Saturday, April 5, 2014

Jelajah solo Anita Yusof

DIA tidak pernah memiliki motosikal sendiri mahupun lesen untuk menunggang kenderaan dua roda tersebut. Segalanya bermula selepas dia membaca satu blog catatan pengembara bertajuk Dengan Basikal Aku Menjelajah, yang membakar semangatnya untuk mengembara menaiki motosikalnya sendiri.

Pada usia ketika itu mencecah 43 tahun, Anita Yusof membuktikan tiada apa yang boleh menjadi halangan sekiranya diri sendiri sudah menetapkan matlamat.

Dengan usaha dan azam yang kuat, Anita telah berjaya membuktikan kemampuan dirinya mengembara menggunakan motosikal dan lebih membanggakan ia dilakukan secara bersendirian.

Dengan hanya berbekalkan minat, Anita, mencari ‘sifu’ yang sesuai untuk memberi tunjuk ajar, namun dia diarah membeli motosikal dan mendapatkan lesen terlebih dahulu sebelum menuntut ilmu.

“Tidak sampai dua minggu saya kembali menemui ‘sifu’ saya itu, seorang pengembara bernama Hadi Husin. Dia pernah menjelajah dari Kuala Lumpur ke Kota London menaiki motosikal kapcai.

“Dia juga yang mengajar saya teknik menunggang yang betul dan aspek-aspek keselamatan ketika mengembara solo. Sikap profesional dan ketegasannya memberikan saya keyakinan dan keberanian untuk mengembara ke negara asing menggunakan motosikal.

“Hampir dua bulan selepas belajar, kami merentasi Thailand, Myanmar, Laos, China, Vietnam dan Kemboja, dalam jelajah yang memakan masa selama 23 hari.

“Memang pada masa itu saya masih takut-takut membawa motosikal dan terhoyong-hayang apabila ada kenderaan besar lalu di tepi. Lama kelamaan saya semakin mahir," katanya yang merupakan pensyarah jabatan pendidikan jasmani di Institut Pendidikan Guru (IPG), kampus Ipoh, Perak.

Perjalanannya merentasi negara-negara Asia itu lebih bermakna apabila dia berjaya menempuh seba­nyak 1,684 selekoh untuk sampai ke satu tempat diberi nama Thousand Corner, yang terletak di Mae Hong Son, utara Thailand.

Laluan tersebut dianggap antara yang paling mencabar bagi setiap pe­ngembara motosikal.
Malah, kegembiraan dan keyakinannya yang semakin tinggi untuk mengembara secara solo dengan bermotosikal, mendorongnya menjelajah sekali lagi ke Thailand, Myanmar, Laos, China, Vietnam dan Kemboja, kali ini secara solo dalam tempoh 12 hari.

Selepas yakin dengan kemampuannya, Anita yang kini berusia 47, memulakan satu lagi langkah berani iaitu menjelajah lima negara di Asia Tengah bermula 22 Mei lalu.

Pengembaraan solo yang disifatkan sebagai epic solo ride, ibu kepada dua anak ini menunggang motosikal seorang diri melalui Uzbekistan, Kazakhstan, Kyrgystan, Tajikistan dan Pakistan.

Melawat ke negara-negara tersebut memang menjadi impiannya sejak sekian lama kerana ingin menyaksikan sendiri keindahan muka bumi rantau Asia Tengah itu.

Katanya, antara persiapan penting sebelum bertolak ialah mendapatkan permit bagi memastikan perjalanan sah dan lancar.

“Sepanjang perjalanan ke lima negara itu, saya berkomunikasi dengan pihak berkuasa dan rakyat di sana hanya dalam bahasa isyarat kerana mereka tidak tahu berbahasa Inggeris dan saya pula tidak faham bahasa tempatan.

“Bagaimanapun perjalanan saya lancar dan lebih menarik, saya tidak mengalami sebarang kejadian tidak diingini seperti tayar pecah dan sebagainya, biarpun melalui jalan berbukit yang penuh batu kerikil yang turut dikenali sebagai laluan kambing," katanya.

SALAH satu impian yang berjaya dicapai Anita Yusof iaitu menyaksikan puncak tertinggi dunia Gunung Everest, biarpun pendakian sekadar sampai base camp.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20140813/pl_01/Jelajah-solo-Anita-Yusof#ixzz3FYkss57u
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, April 4, 2014

Imperial tarikan baru Kuching

AHLI perniagaan dan badan korporat pasti akan tertarik dengan perkhidmatan dan kemudahan yang terdapat di Hotel Imperial Kuching, Sarawak yang baharu dirasmikan pada 9 Jun lalu.

