Thursday, July 3, 2014

Letih Naik Pesawat

Masalah keletihan tubuh badan akibat penerbangan yang lama sering mengganggu urusan kerja dan percutian. Ini adalah beberapa tip kesihatan untuk mereka yang mahu menghindar masalah kelesuan fizikal tersebut:

* Jika waktu ketibaan di destinasi dijangka adalah pada waktu siang, anda perlu mengambil sarapan pagi yang penuh khasiat protein, seperti telur dadar sebelum menaiki kapal terbang.

* Dedahkan diri pada cahaya matahari dari tingkap pesawat untuk ‘memberitahu’ tubuh supaya bangkit dari tidur, atau habiskan hari pertama di destinasi ketibaan di tempat yang terang.

* Lakukan senaman ringan seperti berjalan kaki sambil menghirup udara siang juga dapat mengatasi keletihan dan rasa mengantuk sepanjang berada di dalam pesawat.

* Jika waktu ketibaan di destinasi pada waktu malam, anda perlu mengambil hidangan yang tinggi karbohidrat seperti pasta. Ini memudahkan anda berasa mengantuk.

* Kaedah lain adalah dengan ’memaksa’ tubuh diri untuk tidur mengikut waktu tempatan, walaupun ketika itu anda masih lagi tidak berasa mengantuk.

* Mandian air hangat dengan minyak lavender, minum teh chamomile atau berurut boleh membantu. Jangan lupa pastikan lampu tidak terlalu terang di dalam kapal terbang.



Dapatkan tidur yang cukup di dalam pesawat sepanjang penerbangan untuk mengelak daripada kelesuan apabila tiba di destinasi.

Wednesday, July 2, 2014

Awas Makanan Jalanan!

Mengembara ke negara asing tentunya amat menyeronokkan. Namun, kesihatan yang terjejas akibat pengambilan makanan tercemar sebenarnya mampu merosakkan segala perancangan aktiviti percutian yang dibuat. Berikut adalah antara tip yang boleh diikuti jika melancong ke negara asing.
* Pengembara perlu memastikan buah-buahan atau sayur-sayuran yang hendak dimakan mesti sentiasa dalam keadaan segar, sama ada ketika dikupas atau ketika dimasak.
* Elakkan daripada memilih makanan yang mentah atau separa masak bagi hidangan daging, ikan atau makanan laut bercangkerang. Harus diingat, keracunan makanan dan cirit-birit boleh terjadi tanpa diduga.
* Minuman terbaik adalah air yang dibotolkan atau ditinkan biarpun mungkin dijual agak mahal sikit. Ini termasuk pengambilan jus buah segar dan juga produk tenusu yang disimpan sejuk dengan betul.
* Ketika mahu menggosok gigi, pastikan berkumur-kumur dengan air daripada sumber yang bersih. Kalau masih was-was, gunakan air yang dibotolkan. Air bekalan di hotel lima bintang selalunya bersih, tetapi tidak salah kalau membiasakan diri dengan air panas.
* Pokok pangkalnya, walau bagaimana hebat pun anda sebagai pengembara berpengalaman, elakkan mencuba makanan daripada jualan gerai penjaja di pinggir jalan walaupun nampak hidangan itu membuka selera anda.
* Cuba dapatkan nasihat daripada pakar kesihatan sebelum melancong juga banyak membantu percutian anda di samping semak panduan direktori restoran makanan halal di negara terbabit daripada pihak berkuasa agama Islam tempatan.
                        
Bijak memilih makanan yang dijual di tepi jalan ketika bercuti kerana dibimbangi mungkin ada boleh mengalami keracunan.

Friday, June 20, 2014

Tip Kunjung ke Festival

Berkunjung ke lokasi tumpuan padat orang ramai seperti pesta keramaian awam, taman tema tempatan atau festival skala meriah, sudah tentu menimbulkan keadaan yang kurang selesa kepada pelancong.

Apatah lagi apabila acara itu berlangsung pula pada musim panas atau cuaca kering sehingga menimbulkan bau tubuh badan yang kurang enak ekoran pengeluaran banyak cecair peluh membasahi tubuh anda.

Bayangkanlah anda secara tiba-tiba mahu membuang air kecil tetapi kemudahan tandas yang disediakan adalah sedikit sehingga terpaksa beratur panjang, ia bukanlah sebuah percutian yang menyeronokkan kita.

Berikut beberapa tip mudah bagi anda untuk membuat persediaan sebelum berkunjung ke tempat keramaian:

Pakai pakaian yang selesa. Pastikan pakaian anda daripada kain fabrik yang memiliki daya serapan peluh yang tinggi dan aliran pengudaraan yang baik bagi memastikan anda tidak terlalu panas selain memudahkan pergerakan.

