Saturday, May 24, 2014

Usah Terlalu Tonjol Diri

Bagi yang kali pertama melancong tidak kira dalam negara apatah lagi ke luar negara, tip mudah: Jangan terlalu menonjolkan diri anda di tempat awam sebagai pelancong; khususnya di negara asing yang diketahui kadar jenayahnya agak ketara. Berikut tip-tip ringkas untuk panduan anda:

1. Jika anda tidak tahu ke destinasi mana hendak dituju dan kebetulan perlu melihat peta walaupun guna gajet tablet, jangan terlalu menonjolkan perbuatan tersebut dan cuba cari tempat yang kurang orang seperti di dalam kafe atau pondok telefon awam.

2. Pakailah pakaian yang biasa dan tidak terlalu nampak jauh berbeza daripada penampilan penduduk tempatan dan bukan ketara lagaknya ala pelancong Mat Saleh seperti berbaju corak bunga warna terang diiringi sebuah kamera digantung di leher.

3. Berwaspada selalu sekiranya anda perasan dan menyedari ada seseorang yang asyik memerhatikan gerak-geri perjalanan anda dan jika perlu berjalan di kawasan tidak terlalu sesak ramai orang yang dibimbangi anda menjadi mangsa seluk saku.

4. Elakkan daripada memakai atau menunjuk-nunjuk sebarang barangan kemas walaupun kecil yang mampu membuatkan pencuri atau perompak tidak perlu berfikir dua kali untuk terus menyamun anda, sebaliknya simpan barang kemas tidak perlu di hotel.

5. Cuba sesuaikan diri dengan keadaan sekeliling dan jangan cuba pula berlagak sebagai seorang pelancong, malah anda boleh minta bantuan petugas kaunter hotel mengenai senario tempat anda melancong termasuk adat pantang larang masyarakat setempat.
                                   
Biarlah penampilan diri dan pakaian anda tidak terlalu nampak keterlaluan di tempat awam terbuka.

Friday, May 23, 2014

Apabila Berlaku Kecemasan...

Bukan semua negara yang anda ingin lawati itu berada dalam keadaan aman sentosa, malah ada yang sentiasa bergolak sepanjang masa dan tidak kurang juga yang tiba-tiba boleh pula tercetus kekacauan tanpa sebarang tanda-tanda amaran.
Kebiasaan Wisma Putra iaitu Kementerian Luar Negeri di Putrajaya akan memaklumkan semua pejabat perwakilan Konsulat Malaysia atau Kedutaan Malaysia (bagi negara-negara bukan Komanwel) atau Suruhanjaya Tinggi Malaysia (negara-negara Komanwel).
Memo nasihat perjalanan atau travel adivisory akan segera dikeluarkan tetapi jika anda sudah pun berada di negara tersebut dan kebetulan terperangkap pula dalam insiden kecemasan, berikut disenaraikan antara petua yang boleh dijadikan rujukan:
1. Dapatkan nasihat dan maklumat terkini daripada ketua rombongan anda atau pemandu pelancong atau pun laman internet pihak berkuasa mengenai tahap keselamatan kawasan yang ingin anda lawati sendiri, terutamanya pada waktu malam.

2. Elakkan daripada berjalan kaki secara bersendirian atau melalui kawasan yang sunyi sepi waima pada waktu hari siang, seelok-eloknya biarlah berteman walaupun hanya untuk pergi membeli sedikit makanan ringan dekat hotel penginapan anda.

3. Sekiranya anda dirompak atau diragu
t, elakkan daripada melawan penjenayah itu kerana anda perlu lebih sentiasa ingat nyawa anda adalah lebih berharga berbanding hilang harta benda yang sebenarnya boleh dicari ganti kemudian.

