iaitu 13km dari Darjeeling bagi mengelak kesesakan.
Kedai roti Glenary perlu dikunjungi jika mahu merasai keenakan variasi kek dan coklat yang menjadi signatur kepada kedai tersebut.
Terdapat pelbagai hidangan makanan Cina dengan harga yang berpatutan di tingkat satu kedai tersebut.
Pelancong boleh membeli barangan cenderahati di sepanjang jalan itu. Selain kedai menjual baju sejuk, teh Darjeeling yang dipetik segar dari ladang turut dijual.
Mereka juga boleh melihat habitat harimau bintang salji dan panda merah di Zoo Darjeeling tetapi perlu membayar harga tiket sebanyak 40 rupees (RM2).
Di luar Institut Pendaki Gunung Himalaya iaitu bersebelahan dengan zoo, terdapat sebuah tugu Tenzing Norgay yang merupakan pendaki pembantu pertama yang sampai ke puncak Everest bersama Sir Edmund Hillary pada tahun 1953. Bagi melihat panorama ladang teh, mereka perlu naik kereta kabel dengan harga tiket 150 rupees (RM8).
Perjalanan selama tiga jam di bandar Kalimpong turut menyajikan pemandangan romantis Sungai Teesta dan Rangeet.
Menurut panduan pelancongan Lonely Planet, Sikkim disenaraikan sebagai kawasan terbaik untuk dilawati pada tahun 2014.
Namun, orang awam perlu mempunyai permit untuk melawat kawasan yang terletak ditimur laut Himalaya dan bersempadanan dengan Tibet itu. Gantok merupakan bandar yang terletak di puncak bukit dengan altitud 1,676 meter dari paras laut.
MG Marg, Gantok merupakan satu-satunya laluan pejalan kali dan kawasan membeli-belah dan menjadi tumpuan utama pelancong yang mempunyai deretan restoran dan plaza dan hotel.
Hakcipta terpelihara 