Gunakanlah produk nyahbau. Penggunaan produk kebersihan diri seperti minyak wangi atau nyahbau adalah penting ketika anda berkunjung ke lokasi dipenuhi orang ramai bagi mengelak badan berbau hamis tengik.

Sediakan sebotol air mineral. Selain berfungsi sebagai air minuman yang baik bagi menghilangkan dahaga, ia juga boleh bertugas sebagai bahan pembersihan diri pada waktu kecemasan yang di luar jangkaan.

Bawa bersama tisu basah. Ia boleh berperanan sebagai sumber alternatif untuk melembapkan tubuh ketika kemuncak cuaca panas terik malah ia juga boleh dijadikan sebagai bahan pencuci diri anda sendiri pada waktu terdesak.
Pakai pakaian yang selesa dan pastikan anda membawa bersama bekalan air yang cukup untuk mengelak badan daripada penghidratan.

Thursday, June 19, 2014

Jom Lawat Muzium

Tidak sah cuti ke sesebuah negara jika tidak lawat muzium tempatan kerana bangunan itu pamer segala artifak sejarah dan imej budaya sesebuah masyarakat. Majlis Muzium Antarabangsa anggar kira-kira 55,000 muzium ada di 202 buah negara malah 18 Mei setiap tahun diisytihar sebagai Hari Muzium Antarabangsa sejak 1977. Berikut 10 buah muzium terbaik di dunia:

Le Louvre, Paris, Perancis – Tarikan utama pasti potret asli Mona Lisa karya Leodardo da Vinci, ia asalnya sebuah istana Raja Perancis di dalam kubu sebelum jadi muzium pada 1793. Keunikan muzium ini ialah binaan piramid kaca di dataran lapang istana namun ia terkenal dengan koleksi 35,000 objek dari kurun ke-19 sehingga kini dan dikunjungi hampir 10 juta pelawat setahun.
Vatican Museums, Vatican City – Dikelilingi ibu negara Itali, Rom, muzium terletak di negara terkecil di dunia ini ada 55 salas atau galeri koleksi nadir daripada seni Mesir kuno termasuk peta purba. Kira-kira 5 juta pelawat setahun datang menyaksikan keindahan seni bina muzium kedua tertua di dunia yang diasaskan pada 1506 oleh pemimpin Katholik, Paus Julius II.

British Museum, London, Britain – Diasaskan pada 1753 oleh saintis Sir Hans Sloane yang turut derma koleksi peribadi beliau berjumlah 71,000 unit objek, ia dianggap antara muzium terbaik di dunia dengan koleksi 8 juta artifak dari seantero bumi. Sebelum 1997, ia berkongsi dengan British Library sebelum bangunan diasingkan dan kini lebih 6 juta pelawat datang ke sini setahun.

Metropolitan Museum of Art, New York, Amerika Syarikat – Ada lebih 2 juta hasil seni koleksi purba hingga moden dari seluruh dunia, muzium dibuka sejak 1870 ini juga meliputi kaligrafi Islam, lukisan klasik Eropah, peralatan senjata silam seperti pedang samurai dari Jepun serta ukiran arca nadir.

Uffizi Gallery, Florence, Itali – Dibina oleh arkitek terkenal Giorgio Vasari pada 1560, asalnya sebagai pejabat majistret dan arkib negara, ia dianggap muzium seni terkenal dan antara tertua di Eropah. UNESCO menganggarkan 60% karya seni terbaik dunia berada di sini antaranya oleh Leonardo da Vinci, Raphael, Michelangelo, Rembrandt, Botticelli dan Caravaggio.

Egyptian Museum, Kaherah, Mesir – Mulanya dibina kerajaan Mesir pada 1835 dekat Ezbekeyah Garden tetapi terpaksa dipindah beberapa kali dan akhirnya pada 1902, bangunan tetap dekat Dataran Tahrir. Ia menyimpan 120,000 item dari zaman prasejarah sehingga era Yunani Roman termasuk keranda dan peralatan kerabat pemerintah Firaun Tutankhamun.

The Smithsonian, Washington DC, Amerika Syarikat – Kompleks muzium terbesar di dunia dibuka pada 1846 ada 16 muzium dan Zoo Nasional. Ia mempamerkan 142 juta objek sejarah penting Amerika termasuk angkasa lepas, komuniti Afrika Amerika, filem, akhbar dan tragedi 11 September 2001 yang mengambil masa beberapa hari jika lawat keseluruhan Smithsonian.