Dua dewan utama dengan sembilan bilik mesyuarat pelbagai guna, saiz dan bentuk meliputi kawasan seluas 5,856 meter persegi dilihat dapat memenuhi keperluan bagi pelbagai acara mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).

Dewan tersebut iaitu Imperial Grand Ballroom dan Boulevard Grand Ballroom masing-masing dapat menempatkan seramai 1,400 tetamu untuk bankuet dan 500 orang bagi acara resepsi secara bankuet.

Selain itu, terdapat sembilan lagi bilik mesyuarat pelbagai guna, saiz dan bentuk memenuhi keperluan penganjuran seminar dan mesyuarat.

Mempunyai kumpulan pekerja yang berdedikasi dalam memberikan perkhidmatan berkualiti setiap masa, Hotel Imperial Kuching merupakan tempat yang sesuai untuk mengadakan apa sahaja majlis.

Malah lebih mengujakan apabila hotel itu juga terletak di bangunan yang sama dengan pusat membeli-belah Boulevard yang menempatkan pelbagai kedai dan restoran.

Selain itu, kedudukannya strategik iaitu hanya lima minit memandu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan 10 minit untuk ke kawasan perniagaan di pusat bandar.

Selain itu, hotel ini merupakan yang pertama di Sarawak melanggani Solusi Hospitaliti Hiburan daripada Telekom Malaysia Berhad dengan pakej hiburan serta teknologi maklumat dan komunikasi terkini.

Solusi Hospitaliti Hiburan itu merupakan pakej yang terdiri daripada penyelesaian jalur lebar dalam bangunan (in-building broadband solution - IBS), perkhidmatan IPTV TM-HyppTV dan perkhidmatan pusat panggilan.

Hotel kelas perniagaan bertaraf empat bintang ini menawarkan 339 bilik tetamu dan suites termasuk dua aras eksekutif dengan rekaan teliti yang praktikal dan menenangkan minda.

Setiap bilik dilengkapi dengan televisyen LED 42 inci, peti sejuk, mini bar, kemudahan membuat kopi dan teh, saluran HyppTV, bilik air dengan tab mandi yang berasingan dengan paip mandi, seterika dan papan seterika, pengering rambut serta kemudahan WiFi percuma.

Kemudahan lain yang turut disediakan kepada tetamu hotel adalah pusat kecergasan di aras enam yang lengkap dengan gimnasium, sauna dan kolam renang.

Bagi mereka yang memandu kenderaan sendiri, mereka boleh meletakkan kereta secara percuma di parkir bawah tanah, manakala pengangkutan percuma berjadual disediakan dari atau ke lapangan terbang serta daerah pusat perniagaan.

Bagi keperluan makanan, sebuah restoran kontemporari, Restoran Imperial Garden menawarkan komprehensif menu ala carte gabungan makanan barat, timur dan tempatan serta bufet sarapan.

Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Imperial Hotel Kuching di talian 082-588999 atau e-mel ke enquiries@imperialhotelkuching.com.my atau melayari laman web www.imperialhotelkuching.com.my.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20140809/pl_01/Imperial-Kuching-sedia-penginapan-lengkap#ixzz3FYkBuMmO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, April 3, 2014

Kafe Replete selera unik

KONSEP seni yang ditonjolkan di Kafe Replete ternyata memberi suasana tenang kepada pelanggan sebaik sahaja melangkah masuk ke kafe yang terletak di Taman Perindustrian 2010, Jalan Lencong Barat, Alor Setar, Kedah itu.

Kafe yang diuruskan oleh seorang anak muda, Muhamad Adam Rozali, 23, bersama ahli keluarganya menyajikan lebih 10 hidangan makanan ala barat kepada pelanggan dengan harga serendah RM3.90.

Swedish Meatball dan chicken chop yang dihidangkan bersama sos hasil daripada resipi tersendiri antara sajian popular di kafe yang mula beroperasi sejak Julai lalu.

Selain itu, kafe ini turut menyediakan menu lain menggunakan nama Replete seperti Replete's Fried Rice (Nasi Goreng Replete's) dan Replete's Burger yang ternyata memberi kelainan pada sajiannya.

Replete's Fried Rice yang dijual pada harga RM5.90 turut dihidangkan bersama nugget.
Bukan itu sahaja, malah di kafe ini juga pelanggan dapat menikmati hidangan ala Itali seperti spageti carbonara dan bolognese.

Manakala kentang goreng, kepak ayam dan sup cendawan disajikan sebagai makanan sampingan atau untuk pelanggan yang mahu menikmati makanan ringan.