Monday, November 3, 2014

Mai sat cuti kat Perghlis



WANGIAN harum semerbak melatari ruang kecil yang dibina ringkas menggunakan kayu dan lapisan kanvas jenis getah sebagai pintu masuk.
Keadaan sedikit panas tidak menyebabkan tubuh terus berpeluh tetapi terasa tenang menghirup udara yang mengandungi tujuh jenis herba tempatan.
Terletak di kawasan hutan seluas 12 hektar, Sauna Herba di Rimba Herba Perlis itu memberi impak positif kepada pengunjung kerana setiap satu ramuan tersebut mempunyai kebaikan kepada tubuh hakiki manusia.
Deria bau pantas menangkap haruman mengkudu kecil yang dipercayai secara tradisional mampu menyegarkan dan menghilangkan bau badan ditambah dengan serai wangi bagi mengurangkan lemak badan dan herba sembung sebagai agen antipenuaan.
Ia turut dilengkapi dengan herba lain termasuk tuba limau, larak, mendang kewangi dan pandan wangi.
Bagaimanapun, menurut Pegawai Jabatan Perhutanan Perlis, Hashim Saad, pengunjung dinasihatkan tidak berada lama di Sauna Herba, cukup sekadar dua hingga tiga minit sahaja.
“Ia sebagai satu persinggahan awal untuk perjalanan yang lebih menenangkan di sepanjang laluan Rimba Herba Perlis,” ujarnya ketika memberi penerangan kepada sekumpulan media yang mengikuti Program Sahabat Media anjuran majalah Santai Travel dengan kerjasama Tourism Malaysia baru-baru ini.
Ketenangan yang dikatakan Hashim itu adalah 1,000 spesies tumbuhan herba yang mengelilingi kawasan yang dikawal selia oleh Jabatan Perhutanan Perlis itu.
Terletak 12.6 kilometer (km) dari bandar Kangar, ia dipecahkan kepada tiga seksyen utama yang terdiri daripada herba-herba bagi tujuan perubatan dan pendidikan.
Tidak hairan jika dikatakan, pengunjung yang datang ke sini terdiri daripada pelbagai lapisan umur.
Dibuka kepada umum pada tahun 1998, Rimba Herba Perlis tidak hanya menjadi lokasi hujung minggu bersama keluarga tetapi ia turut dilawati individu yang mendapatkan rawatan alternatif menggunakan perubatan tradisional herba.
“Banyak tumbuhan yang terdapat di sini boleh digunakan dalam merawat pesakit seperti diabetes, darah tinggi, sakit tulang dan kanser.
“Disebabkan itu, ada kumpulan pelawat yang datang dari luar Perlis semata-mata ingin mendapatkan tumbuhan herba bagi merawat penyakit mereka,” ujar Hashim.
Antara jenis herba yang terdapat di situ ialah jentik nyamuk, akar dani, paku sarang burung, bayam batu dan bogak perlis.
Orang ramai dibenarkan untuk membawa pulang herba mengikut kapasiti yang dihadkan oleh pihak jabatan.
Malah, rawatan rendaman minyak herba disediakan kepada pengunjung di Spa Rawatan Tradisional Herba dengan bayaran RM6 untuk 20 minit bagi membantu kelancaran aliran darah, sakit sendi dan sakit urat.
Herba Perlis merupakan antara destinasi tarikan pelancong terkenal di negeri paling utara dan terkecil di Malaysia itu.
Dengan keluasan 81,060 hektar, negeri yang terkenal dengan jolokan Indera Kayangan itu masih mampu memberikan pengalaman percutian yang menghiburkan kepada setiap pelancong.
Selesai ‘mengubati’ tubuh secara tradisi, cabar pula keyakinan diri dengan berkunjung ke Taman Ular dan Reptilia Perlis yang terletak 3.5km dari Rimba Herba Perlis.
Dikomersialkan pada tahun 1995, ia menempatkan lebih 150 ekor ular berbisa dan tidak berbisa dari dalam dan luar negara.
Menurut pengurusnya, Samsul Wadi Md. Salleh, Rimba Herba Perlis tidak hanya sebagai lokasi pelancongan, malah turut berfungsi sebagai pusat pembelajaran dan perlindungan kepada 34 spesies ular yang terdapat di situ.
“Disebabkan itu, Taman Ular dan Reptilia Perlis menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) sebagai taman ular terbesar di negara kita,” ujarnya.
Pada awalnya, taman tersebut merupakan institusi penyelidikan perubatan yang ditubuhkan bagi menghasilkan penawar terbaik untuk merawat kesan patukan ular.
Ia diletakkan di bawah Kementerian Kesihatan sebelum dimajukan sebagai lokasi tarikan pelancongan di Perlis, 17 tahun selepas itu.
Pengunjung yang datang disajikan dengan persembahan ular dan kepada yang berani, mereka berpeluang untuk mendekati reptilia berdarah sejuk itu.
Samsul berkata, ular paling berat adalah daripada spesies sawa seberat 80 kilogram dengan panjang tujuh meter yang ditangkap pada tahun 2005 di Sik, Kedah.
“Ia ditangkap ketika cuba memasuki sebuah rumah penduduk Kampung Tikam Batu sebelum dihantar ke Taman Ular dan Reptilia.
“Ular tersebut sekarang ditempatkan di sangkar nombor 13 dan dijaga rapi sebagai salah satu tarikan di sini,” ujarnya.
Antara tarikan terbaharu yang terdapat di Perlis ialah Agro-Lancong yang terletak di Jalan Padang Besar Utara.
Dengan berkeluasan 2,023.43 meter persegi, Agro-Lancong menyediakan pelbagai aktiviti lasak dan ringan kepada pengunjung seperti memanah, menunggang Kenderaan Pelbagai Permukaan (ATV) dan melawat ladang burung unta serta kuda.
Dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Veterinar Perlis, destinasi tersebut bakal menjadi tumpuan baharu terutama kepada golongan muda dan berkeluarga.
“Bayaran yang dikenakan kepada pengunjung adalah berpatutan sebagai satu rangka promosi di Agro-Lancong,” ujar penyelia, Mohd. Nizam Sawal.
Bagi mencuba ATV, bayaran sebanyak RM50 untuk 45 minit dikenakan manakala aktiviti memanah hanya RM10 untuk 12 batang anak panah.
Pengunjung boleh menunggang ATV di sekeliling Agro-Lancong sambil menikmati pemandangan hijau dan haiwan yang terdapat di situ.
Sebanyak lima ekor burung unta yang boleh ditunggangi untuk perlumbaan antara pengunjung, selain 30 ekor kuda terdapat di Agro-Lancong.
Dilancarkan pada bulan Ogos lepas, Agro-Lancong bakal menambah beberapa lagi aktiviti dan tarikan baharu seperti permainan paintball, belon panas dan membawa masuk tiga ekor gajah.
Sepasang gajah betina dan jantan bersama seekor anak yang dibawa dari negara jiran, Thailand itu bakal menjadi tarikan utama di Agro-Lancong.
Setibanya gajah-gajah tersebut pada awal bulan November ini, pengunjung berpeluang untuk mendekati dan menunggang haiwan itu.
“Permainan paintball dan belon panas pula akan diperkenalkan pada tahun depan di kawasan yang sama,” jelas Mohd. Nizam.
Hakcipta terpelihara 