Museo del Prado, Madrid, Sepanyol – Muzium seni kebangsaan ini dibuka pada 1819 ialah galeri paling banyak dilawati iaitu 3 juta pelawat setahun. Koleksinya karya terbaik artis tempatan dari kurun ke-12 hingga ke-19 meliputi hampir 8,000 lukisan, 1,000 arca, 4,800 cetakan dan 8,000 lakaran.

State Hermitage, Saint Petersburg, Rusia – Diasaskan pada 1764 oleh Catherine the Great, ia antara muzium terbesar dan tertua di dunia dilawati hampir 3 juta orang setahun. Ia ada 6 bangunan dengan koleksi 3 juta item termasuk artifak Mesir, Itali, Sepanyol, Belanda, British dan Jerman.

Rijksmuseum, Amsterdam, Belanda – Dengan sejuta objek, ia menyimpan koleksi terbesar sejarah Belanda selain karya seni Timur Tengah dan Asia tenggara dari kurun ke-13 hingga ke-21. Dibuka pada 1800, ia menerima lebih 2 juta pelawat setahun dan dikelilingi banyak muzium lain. 
Pelancong Barat paling gemar mengunjungi muzium bagi memahami sejarah dan budaya masyarakat tempatan sesebuah negara.

Saturday, June 14, 2014

Pelancongan Penjara Unik

Selain pelancongan seram iaitu cuti di kawasan hantu, kegiatan pelancongan penjara kian popular bagi pelancong yang mahu jelajah di sebalik tirai besi terkenal serata dunia. Mungkin penjenayah profil tinggi pernah jadi banduan di penjara itu dan kini ia dianggap tarikan pelancong popular. Berikut 10 penjara ternama pilihan pelancong antarabangsa:

Alcatraz, San Francisco, Amerika Syarikat – Juga disebut The Rock kerana terletak di pulau berbatu, ia penjara kerajaan sejak 1934 sebelum ditutup pada 1963. Penjara kawalan ketat dikelilingi laut sukar untuk banduan melarikan diri kemudian sering jadi lokasi penggambaran filem dan kini, anda perlu tempah lebih awal jika mahu melancong ke sini.

Old Melbourne Gaol, Melbourne, Australia -  Dibuka pada 1845, ia dijadikan muzium pada 1957 oleh National Trust Australia, sebuah badan warisan sejarah. Penjara ini menjadi tarikan pelancong kerana dilaporkan berhantu oleh penggemar aktiviti paranormal namun kini popular untuk pelbagai acara persendirian seperti parti hari jadi dan majlis perkahwinan.

Kalapani Cellular Jail, Andaman Islands, India – Pernah dijadikan penjara khas untuk tahanan politik ketika era penjajahan British antara 1896 sehingga 1906. Kemudian selepas India merdeka, penjara dekat pulau peranginan popular Nicobar ini diubah sebagai sebuah memorial kebangsaan sejak 1969 dan menjadi tarikan utama kedatangan pelancong asing.

Kilmainham Gaol, Dublin, Ireland – Mula dibina pada 1796, ia menjadi tempat kurungan dan hukuman untuk ramai pemimpin terkenal Ireland pada zaman dahulu. Pada pertengahan 1980-an, kerajaan Ireland menukar kepada muzium tetapi senibina bangunan penjara ini popular sebagai lokasi pembikinan filem terkenal The Shawshank Redemption dan The Italian Job.

Hoa Lo Prison, Hanoi, Vietnam – Bererti lubang neraka, ia dibina penjajah Perancis pada 1888 untuk banduan aktivis politik kemerdekaan Vietnam. Pertengahan 1990-an, sebahagian penjara dijadikan muzium termasuk bilik pancung kepala lengkap dengan peralatan asal, manakala sebahagian lagi jadi hotel apartmen 25 tingkat dan beberapa kompleks beli-belah.

Ottawa Jail Hostel, Ottawa, Kanada – Asalnya bernama Carleton County Gaol kini sebuah hostel diuruskan oleh Hostelling International. Penjara 4 tingkat terletak di pusat bandar ibu negara Kanada ini dibina pada 1862 dan warden dilaporkan sering melihat roh hantu ramai banduan yang gantung bunuh diri sehingga 1972 apabila ia diubah menjadi sebuah hostel.

Karosta Prison, Liepaja, Latvia -  Dibina antara 1890 hingga 1906, ia merupakan sebuah penjara pelabuhan terletak dalam kawasan pangkalan tentera laut  Rusia ketika pemerintahan Tsar Alexander III. Penjara 2 tingkat ini ditukar kepada sebuah galeri iaitu K@2 Artist Center dan menjadi tumpuan pelukis antarabangsa dan pelancong asing menikmati panorama indah laut.

