Sunday, October 5, 2014

Desa tertua Amish di dunia

PENDUDUK di Lancaster County lebih gemar menggunakan kereta kuda berbanding kenderaan bermotor.


PERKAMPUNGAN Amish di Lancaster County, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) yang dihuni seramai 31,000 orang menarik kehadiran lapan juta pelancong dan menjana pendapatan kira-kira AS$1.9 bilion (RM6.65 bilion) setiap tahun.
Konvensyen Pennsylvania pada 2013 dan Biro Pelancongan Pennsylvania menyimpulkan, kesederhanaan komuniti Amish mengekalkan cara hidup seperti pada abad ke-18, menjadi faktor utama tarikan pelancong ke negeri itu.
"Industri pelancongan memberi penghormatan besar kepada komuniti Amish yang menjual selimut, pakaian dan cenderamata buatan tangan kepada para pelancong.
"Walaupun pada awalnya mereka tidak suka diganggu pelawat dari luar, golongan Amish kini mula belajar untuk mendapatkan manfaat daripada pelancongan," kata jurucakap Biro Pelancongan Pennsylvania, Joel Cliff.
Beberapa tahun lalu, kisah hidup Amish di AS digambarkan secara ekstrem menerusi dokumentari Amish Mafia dan Breaking Amish yang menceritakan penglibatan komuniti itu dalam kegiatan jenayah.
"Ia adalah gambaran yang salah terhadap Amish. Seorang keturunan Amish datang kepada saya dan menyatakan kekecewaan terhadap filem dokumentari sedemikian," kata Mary Haverstick.
Haverstick berhijrah ke Lancaster County sejak 50 tahun lalu dan berusaha keras mengetuai gerakan membantah filem-filem yang tidak menggambarkan kehidupan Amish secara tepat daripada diulang tayang.
Wanita itu menambah, kawasan ladang yang menjadi lokasi penggambaran filem Witness lakonan Harrison Ford pada tahun 1985 itu kekal sebagai destinasi terkenal dalam kalangan pelancong.
"Setiap pelancong luar yang datang ke sini akan meminta panduan arah daripada penduduk untuk pergi ke ladang itu. Ia cukup terkenal kerana menjadi lokasi penggambaran filem Hollywood," kata Haverstick.

KOMUNITI Amish menghasilkan pelbagai peralatan besi termasuk ladam kuda tanpa menggunakan mesin moden.