Sunday, November 2, 2014

Benam diri dalam pasir Sahara



APABILA matahari terbit di kaki bukit padang pasir Erg Chebbi, Sahara, penduduk nomad mula sibuk menggali lubang-lubang untuk pelancong yang ingin membenamkan diri di dalam pasir panas.
Padang pasir Sahara terletak di utara Arika meliputi sebahagian Algeria, Republik Chad, Mesir, Libya, Mali, Republik Mauritania, Maghribi, Sudan dan Tunisia.
Mereka yang menjalani kehidupan nomad sejak 100 tahun lalu, kini mengalami transformasi apabila terbabit dalam aktiviti pelancongan yang kian popular di kawasan tersebut.
Antara komuniti nomad tersebut ialah puak Berber Ait Atta yang tinggal di Merzouga, selatan Maghribi yang kini telah beberapa tahun terbabit dalam aktiviti perhotelan dan restoran. Merzouga kini menjadi perhentian utama para pelancong di Maghribi di penghujung lautan padang pasir.
Para pelancong akan membenamkan diri dalam pasir panas hingga paras leher selama 10 minit. Ia dikatakan baik untuk terapi diri bagi membantu mengubati penyakit yang berkaitan saraf dan tulang belakang seperti reumatism, lumbago, poliartritis dan beberapa penyakit kulit yang lain.
Menurut Abdessalam Sadoq, seorang penduduk nomad yang bekerja dalam sektor pelancongan kesihatan, terapi pasir panas itu mempunyai kesan yang sama seperti terapi sauna yang membantu pengeluaran toksin di dalam badan.
“Kami menawarkan pelbagai tarikan pelancongan di sini khususnya berkaitan kesihatan,” katanya. Perjalanan kehidupan bagi golongan Ait Atta bukanlah sentiasa mudah. Situasi ini berlaku sejak beberapa dekad lalu kerana golongan muda dibesarkan dengan menunggang unta tetapi kini perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan moden.
Suatu ketika dahulu, Ait Atta mempunyai kekayaan terkumpul hasil perdagangan Trans-Sahara. Namun, apa yang tinggal kini hanyalah petunjuk jalan ke arah Timbuktu, perjalanan yang memakan masa selama 52 hari dengan menaiki unta.
Kehidupan asal mereka terjejas apabila Maghribi menjadi negeri naungan Perancis pada tahun 1912. Sejak itu, pelbagai pembangunan dari segi perlombongan dan pusat-pusat bandar berdekatan dengan sempadan Algeria.
Ekoran itu, sejak 50 tahun lalu, penduduk tersebut terpaksa mencari kehidupan baharu seperti bercucuk tanam dan fokus kepada pelancongan.
Pengunjung yang mencari terapi pasir panas ini bukan sahaja dalam kalangan pelancong dari luar negara, bahkan penduduk tempatan yang percaya terhadap kuasa terapi pasir panas itu.
Seorang penghidap penyakit skiatiks dari bandar Beni Mellal, Ali Kallamouche memberitahu, setiap tahun dia sering berkunjung ke Merzouga untuk terapi pasir.
“Saya akan meluangkan masa selama seminggu menjalani terapi dan saya berasa semakin sihat,” ujarnya.
Skiatiks merupakan sejenis penyakit saraf yang dikaitkan dengan tulang belakang.
Apabila pesakit selesai membenamkan diri dalam pasir panas itu, badan mereka akan dibalut dengan tuala panas supaya tidak mengalami kesejukan secara mengejut. Harga bagi terapi pasir panas ialah 10 euro (RM41.30) selama 10 minit.
Pengunjung yang menjalani sesi terapi bukan sahaja dapat menyembuhkan penyakit, bahkan dapat menikmati suasana matahari terbenam di padang pasir Merzouga.
Safari-safari unta dan penduduk nomad Berber dan Arab masih lagi kekal menjadi salah satu tarikan pelancong, namun dengan keadaan ekonomi yang tidak berapa stabil, pekerja-pekerja dalam industri itu terpaksa keluar mencari sumber pendapatan lain.
Menurut Sadoq, para pengunjung yang hadir juga ingin menikmati makanan-makanan tempatan yang disediakan daripada pelbagai jenis tumbuhan dan herba.
Bidang pelancongan juga merupakan sumber penting dalam ekonomi Maghribi, sekali gus menyumbang sebanyak 10 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar.
Menurut pandangan pakar-pakar industri berkenaan, bidang tersebut semakin berkembang sejajar dengan pemba- ngunan pelancongan kesihatan.
Selain itu, pada Persidangan Spa dan Kesihatan Global di Perancis pada September lalu, pakar-pakar industri tersebut menyatakan, sektor pelancongan kesihatan berkembang di seluruh dunia sebanyak 12.5 peratus pada tahun lalu dengan menyumbang pendapatan sebanyak AS$500 bilion (RM1,625 bilion). Maghribi merupakan tuan rumah persidangan tersebut.
Maghribi berada di kedudukan teratas di Asia Barat dan Afrika Utara dalam pelancongan kesihatan, malah industri itu berkembang lebih 67 peratus sejak tahun 2007.
Sementara itu, di Merzouga semakin ramai yang berminat menjalani terapi pasir panas yang menyebabkan perniagaan lain turut berkembang.
Antaranya termasuklah penjua- lan susu unta yang dikatakan mempunyai keupayaan untuk merawat penyakit diabetes, anemia dan masalah penghadaman.