Bagi minuman, pelanggan diberi pilihan untuk memilih minuman sejuk ataupun panas dan antara yang perlu dirasai pengunjung adalah Replete's Blackcurrant dan Latte Ice Blended.

Menurut Muhamad Adam yang merupakan graduan jurusan seni bina itu, idea membuka kafe berkonsep moden itu bukan sahaja diilhamkan oleh dirinya seorang malah seluruh ahli keluarga.

Katanya, keseluruhan dekorasi kafe itu dibuat sendiri bersama keluarga termasuklah idea menggunakan meja dan kerusi makan yang diperbuat daripada kayu palet.

"Meja dan kerusi kayu palet ini kami buat untuk tampilkan kelainan pada kafe, selain mengikut dekorasi terkini dan cita rasa generasi muda.

"Di sini, pelanggan tidak hanya datang untuk makan, malah mereka juga boleh bermain alat muzik seperti gitar dan cajon," katanya.

Muhamad Adam berkata, bagi pelanggan yang meminati seni, mereka berpeluang menghayati karya seni di setiap ruang dinding kafe tersebut.

Bukan itu sahaja, malah katanya, dia kini sedang merancang untuk menghias dinding kafe dengan lukisan graviti yang membawa mesej tertentu.

"Lukisan graviti pada dinding kafe adalah salah satu perancangan masa hadapan, selain kami akan menambah menu dan menyajikan pencuci mulut seperti kek kepada pelanggan," ujarnya.

Tambah Muhamad Adam, kafe itu terbahagi kepada dua ruang iaitu zon merokok dan tidak merokok untuk memberi keselesaan kepada pelanggan.

Kafe Replete dibuka setiap hari kecuali Selasa dan mula beroperasi pada pukul 5 petang hingga 12 tengah malam di Taman Perindustrian 2010, Jalan Lencong Barat, Alor Setar, Kedah.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20140809/pl_02/Hidangan-ala-Barat-di-Kafe-Replete#ixzz3FYjZbeob
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, April 2, 2014

Kota Raya Pilihan Pelancong

        
Berikut adalah senarai 10 kota roya pilihan utama pelancong dunia yang dikeluarkan oleh portal MSN Travel.com 2014. Jom kembara bersama bagi mengetahui lebih lanjut kelebihan yang menjadikan sebab utama mereka dipilih sebagai Top10 pada anugerah tahunan anjuran laman panduan pelancongan terkemuka TripAdvisor.

1. ISTANBUL, TURKI
Sebuah negara yang memiliki dua benua antara timur dan barat dipenuhi bangunan seni bina tradisional ini berjaya menjadikannya sebagai bandar raya yang wajib dikunjungi. Lokasi yang mesti dilawati dan tidak wajar dilepaskan begitu sahaja ialah Grand Bazaar yang telah dibuka sejak tahun 1460-an lagi.

2. ROM, ITALI
Ibu kota Itali ini bukan sahaja penuh bersejarah malah mempunyai tempat-tempat yang dianggap istimewa sehingga berjaya menarik tumpuan pelancong dunia. Antaranya Trevi Fountain dan Gereja Sistine. Disebabkan itu, Rome berjaya menduduki tempat kedua pada tahun ini berbanding keempat pada tahun sebelumnya.

3. LONDON, ENGLAND
Merupakan antara kota ikon kepada benua Eropah dan masih amat popular untuk dilawati pelancong. Antara tempat bersejarah yang menarik minat pelancong dunia untuk dikunjungi ialah Menara London, Tower Bridge, Benteng Windsor, Sungai Thames, Menara Big Ben, ‘Shakespeare’s Globe Theatre’, ‘Hampton Court Palace’ dan Istana Kensington. Ditambah, kegilaan peminat bola sepak di seluruh dunia terhadap populariti kelab Liga Perdana Inggeris berjaya mengekalkan London di tangga ketiga selama dua tahun berturut-turut.

4. BEIJING, CHINA
Kota Larangan atau lebih dikenali sebagai 'Forbidden City' yang menjadi istana dan pusat pentadbiran zaman feudal China selain Kuil Syurga (Temple of Heaven) serta memiliki lebih daripada 100 buah muzium tumpuan dunia itu meletakkan ibu negara China yang mempunyai penduduk kedua terbesar selepas Shanghai kira-kira 21 juta orang ini di tempat keempat.

5. PRAGUE, REPUBLIK CZECH
Dipilih sebagai Top10 kerana kekayaan negara tersebut terhadap nilai budaya dan kehidupan tradisinya. Banyak tempat bersejarah di sini menjadikannya dipilih sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Buat pengetahuan semua, sepanjang tahun lalu sahaja, kota ini telah berjaya menarik kehadiran lima juta pelancong antarabangsa.