4. Jauhkan diri anda daripada memasuki kawasan larangan atau bahaya berlaku letupan bom, kejadian pergaduhan, pertelingkahan politik, demonstrasi dengan pasukan polis pencegah rusuhan atau tunjuk perasaan dengan serta-merta.
5. Jika malapetaka bencana alam seperti banjir, tsunami, gempa bumi, angin taufan, puting beliung, ribut pasir, letusan gunung berapi, kebocoran radioaktif dan sebagainya, segera rujuk agensi kecemasan tempatan untuk bantuan pihak kedutaan.
Elak daripada terlibat dalam apa jua konflik yang meletus di negara tempat anda sedang melancong.


Thursday, May 22, 2014

Elak Bosan Dalam Pesawat

Kepada anda yang mungkin jarang menaiki pesawat atau kali pertama mengembara dengan kapal terbang, duduk statik agak lama pasti menjemukan anda. Justeru, sila amalkan beberapa panduan untuk memastikan perjalanan anda tidak bosan apatah lagi jika penerbangan jarak jauh 
1. Bawa buku nota. Masa yang ada di dalam penerbangan boleh diluangkan dengan menulis nota penting di dalam buku anda. Sekiranya anda di dalam perjalanan untuk melancong, masa yang ada boleh diluangkan untuk mentelaah tempat-tempat yang bakal anda lawati setelah sampai ke destinasi. Jika anda terbang untuk tujuan kerja, boleh juga diluangkan masa untuk menyiapkan kerja-kerja yang masih belum selesai.

2. Dapatkan rehat yang cukup. Mengembara ketika badan keletihan terutama selepas sibuk habis kerja amat perlu dielakkan. Badan yang letih akan membuatkan minda anda hilang fokus, maka berlakulah kejadian-kejadian seperti keciciran pasport, tertinggal kapal terbang, mood yang tidak baik dan sebagainya. Pastikan anda mendapat waktu rehat yang secukupnya pada hari sebelum anda menaiki kapal terbang.

3. Berbual santai. Masa yang lama di dalam kapal terbang adalah tempoh waktu yang amat sesuai untuk anda berbual secara santai dengan ahli keluarga, rakan-rakan ataupun sesiapa sahaja yang duduk di sebelah anda. Berbual akan mengelakkan diri anda daripada berasa bosan. Selain itu, ianya juga dapat mengeratkan silaturrahim dan mungkin memberi idea kepada anda sebaik tiba di lapangan terbang.
4. Daftar masuk awal. Satu perjalanan yang baik bermula dengan permulaan baik. Kalau daripada mula sudah kelam kabut, maka keseluruhan perjalanan jadi tidak menentu. Pastikan anda tiba awal di lapangan terbang dan daftar masuk atau check-in bagasi pada waktu yang disarankan dua jam sebelum pelepasan. Ingat biar datang awal daripada bergegas penat jika tiba lewat.
5. Naik taraf tiket anda. Kepada mereka yang ada bajet lebih, menaik taraf tiket perjalanan anda daripada kelas ekonomi kepada kelas pertama akan memastikan keselesaan yang lebih dengan servis yang lebih bagus. Bagi penerbangan jarak jauh, membeli tiket kelas pertama sebenarnya agak berbaloi. Sesekali mahu merasa menaiki kelas pertama, apa salahnya, bukan begitu?



Lebih baik isi masa dengan bersembang sepanjang penerbangan untuk elak aktiviti percutian anda daripada terbiar kosong begitu saja.

Thursday, April 10, 2014

Hujung minggu di Janda Baik


GAYA hidup sibuk dan penuh tekanan tidak harus dijadikan penghalang untuk menikmati kehidupan berkualiti untuk diri sendiri. Justeru, cuti panjang sempena Hari Kemerdekaan baru-baru ini, penulis bersama dua rakan berkunjung ke Janda Baik, Pahang.

Perkampungan Melayu di lereng Banjaran Titiwangsa, daerah Bentong itu terletak kira-kira 600 meter dari paras laut. Ia terkenal dengan udaranya yang dingin dan suasana persekitarannya yang nyaman.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke perkampungan itu sangat mudah. Janda Baik terletak kira-kira 40 kilometer (km) dari ibu negara. Ia boleh didatangi melalui Lebuh Raya Karak.