Saturday, November 1, 2014

Melbourne dingin nyaman




IBARAT pucuk dicita ulam mendatang, promosi Air Asia X yang menawarkan penerbangan tambang murah ke Melbourne terus ditempah walaupun terpaksa menunggu jadual penerbangan lagi sembilan bulan.

Harga promosi yang ditawarkan hanyalah RM650 seorang pergi balik tidak termasuk makananan dan bagasi. Kos ini boleh ditempah kemudian yang penting tiketnya dahulu.

Sembilan bulan menanti akhirnya pada 27 Ogos 2014 kami sekeluarga yang terdiri daripada saya dan isteri serta tiga orang anak berlepas dari klia2 menuju ke Melbourne.

Penerbangan yang memakan masa selama lapan jam akhirnya tiba di Lapangan Terbang Tullamarine pada pukul 8.30 pagi. Mengikut komen daripada blog yang dibaca, peraturan Australia agak ketat dari segi tapisan kastam untuk kemasukan barang makanan dari luar.

Awal-awal lagi borang perisytiharan kastam sudah disediakan dan kami bernasib baik kerana sepanjang urusan kastam dan imigresen di sana tidak ada langsung masalah dan dibenarkan ke balai ketibaan tanpa pemeriksaan.

Keluar sahaja dari balai ketibaan kami terus mencari kaunter Skybus iaitu perkhidmatan bas yang akan membawa kami ke Stesen Southern Cross. 

Tiket Skybus telah pun dibeli sewaktu di Malaysia secara dalam talian. Harga yang dikenakan RM210 untuk tiket pergi dan balik untuk satu keluarga.

Dari Tullamarine Skybus penumpang di bawa ke Stesen Southern Cross yang terletak di bandar raya Melbourne. Dari Southern Cross terdapat perkhidmatan bas pertukaran yang disediakan secara percuma untuk ke hotel penginapan.

Pelancong hanya perlu memaklumkan kepada kaunter tiket maklumat hotel tempat menginap dan mereka akan menentukan bas mana yang patut dinaiki.

Setiba di Hotel Ibis Budget yang telah ditempah awal, dimaklumkan bahawa pendaftaran masuk pada pukul 1 petang tetapi penginap boleh menyimpan bagasi di hotel sementara menunggu waktu daftar masuk.