6. MARAKECH, MAGHRIBI
Kota ini menjadi pusat budaya di Afrika Utara. Malahan ia satu-satunya kota raya dari benua Afrika yang menjadi pilihan di kalangan pengembara dan pelancong selepas berlaku kegawatan politik di Mesir. Sekiranya pengembara dan pelancong mahu merasai untuk menjejak kaki ke benua Afrika Utara maka Maghribi yang menjadi satu-satunya lokasi paling sesuai untuk dikunjungi.

7. PARIS, PERANCIS
Bandar raya ini memang menjadi impian setiap pelancong terutama pasangan yang sedang berpacaran ataupun baru berkahwin. Walaupun tercicir dari segi ranking, Paris terus menawarkan pelancong peluang untuk berseronok. Antaranya peluang melihat pemandangan menakjubkan selain memiliki banyak galeri yang menyimpan koleksi seni terbaik di dunia meskipun kedudukan kota yang dilabel sebagai Kota Cinta dan Kota Fesyen ini merosot teruk dari tempat pertama tahun lalu ke tangga kelapan tahun ini.

8. HANOI, VIETNAM
Terletak di utara Vietnam dan menjadi hab kepada pelbagai budaya utama. Antara tujuan pelawat datang ke negara ini adalah untuk menemui pelbagai artifak menarik yang mempunyai hubung kait dengan sejarah panjang negara ini dan sebaran penduduk di Asia Tenggara.

9. SIEM REAP, KEMBOJA
Sejak akhir-akhir ini Siem Reap semakin menjadi destinasi popular di kalangan pelancong. Tarikan utamanya ialah kompleks kuil purba iaitu Angkor Wat yang dipercayai dibina pada abad ke-12. Bukan itu sahaja, seni bina purba seperti Angkor Wat juga dipercayai menjadi lokasi menarik untuk orang ramai merakam gambar atau membuat sesi fotografi.

10. SHANGHAI, CHINA
Berjaya merebut tempat kesepuluh dalam senarai utama pelancong di seluruh dunia. Tarikan Shanghai adalah sebuah kota raya paling moden di China dan ditabalkan sebagai kota raya terbesar di dunia selain memiliki penduduk paling ramai. Walaupun kemunculan bangunan-bangunan pencakar langit, moden dan kontemporari namun bangunan lama masih dikekalkan dan dibaik pulih sebagai warisan sejarah.
                               
Kedudukan unik antara benua Eropah dan Asia menjadikan Istanbul kota raya pilihan utama pelancong antarabangsa.

Tuesday, April 1, 2014

Penerbangan Kos Murah

Sekiranya anda mahu bercuti dengan menaiki kapal terbang yang menawarkan tiket pada harga rendah, senarai berikut diharap dapat membantu anda memilih syarikat penerbangan bersesuaian dengan kos bajet anda sendiri.

Hasil kajian berdasarkan pengiraan purata harga 3.2 juta tambang penerbangan syarikat tambang murah seperti didapati di laman web perbandingan penerbangan (flight comparison site) daripada Jun 2014 ke atas.

Menurut laporan akhbar Herald Sun dari Australia baru-baru ini yang dipetik laman portal berita tempatan Malaysia Gazette, anak syarikat Malaysia Airline System Berhad (MAS) iaitu Firefly menduduki tempat pertama dalam senarai itu.

Berikut adalah senarai 15 syarikat penerbangan tambang murah paling murah di dunia serta purata harga tiket sebagai rujukan untuk anda merancang percutian pada kos efektif:-


1. Firefly (Malaysia) - RM 133.24 
2. VivaAerobus (Mexico) - RM208.95 
3. Air Asia (Malaysia) - RM218.03 
4. SpiceJet (India) - RM230.14 
5. FastJet (Tanzania)- RM233.17 
6. Onur Air (Turki) - RM245.28 
7. Atlasjet (Turki) - RM275.57 
8. Tigerair (Singapura) - RM277.08 
9. Pegasus Airlines - (Turki) – RM284.65 
10. Ryanair (Ireland) – RM287.68 
11. IndiGo Air (India) - RM299.79 
12. Peach (Jepun) - RM308.88 
13. Wizz Air (Hungary) - RM310.39 
14. Jetstar (Australia) - RM339.16 
15. Allegiant Air (Amerika Syarikat) – RM 345.21
Syarikat Firefly banyak berjasa membantu penumpang yang kurang berkemampuan untuk menaiki penerbangan pada harga rendah.