Perjalanan menaiki kereta hanya mengambil masa kira-kira 45 minit di mana pelancong dikehendaki menyusur keluar ke persimpangan Genting Sempah menuju ke Janda Baik.

Di pintu masuk, terdapat puluhan papan tanda calet-calet dan resort di kawasan itu. Malah, papan tanda itu seolah-olah bertindak menjadi pemandu arah, sekali gus menyambut kedatangan pelancong-pelancong tempatan mahupun luar negara.

Tanpa berlengah, penulis menuju ke Harmony Excellence Resort yang terletak di Lorong Chemperoh Satu untuk penginapan memandangkan hari sudah semakin petang.

Keunikan resort ini adalah ia sangat mesra dengan keperluan pelancong Islam, selain memiliki prasarana lengkap untuk menjalankan aktiviti riadah terutama bina diri.

Terdapat surau, WiFi, dewan makan, astaka, Astro dan pendingin hawa mengikut jenis bilik, selain parkir kereta. Bukan itu sahaja, pelancong atau peserta kem bina diri tidak perlu risau dengan keselamatan mereka kerana kawasan resort dikelilingi pagar.

Sementara mengisi masa lapang pada waktu petang dan malam, pengunjung yang gemar beriadah boleh melakukan aktiviti seperti berakit, memancing, berkhemah dan paintball. 

Manakala, pelancong yang sekadar mahu bersantai, terdapat gelanggang badminton dan bola tampar disediakan, selain berehat di astaka sambil bermain congkak dan karom. 

Setelah penat beriadah dan bersukan, pengunjung boleh mengadakan aktiviti barbeku di tepi sungai pada sebelah malam.

Lari dari kesibukan kota metropolitan Kuala Lumpur, pelbagai aktiviti boleh dilakukan pada hari berikutnya di resort ini dan tidak hanya terbatas untuk kegiatan riadah atau bina diri sahaja.

Bagi mereka yang menggemari aktiviti lasak, boleh melakukan aktiviti seperti berakit, memancing, berkhemah, merentas hutan dan sungai.

Selain itu, pengunjung juga mempunyai pilihan untuk mendaki bukit untuk ke air terjun berdekatan seperti air terjun Ulu Tampit yang popular dengan tingkat-tingkat tertentu mengikut ketinggian semula jadi yang dimilikinya.

Untuk merasai pengalaman unik dan menyaksikan flora dan fauna ciptaan Allah SWT yang mengkagumkan ini, khidmat pemandu pelancong disediakan di sini.

Tidak hairanlah sepanjang berada di situ, pengunjung masih boleh menikmati udara segar dan sejuk. Pada sebelah malam pula, ada kalanya suasana nyaman dan sejuk itu mampu mencatatkan suhu sehingga 23 darjah celsius.

Menurut pemilik resort, Nor Hashim Abdullah, matlamat utama resort itu diwujudkan ialah menjadikannya sebagai sebuah pusat sehenti program bina diri dan percutian khususnya bagi mengisi cuti hujung minggu.

"Kelebihan perkhidmatan kami adalah sentiasa fleksibal dan mendahulukan keselesaan pengunjung," katanya.

Tambah Nor Hashim, sebarang tempahan boleh dilakukan melalui panggilan telefon atau laman sosial, Facebook. Malah, tempahan yang dilakukan oleh pihak institusi pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan akan diberikan pakej harga istimewa.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20140906/pl_01/Berhujung-minggu-di-Janda-Baik#ixzz3FYoH4UXM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, April 9, 2014

Ramah warga bumi Kelabit





Bario? Di mana tempat ini? Apa ada di Bario? Itu adalah antara persoalan yang terdetik dalam fikiran penulis tatkala menerima tugasan ke dataran tanah tinggi berdekatan Kalimantan, Indonesia ini.

Berpeluang ke Bario bersama beberapa lagi pengamal media lain melalui rombongan Kembara Media 1Malaysia yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia baru-baru ini memberi pengalaman baru.