Memandangkan waktu sekitar 10 pagi dan masih lambat untuk daftar masuk. Kami sekeluarga membuat keputusan untuk meronda kawasan sekitar dan mencari restoran halal yang terdapat di sana.

Hotel Ibis Budget terletak di lokasi yang sangat strategik iaitu berhampiran dengan stesen utama, Flinders Street dan perhentian tram yang berhadapan pintu masuk hotel.

Destinasi pertama ialah melawat stesen Flinders Street yang reka bentuk bangunannya sangat ikonik dan klasik. 

Sewaktu berjalan di sepanjang jalan ini kami perasan ada satu restoran halal iaitu Mama Wong Kitchens tapi malangnya waktu perniagaannya hanya bermula pukul 11.30pagi.

Sementara menanti restoran tersebut dibuka kami menaiki Tram percuma dikenali sebagai City Circle Tram. Tram ini akan membawa kita mengelilingi sekeliling kawasan Bandar Melbourne dan akan berhenti di setiap perhentian. 

Rupa tram ini buruk tetapi klasik. Setelah selesai mencuba tram ini kami kembali semula ke Restoran Mama Wong Kitchens dan memesan nasi goreng daging. Harganya memang mahal kalau dibandingkan dengan harga makanan di Malaysia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20140921/pl_02/Menerjah-dingin-Melbourne#ixzz3F4Fz7trA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, October 10, 2014

Amsterdam warnai cita rasa




AMSTERDAM ialah ibu negara Belanda yang sering digambarkan sebagai 'syurga dunia'. Syurga yang dimaksudkan di sini ialah sikap keterbukaan penduduknya terhadap seks dan pengambilan dadah.

Sebelum terciptanya sistem Internet, rencana dan berita tentang Amsterdam yang dipaparkan di dalam media cetak dan elektronik banyak berkisar kepada dua aspek tersebut selain destinasi pelancongan yang menarik.

Antara tarikan pelancong yang dipaparkan termasuk kincir angin dan bunga-bunga yang beraneka warna serta pelbagai produk tenusunya sebagai lambang produk utama di negara itu.

Unsur-unsur kebebasan tersebut menjadi tarikan untuk saya singgah selama dua hari di Amsterdam sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Saya melakukan transit di bandar itu selepas menghadiri mesyuarat kewartawanan peringkat antarabangsa di Belgium.

Penerbangan dari Belgium ke Amsterdam hanya memerlukan sekitar 30 hingga 40 minit dan sesiapa yang menaiki penerbangan KLM akan singgah di Amsterdam untuk seketika sebelum menuju ke destinasi lain di Eropah.

Keinginan untuk menyaksikan sendiri keadaan di Amsterdam yang sebelum ini dianggap 'menjijikkan' itu sebenarnya tidaklah sehodoh yang digambarkan. Bak kata pepatah Inggeris 'seeing is believing' (melihat sendiri untuk mempercayai).

Selama dua hari saya tinggal di bandar itu tidak ada seorang penagih dadah yang dikaitkan dengan berpakaian lusuh, berbau hapak dan berambut panjang yang saya temui, melainkan para pelancong yang berpakaian kemas dan berkunjung ke sana untuk mencari hiburan.

Selain menjadi destinasi pelancongan popular dunia, Amsterdam juga ialah bandar kosmopolitan yang bersih dengan sistem pengangkutan awam yang efisien malah mempunyai penghuni yang datang dari segenap pelosok dunia yang hidup dalam suasana harmoni.

Sikap keterbukaan warga Belanda ini digambarkan dengan terbinanya muzium seks yang mempamerkan pelbagai karenah dan ragam manusia berkaitan hubungan intim yang dipamerkan menerusi patung-patung yang digerakkan dengan tenaga elektrik.

Terdapat aksi-aksi yang melucukan di dalam muzium itu. Bagaimanapun pengunjung tidak dibenarkan membawa kamera untuk merakamkan aksi lucu patung-patung yang adakalanya lucah... terpulang kepada persepsi seseorang pengunjung.

Terletak berhampiran stesen kereta api utama Amsterdam, bandar yang penuh dengan aktiviti sama ada di sebelah siang mahupun malam itu menawarkan pelbagai corak hiburan bergantung kepada cita rasa seseorang.