Pennsylvania ialah negeri yang paling ramai dihuni komuniti Amish di AS melibatkan 53 buah perkampungan tradisional Amerika. Selain Lancaster County, perkampungan lain ialah Somerset County dan Indiana County.
Lancaster County yang terletak berhampiran Chester County merupakan perkampungan Amish yang terbesar dan tertua di dunia.
Komuniti itu terkenal dengan budaya sederhana seperti cara hidup masyarakat Amerika pada abad ke-18 termasuk memakai pakaian yang tidak mempunyai corak dan enggan menggunakan teknologi canggih dalam urusan harian.
Sejarah komuniti itu bermula pada penghujung abad ke-17 apabila segolongan pendatang Belanda, Switzerland dan Jerman yang diketuai Jakob Ammann membuka penempatan di AS.
Pada awal abad ke-18, komuniti tersebut berpindah ke pedalaman Pennsylvania disebabkan beberapa faktor termasuk ingin menjauhkan diri daripada pengaruh pemikiran moden yang boleh merosakkan nilai moral.
Penduduk Lancaster County menggunakan kereta kuda berwarna gelap serta lebih selesa mengamalkan cara hidup konservatif dan tradisional.
Pertanian dan penternakan masih menjadi pekerjaan utama komuniti itu walaupun peluang untuk berjaya sebagai peladang semakin mengecil disebabkan peningkatan dalam persaingan.
Perkembangan tersebut menyebabkan generasi muda melibatkan diri dalam perusahaan hiliran kecil seperti pengeluaran makanan siap diproses dan menghasilkan perabot dengan kemahiran pertukangan tradisional.
Malah, komuniti itu juga tidak pernah melibatkan diri dalam khidmat ketenteraan di AS meskipun dipanggil secara rasmi oleh pihak berkuasa kerana bimbang terjebak dengan cara hidup moden apabila meninggalkan kampung halaman.
Perkampungan Amish tidak seperti kawasan luar bandar lain di AS yang turut dipengaruhi pemodenan. Komuniti Amish lebih gemar melakukan pekerjaan menggunakan peralatan tradisional berbanding mesin-mesin canggih.
Mereka tidak gemar memandu kenderaan bermotor dan lebih suka menaiki kereta kuda. Selain itu, mereka juga lebih suka membasuh pakaian dengan cucian tangan walaupun menikmati bekalan elektrik. Kerja ladang pula dibantu mesin bajak yang ringkas dan bukan jentera canggih.
GOLONGAN Amish menghasilkan pelbagai jenis cenderahati.
Cara hidup sedemikian menjadikan persekitaran di perkampungan Amish bebas daripada pencemaran serius dan ia mendorong para pelancong dari bandar untuk merasai suasana nyaman apabila bercuti di kawasan pedalaman.
Selain cara hidup tradisional golongan Amish yang menjadi produk pelancongan utama di Pennsylvania, terdapat banyak tarikan lain di sekitar Lancaster County.
Tarikan lain seperti kereta api enjin wap yang menyediakan perkhidmatan mengangkut pelancong mengelilingi kawasan ladang di perkampu- ngan Amish.
Perjalanan selama 45 minit tersebut bermula di Stesen Kereta Api Starsburg yang merupakan salah satu stesen kereta api wap tertua dan masih beroperasi di AS walaupun hanya melibatkan perjalanan sekitar Lancaster County.
Di samping itu, para pelawat juga berpeluang menaiki kereta kuda tradisional seperti abad ke-18 sambil menikmati suasana desa di perkampungan tersebut.
Bagi melihat pemandangan perkampungan tersebut dari udara, pelawat boleh mendapatkan khidmat belon panas yang disediakan di ladang-ladang.
Pengunjung yang berkeluarga pula boleh membawa anak-anak mereka bersuka ria di Dutch Wonderland yang menyediakan taman tema air serta roller-coaster bagi menikmati percutian di situ. - Reuters
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0925&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_02.htm#ixzz3F43DIBMI 
Hakcipta terpelihara 

Saturday, October 4, 2014

Cabaran Raja Sungai Rajang

PARA peserta bersiap sedia untuk bertarung dalam Regata Sarawak 2014.


REGATA Sarawak mempunyai sejarah penganjuran yang cukup panjang. Pada edisi sulung, penganjuran pada tahun 1872, ia merupakan alternatif bagi budaya memotong kepala dan mengakhiri perbalahan antara kaum di negeri berkenaan.
Bagaimanapun, kini penganjuran temasya itu menjadi simbol kepada kekuatan perpaduan rakyat di negeri Sarawak.
Temasya itu tidak hanya melibatkan perlumbaan perahu semata-mata tetapi turut menyediakan tapak-tapak pameran, jualan pelbagai jenis makanan serta barangan dan juga menjadi titik pertemuan pelbagai lapisan masyarakat di seluruh Sarawak.
Memasuki edisi ke-142 penganjuran pada tahun 2014, temasya yang berlangsung di Tebingan Sungai Sarawak, Kuching dari 4 hingga 7 September lalu itu bertemakan The Race for Harmony.
Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata, selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Regata Sarawak sebagai acara berprestij di peringkat antarabangsa, satu acara baharu diperkenalkan kali ini iaitu Lumba Perahu Naga Antarabangsa.
“Sebanyak 11 buah negara dengan 550 peserta telah menyertai acara tersebut terdiri daripada Australia, Kanada, Hong Kong, Macau, Brunei, Singapura, Filipina, Thailand, Taiwan, Indonesia dan Malaysia.
“Penganjuran Regata Sarawak pada tahun ini juga tercatat dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia 2014 dan ia bertepatan dengan usaha kerajaan negeri Sarawak dalam memperluaskan industri pelancongan bagi menarik kedatangan pelancong global ke Sarawak,” kata beliau kepada Kosmo! baru-baru ini.
Katanya, tradisi penganjuran Regata Sarawak yang diperkenalkan sejak era pemerintahan Charles Brooke iaitu Rajah kedua Sarawak menjadikannya begitu unik serta kaya dengan nilai sejarahnya.
Tambah beliau, tarikan utama pastinya acara lumba perahu panjang untuk merebut gelaran Raja Sungai selain promosi kraf tangan pelbagai etnik, persembahan malam kebudayaan serta festival makanan.
“Selain acara utama perlumbaan perahu, dua acara selingan iaitu Rajah Brooke Swim (berenang merentasi Sungai Sarawak) dan acara menangkap itik juga menjadi acara yang dinanti-nantikan oleh orang ramai,” jelasnya lagi.