Bario adalah penempatan bagi masyarakat Kelabit, yang terkenal dengan sifat rajin bekerja, dan sumber bagi beras wangi Bario. Selain itu, ia terkenal dengan nanasnya yang segar dan manis.

Bario mempunyai kira-kira 1,500 penduduk dan 90 peratus daripada mereka adalah masyarakat Kelabit, selain bakinya Penan, Melayu dan Cina. Siapa sangka, masyarakat Kelabit yang dahulunya dikenali sebagai pahlawan serta pemburu kepala yang berani dan digeruni, kini amat pemurah dengan sapaan mesra dan senyuman menawan.

Kemesraan dan kesantunan masyarakat pribumi itu jelas dirasai apabila rombongan media yang menjejakkan kaki ke rumah panjang di Bario Asal dirai dalam sambutan yang cukup kaya dengan tradisi.

Di hadapan muka pintu, penghuninya yang tidak putus-putus menguntumkan senyuman, berbaris panjang bagi menyambut ketibaan tetamu dan ada yang menyua minuman buah nanas kepada mereka untuk terus diminum menggunakan penyedut minuman.

Tetamu juga dikalungkan dengan seutas rantai bermanik halus sebelum diajak menari, dengan berpegang pinggang atau bahu beramai-ramai sambil menghayun derap langkah penuh gemalai mengikut alunan lagu tradisional Kelabit.

Tarian ’Makasor’, yang bermaksud long dance, adalah sebagai tanda mengalu-alukan kehadiran tetamu ke rumah panjang yang kukuh berdiri sejak tahun 1963 lagi.

Tidak cukup dengan itu, kumpulan wanitanya yang lengkap berpakaian tradisional `Sapa Arit' dan bertopi manik ’Peta’ kemudian turut menyanyikan lagu epik kaum Kelabit, `Adih’ kepada tetamu.

Menurut Pun Ngalinuh Karuh, yang usianya hampir menginjak 100 tahun, lagu sarat sejarah itu mengisahkan mengenai wira Kelabit, Angan Tandun yang amat mereka agungi.

“Masyarakat Kelabit amat menghargai dan menganggap tetamu yang berkunjung ke Bario sebagai hero seperti Angan Tandun kerana untuk masuk ke Bario bukan mudah," katanya.

Rumah panjang moden namun tetap mengekalkan ciri-ciri keaslian itu mempunyai 23 unit pintu yang setiap pintu secara purata diduduki seramai enam orang sekeluarga.

Setiap pintu dihiasi potret wajah keluarga dari kecil hingga dewasa, malah turut dilengkapi dengan bilik privasi masing-masing, ruang tamu dan dapur memasak terbuka yang masih menggunakan kayu api.

Ketua kaum Bario Asal Kelabit, Laju Balang berkata, masyarakat Kelabit yang tinggal di Bario kebanyakkannya adalah generasi tua dan mereka mudah dikenali dengan tatu ukiran tradisional serta subang logam berat tergantung di cuping telinga yang panjang.

“Golongan belia kebanyakannya meninggalkan Bario selepas tingkatan tiga untuk menyambung pelajaran di bandar seperti di Miri dan Kuching kerana di sini tidak menawarkan pendidikan menengah atas," katanya.

Beliau berkata meskipun hidup jauh dari arus pemodenan, ia tidak menjadi batu penghalang untuk anak Kelabit berjaya, buktinya ramai yang memegang pelbagai jawatan professional antaranya doktor, peguam, jurutera, arkitek dan dalam badan kerajaan.

Katanya, antara nama besar yang berjaya dilahirkan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala dan Pengarah Imigresen Sarawak, Datuk Robert Lian Balangalibun.

Laju berkata sejak turun temurun masyarakat Kelabit, tanpa mengira lelaki atau wanita, amat kuat bekerja, malah aktiviti ekonomi utama komuniti itu ialah penanaman, terutama padi yang menghasilkan beras Bario dan nanas.