Pada sebelah siang, pelancong boleh bersiar-siar di sekitar bandar dengan menaiki bot pelancong yang melalui sepanjang Sungai Amstel (Aeme Stelle) yang bermaksud 'kawasan yang dilimpahi air' dalam bahasa Belanda.

Tidak lengkap jika seseorang pelancong tidak menaiki bot beratap kaca melalui terusan yang mengelilingi bandar Amsterdam yang amat mengagumkan.

Anda boleh menyaksikan aktiviti seharian masyarakat di bandar itu seperti beberapa remaja memancing ikan dengan menaiki bot kecil dan kegiatan para penghuni di dalam rumah masing-masing, kedai-kedai dan juga senario bandar.

Jangan lepaskan peluang untuk merakamkan gambar-gambar menarik sewaktu menaiki bot yang mengelilingi bandar Amsterdam ini.

Muzium Van Gogh juga merupakan destinasi yang menjadi kemestian untuk dikunjungi kerana sejarah sedih dan penuh kontroversi yang dilalui pelukis yang lahir di Zundert, Belanda pada 1853 dan meninggal dunia pada usia 37 tahun pada tahun 1890.

Perjalanan dengan menaiki kereta api ke muzium itu adalah kurang daripada 30 minit. Di sepanjang perjalanan anda boleh melihat pemandangan menarik seperti rumah dan bangunan komersial dengan seni bina Belanda klasik.

Tatkala sampai ke Muzium Van Gogh, anda akan melihat pengunjung yang berbaris panjang sebelum pintu muzium dibuka.

Bangunan muzium itu terbahagi kepada beberapa bahagian. Muzium tersebut mempunyai jumlah koleksi lukisan Van Gogh yang terbanyak di dunia.

Di sini juga anda berpeluang untuk mengikuti perkembangan karier Van Gogh dan membandingkan karya-karya lukisannya dengan pelukis lain pada abad ke-19.

Di muzium itu juga anda boleh menyaksikan lebih daripada 200 lukisan Van Gogh yang menggunakan cat selain lakaran dan surat-suratnya.

Antara hasil karya lukisan Van Gogh adalah berkaitan landskap, kehidupan petani, still life, dan potretnya sendiri.

Jika anda cintakan seni dan mahu membawa pulang karya lukisannya yang dicetak semula atau dalam bentuk cenderahati, anda boleh membelinya di kawasan luar muzium dengan harga yang berpatutan.

Berhubung makanan halal yang menjadi pilihan utama para pelancong Muslim, perkara ini tidak menjadi masalah kerana terdapat banyak restoran Islam yang menyajikan pelbagai makanan halal di sana.

Jika anda seorang yang suka kepada cenderahati dan barangan kecil untuk dibawa pulang sebagai hadiah untuk rakan-rakan, di Amsterdam terdapat banyak kedai yang menjual pelbagai jenis barang seperti kunci angin, bunga-bungaan dan patung wanita berpakaian tradisional Belanda dalam bentuk miniature.

Saya membelanjakan sekurang-kurang RM500 untuk membeli barangan kecil tersebut untuk koleksi almari selain diagihkan kepada rakan-rakan dan sanak saudara sebagai buah tangan.

Oleh kerana saya melancong seorang diri, maka memadai dengan hanya menyewa bilik hotel bajet rendah yang berhampiran stesen kereta api. Lokasi sedemikian amat penting bagi memudahkan saya sampai ke destinasi pelancongan di samping mencari tempat makan dengan selesa.

Hanya yang tidak menyelesakan ketika melancong seorang diri ialah perasaan suka dan duka atau terharu ketika berada di sesuatu tempat tidak dapat dikongsi dengan orang lain.

Anda juga mesti membuat persiapan rapi seperti membaca atau mengkaji tentang sesuatu tempat terlebih dahulu sebelum membuat tempahan tiket di samping mengetahui undang-undang di negara tersebut.

Kesemua ini penting kerana undang-undang dan peraturan di sesebuah negara tidak sama dan begitu juga dengan budaya masyarakatnya. Maka kepelbagaian dan perbezaan inilah yang menjadi seseorang pelancong teruja untuk berkunjung ke Amsterdam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20140907/pl_01/I-amsterdam-penuhi-kepelbagaian-cita-rasa-pelancong#ixzz3F4FApS2l
© Utusan Melayu (M) Bhd