Port Arthur, Tasmania, Australia – Mulanya ia sebuah stesen kayu balak sebelum menjadi penjara pada 1830 dan berkembang sebagai bandar kecil untuk ribuan pesalah diasingkan dalam pulau Tasmania. Pada 1970-an, Perkhidmatan Hidupan Liar dan Taman Negara menguruskan kawasan ini menjadi tapak bersejarah yang menarik pelancong asing.

Seodaemun Prison, Seoul, Korea Selatan – Dibuka pada 1908 semasa penaklukan Jepun, ia menjadi penjara untuk aktivis antipenjajah. Apabila Korea Selatan merdeka pada 1945, ia masih lagi penjara untuk banduan biasa sehingga 1992 ditukar menjadi Taman Sejarah Penjara Seodaemun untuk tarikan pelancong antarabangsa dan tempatan.

Eastern State Penitentiary, Philadelphia, Amerika Syarikat – Juga disebut ESP, ia dibuka pada 1829 sehingga 1971 dalam kawasan seluas 11 ekar. Rekabentuk macam mahligai lama jadikan ia popular untuk penggambaran drama siri TV, filem malah permainan komputer. Kerajaan menjadikan ia mercu tanda sejarah sejak 1965 bagi memulihara warisan negara.
Bekas tapak penjara terkenal yang pernah mengurung banduan profil tinggi kini popular menjadi tarikan pelancong asing.

Wednesday, June 11, 2014

Negara Popular Pelancongan

Statistik dikeluarkan Pertubuhan Pelancongan Sedunia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) menganggarkan lebih 1.03 bilion pelancong menghabiskan percutian di seluruh dunia sepanjang 2012, naik 4 peratus berbanding tempoh yang sama bagi 2011.
Untuk rantau Asia Pasifik, hampir 250 juta pelancong direkodkan pada 2012, iaitu bertambah sebanyak 7 peratus daripada tempoh sama tahun 2011.
Jika anda berhajat mahu melancong ke luar negara, berikut 10 buah negara paling ramai dikunjungi pelancong antarabangsa pada 2012:
1. Perancis                            =       83.0 juta
2. Amerika Syarikat              =      67.0 juta
3. China                                 =       57.7 juta
4. Sepanyol                          =        57.0 juta
5. Itali                                      =       46.4 juta
6. Turki                                   =       35.7 juta
7. Jerman                              =       30.4 juta
8. Britain                                =       29.3 juta
9. Rusia                                 =        25.7 juta
10. Malaysia                          =       25.0 juta
Keunikan Menara Eiffel di kota Paris menjadi antara lokasi wajib popular ramai pelancong asing ke Perancis.

Tuesday, June 10, 2014

Bercuti Ketika Hamil

Bukan halangan besar untuk wanita mengandung dalam menjalani kehidupan normal kerana kehamilan adalah anugerah Tuhan kepada setiap insan yang kali pertama bakal bergelar ibu. Namun sebenarnya bukan mudah untuk membawa perut yang memboyot selama 9 bulan pergi melancong.
Apatah lagi sarat hamil ketika anda sibuk melancong bersama-sama keluarga, ia memerlukan beberapa tip mudah cara menghabiskan aktiviti percutian dengan sempurna dan selesa terutama bagi pasangan baru berkahwin yang tiada pengalaman.
·     Kurangkan aktiviti fizikal sepanjang percutian sebaliknya ambil peluang pelancongan itu untuk merehatkan diri seperti memanjakan tubuh badan di spa atau membaca buku di tepi pantai.
·        Jika perjalanan anda melibatkan penerbangan dalam tempoh yang lama, pastikan anda melakukan senaman ringan seperti berjalan setiap sejam untuk memastikan pengaliran darah sempurna.
·   Bawalah snek atau kudapan ringan untuk menenangkan diri kerana bimbang tekak anda mungkin terasa loya sepanjang perjalanan jauh dan ketika bercuti di tempat yang ramai orang.
·     Hindari daripada kegiatan riadah yang boleh menyebabkan anda jatuh cedera seperti mandi di kawasan air terjun atau aktiviti pantai lasak yang memerlukan lebih daya tenaga badan.
·   Jangan sesekali berasa malu untuk merakamkan momen detik indah diri sendiri bersama keluarga ketika bercuti yang boleh ditunjukkan kepada anak anda selepas dia selamat dilahirkan.

·   Pastikan kelengkapan pakaian yang selesa dan cukup dibawa bersama selain ubat-ubatan atau suplemen tambahan untuk kesihatan diri anda dan juga anak dalam kandungan.
Aktiviti santai sangat sesuai untuk wanita yang bakal bergelar ibu pergi melancong bersama keluarga dengan selesa.