“Sayur-sayuran juga ditanam sendiri, malah makanan harian dimasak menggunakan bahan-bahan segar yang dipetik sendiri," katanya.

Kelabit juga mempunyai beberapa permainan tradisional yang rata-ratanya bertujuan untuk mengukur dan membuktikan keperkasaan pemuda bagi menarik perhatian kaum wanita.

Permainan Melakut Karat yang membawa maksud tarik dan tolak misalnya, benar-benar menguji kekuatan seseorang lelaki, apabila mereka perlu menarik kayu balak yang hujungnya ditanam dalam tanah dengan sekuat hati dan sejauh yang boleh.

Jarak tarikan kayu balak tersebut kemudian akan diukur dan pemuda yang berjaya menarik paling jauh akan menjadi sebutan dan perhatian wanita.

Permainan lain yang menguji kekuatan adalah matitiew batuh atau baling batu, di mana seseorang pemuda itu perlu membaling sebiji batu yang amat besar dan berat ke tanah, sebelum jarak balingan itu diukur.

Selain itu, dalam permainan tebpak apo yang bermaksud cucuk atas, pemuda perlu melompat tinggi sambil cuba mencucuk atap nipah dengan menggunakan lidi.

Kebanyakan pengamal media yang mencuba permainan yang diaturkan oleh para guru dan pelajar di Sekolah Menengah Bario itu tidak berjaya kerana ketinggian atap amat sukar dijangkau.

Kunjungan ke Bario tidak lengkap sekiranya tidak singgah ke lokasi pembuatan garam yang diambil secara manual dari telaga masin Main Kerambut di Kampung Pa’Umor, yang terletak kira-kira 1,100 meter di atas paras laut.

Garam itu dikatakan memiliki pelbagai khasiat tersendiri berbanding garam biasa, antaranya zat besi, kalsium, pottasium, kalium dan magnesium semulajadi, selain digunakan secara tradisional bagi mengubati penyakit beguk.

Bagi mengunjungi telaga semulajadi itu, yang terletak di sebuah bangsal kecil, ia memerlukan seseorang itu merentas kawasan hutan yang agak berlumpur dan berbukit kira-kira 30 minit.

Telaga air masin itu menjadi lubuk rezeki kepada masyarakat setempat. Beberapa keluarga mengambil giliran setiap minggu mengusahakan garam berkenaan sebelum menjualnya kepada penduduk Bario dan Miri, selain untuk kegunaan sendiri. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20140904/pl_01/Keramahan-bumi-Kelabit#ixzz3FYnpfHm0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, April 8, 2014

Santai lena pesona Redang


Agak lama rasanya saya tidak menjejakkan kaki ke pulau untuk bercuti. Namun, pada April lalu iaitu selepas pulang dari luar negara, saya menjejakkan kaki ke Pulau Redang yang terletak di perairan Terengganu.

Pulau itu menjadi pilihan untuk dikunjungi sempena Festival Mencandat Sotong Antarabangsa Terengganu 2014.

Gugusan pulau yang pernah dinobatkan sebagai antara pulau tercantik di dunia itu terdiri daripada sembilan buah pulau iaitu Pulau Redang, Pulau Lima, Pulau Paku Besar, Pulau Paku Kecil, Pulau Kerengga Kecil, Pulau Kerengga Besar, Pulau Ekor Tebu, Pulau Ling dan Pulau Pinang.

Setiap pulau tersebut mempunyai tarikan dan keunikan yang berbeza. Saya memulakan perjalanan ke Pulau Redang dari Jeti Syahbandar, Kuala Terengganu iaitu salah sebuah jeti untuk ke sana.

Selain itu, pelancong juga menaiki bot dari jeti di Marang. Perjalanan menaiki bot ke Pulau Redang mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit.

Sebanyak dua buah bot disediakan khas untuk rombongan kami iaitu Laguna Redang B7 dan Laguna Redang B9. Laguna Redang B9 agak besar dan lebih seronok dinaiki berbanding dengan Laguna Redang B7. Kakitangan dan kru bot Laguna semuanya peramah membuatkan peserta rombongan berasa teruja sepanjang perjalanan.

Asyik menikmati pemandangan yang memukau, kami tiba di destinasi pertama iaitu Pulau Pinang. Kami diberitahu pulau berkenaan mempunyai lapangan terbang dan kepada sesiapa yang ingin berkunjung ke Pulau Redang dengan menaiki kapal terbang, anda boleh menggunakan penerbangan Berjaya Air.


Kepada kaki snorkeling, Pulau Pinang merupakan tempat wajib yang perlu anda singgah kerana ia kaya dengan pelbagai jenis ikan. Menurut kapten bot Laguna, kadang kala sekiranya ada peluang, pengunjung dapat melihat penyu di sekitar pulau berkenaan.

Saya bukanlah peminat pantai kerana takut kulit menjadi gelap tetapi pemandangan yang memukau membuatkan saya turun ke laut untuk menikmati alam ciptaan tuhan yang sangat indah dan mempesonakan.

Masa sememangnya mencemburui kami. Tidak sedar masa berlalu begitu pantas dan ketika asyik melakukan aktiviti snorkeling, kami terlupa untuk bersiar-siar di bahagian darat pulau.

Seterusnya, kami dibawa ke Laguna Redang Island Resort. Bot kami berhenti di bahagian belakang pulau. Setibanya kami di situ, semua peserta rombongan terpegun melihat pemandangan yang seakan-akan lukisan, cuma yang membezakannya adalah ia realiti.

Lebih membanggakan, pulau ini pernah dijadikan sebagai tempat penggambaran filem Summer Holiday iaitu sebuah filem Hong Kong yang dibintangi Richie Ren dan Sammi Cheng pada tahun 2010.

Kedai cenderamata yang masih ada di sini merupakan salah satu lokasi terkenal di dalam filem berkenaan.

Kami menghabiskan masa di pulau berkenaan sebelum mengikuti program mencandat sotong oleh pihak penganjur bersama-sama peserta rombogan yang lain.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20140830/pl_01/Pesona-Pulau-Redang#ixzz3FYms5ErG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, April 7, 2014

Beraya di Lata Lembik



BOLEH dikatakan setiap minggu sepanjang Syawal yang lalu, majlis-majlis rumah terbuka diadakan di seluruh negara. Setiap daripada kita pasti akan berusaha memenuhi jemputan tuan rumah. 

Bagaimanapun, sebelum kunjungan dilakukan, tuan rumah mestilah dimaklumkan terlebih dahulu supaya mereka bersedia menerima tetamu.Inilah yang dilakukan oleh sekumpulan penggemar aktiviti luar yang menggelarkan kumpulan mereka 'Otai Masih Berbisa'.

Kumpulan seramai 10 orang itu baru-baru ini meraikan hari raya bersama bapa dan ibu angkat mereka di Kampung Jasu, Raub, Pahang. Penulis turut menyertai konvoi ini.

Kami mengenali bapa dan ibu angkat semasa kami mengadakan program bersantai di Kem Sangka, Raub pada tahun lalu. Sejak itu, hubungan ahli kumpulan dan keluarga angkat dipereratkan lagi dengan amalan ziarah sempena hari raya, kenduri dan program-program tertentu yang kadang kala dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang Kawasan Batu Talam, Datuk Abd Aziz Mat Kiram.

Konvoi kami bermula pada tengah hari Sabtu 9 Ogos lalu dan sebanyak empat kereta menyertainya. Kami berkumpul di hadapan Rumah Rehat Raub sebelum meneruskan perjalanan ke rumah bapa angkat kami, Zainal Abidin Ahmad (Abah). Menjelang petang barulah kami tiba dan seperti dijangka, meja makan di rumah Abah penuh dengan aneka jenis makanan.

Antara yang disajikan adalah lemang, rendang, nasi himpit, kuah kacang, laksa Pahang, nasi putih dengan lauk tempoyak daun kayu, gulai asam rom dan lain-lain. Turut dihidangkan adalah buah-buahan tempatan seperti manggis dan durian.

Ketika kami tiba, Abd Aziz berada di situ dan katanya, dia bersama beberapa orang akan masuk ke Kem Sangka untuk tidur semalaman di situ. Kumpulan kami sudah dua kali bermalam di kem itu dan diakui, suasana sekitar belantara yang mengelilinginya amat menenangkan.

Tidur malam kami diulit dengan suhu sejuk pergunungan, desiran air sungai yang mengalir jernih di tepi kem dan unggas hutan yang saling bersahutan.

Oleh kerana kami pernah 'melepak' di kem itu, maka pelawaan Abd Aziz ditolak dengan baik. Ini kerana rancangan kami pada malam itu adalah untuk berkhemah di Lata Lembik yang terletak tidak jauh dari Kampung Jasu.

Selepas menjamu selera, kami bergegas ke Lata Lembik kerana mahu mengadakan sesi fotografi di sekitar jeram dengan berpakaian baju kurung dan baju Melayu.

Memang kami sengaja mengenakan baju tradisional ini kerana mahu membangkitkan suasana hari raya di Lata Lembik. Sebaik sahaja tiba di situ, kami terus meninjau kawasan sekitar.

Banyak kemudahan telah disediakan seperti calet, tapak perkhemahan, surau, dewan serbaguna, tandas, jambatan gantung, kedai makan dan lain-lain.

Lata Lembik terletak kira-kira 52 kilometer dari bandar Raub. Kedudukannya di kaki Banjaran Titiwangsa di sempadan negeri Pahang dan Perak menyebabkan ia mempunyai tarikan tersendiri. Keunikan flora dan fauna termasuk bunga Rafflesia membuatkan kawasan perkelahan ini menjadi tumpuan pengunjung pada hujung minggu.

Terdapat banyak kemudahan aktiviti disediakan seperti flying fox, tree climbing, mendaki tebing (rock climbing), memanah, menyumpit, berakit arus deras, merentas hutan, berbasikal lasak dan memancing. Bayaran yang dikenakan adalah antara RM5 hingga RM80 seorang mengikut jenis aktiviti yang disertai.

Bagi yang datang berkumpulan pula, pakej yang disediakan termasuklah treking sekitar Lata Lembik (1 jam), treking bunga Rafflesis (3 jam), treking Nibong (5 jam), abseilling dan rappeling di Gua Kechil Raub (6 jam). Bayaran yang dikenakan adalah antara RM150 hingga RM350 bagi satu kumpulan mengandungi lima hingga 10 orang.

Kemudahan penginapan yang ditawarkan pula meliputi calet, dorm serta sewa tapak perkhemahan. Kadar sewa adalah antara RM5 (tapak perkhemahan) sehingga RM120 (calet).

Dalam pada itu, kami lebih selesa bermalam di dalam khemah yang didirikan di tepi sungai.
Menjelang senja, barulah kami mendirikan khemah dan memanaskan bekalan makanan yang dibawa dari rumah Abah.

Memandangkan kawasan ini mempunyai kemudahan WiFi maka ada di antara kami leka berbual secara maya dengan rakan-rakan melalui WhatsApp. Hurmmm...begitulah dunia sekarang sampai dalam hutan pun, ada kemudahan WiFi.

Apa-apapun pengalaman beraya di rimba dan di tepi sungai memang mengujakan. Kami berharap, tahun depan lebih ramai lagi rakan-rakan lain dapat menyertai aktiviti hujung minggu seperti ini. Selain dapat merapatkan silaturahim, aktiviti ini juga dapat mendekatkan diri kita dengan keindahan alam semula jadi yang tidak pernah jemu melihatnya.

Bagi yang ingin membuat tempahan calet di Lata Lembik, bolehlah menghubungi talian 09-3560204 atau emel di alamat my.latalembik@gmail.co atau WhatsApp ke talian 013-3519252.


© Utusan Melayu (M) Bhd