ORANG ramai membanjiri Tebingan Kuching bagi menyaksikan para peserta bersaing dalam acara Regata Sarawak 2014 baru-baru ini.


Pasukan Enraz Cahaya Zen dari Kuching muncul Raja Sungai Regata Sarawak 2014 selepas memenangi acara bidar 30 pekayuh lelaki akhir yang berlangsung pada hari terakhir temasya berkenaan pada 7 September lalu.
Kemenangan itu menyaksikan Enraz Cahaya Zen merampas Piala Pusingan Yang Dipertua (YDP) Negeri Sarawak yang menjadi milik pasukan Jang Karaton sebelum ini.
Pasukan itu juga turut membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan medal.
Tempat kedua pula dimenangi pasukan Landas 6 manakala Kumpulan Yayasan Sarawak sekadar di tempat ketiga yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM8,000 dan RM6,000 serta medal.
Sementara itu, pasukan Sabah Tg. Papat (Malaysia) ditabalkan sebagai juara bagi acara Perahu Naga Antarabangsa kategori 20 pekayuh Terbuka Antarabangsa.
Selaku juara, pasukan tersebut membawa pulang sebuah piala, medal dan juga hadiah wang tunai RM5,000.
Dianggarkan lebih 30,000 pengunjung membanjiri Tebingan Sungai Sarawak di Kuching sepanjang temasya selama tiga hari itu berlangsung.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0925&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_03.htm#ixzz3F425dzaT 
Hakcipta terpelihara 

Friday, October 3, 2014

Star Wars binaan lego



DARI bahagian luar, binaan blok lego yang memaparkan watak antagonis ikonik dalam filem epik Star Wars, Darth Vader seolah-olah menyambut kehadiran pengunjung ke Star Wars Miniland.
Sambil memegang pedang lightsaber berwarna merah, Darth Vader boleh dianggap sebagai pengawal yang mengawasi bangunan berbentuk oktagon seluas 900 meter persegi yang menempatkan beberapa suasana dan babak khas dari filem Star Wars.
Merupakan satu tarikan terbaharu di Legoland Malaysia Resort (Legoland), Star Wars Miniland diinspirasikan daripada enam filem Hollywood itu termasuklah siri animasi Star Wars: The Clone Wars.
Secara keseluruhan, tarikan ini menampilkan lebih daripada 2,000 model lego yang didirikan pada platform khas mengikut skala 1:20 berbanding adegan asal di layar perak dengan menggunakan kira-kira 1.5 juta blok lego.
Pengurus Besar Legoland, Mark Germyn berkata, Star Wars Miniland dilancarkan sempena meraikan ulang tahun kedua resort tersebut pada bulan September ini. Malah, ia merupakan yang pertama seumpamanya di Asia.
“Kami yakin dengan tarikan terbaharu ini, pengunjung yang datang akan lebih teruja untuk merasai pengalaman menerokai galaksi Star Wars bersama ahli keluarga mereka.
“Dibina dalam kawasan tertutup dan berhawa dingin sepenuhnya, para pengunjung boleh meluangkan masa lebih lama di taman ini untuk menyaksikan ketelitian kerja tangan manusia dalam penghasilan binaan unik ini,” ujar Germyn ketika melancarkan Star Wars Miniland di Legoland, Johor baru-baru ini.

PARA penggemar filem klasik pasti tidak mahu melepaskan peluang berkunjung ke Star Wars Miniland di Legoland, Johor.


Mula dibuka kepada pengunjung bermula 6 September lalu, Star Wars Miniland mampu menjanjikan kepuasan terutama buat penggemar filem bertemakan angkasa lepas itu.
Di sana, mereka boleh menyaksikan pelbagai karakter dan watak yang terdapat dalam filem berkenaan yang dibina mengikut tema latar planet fiksyen seperti Planet Naboo, Mustafar, Tatooine, Geonosis, Hoth, Endor dan Christophsis.
Tambah Germyn, pihaknya melaburkan sejumlah RM6 juta bagi pembinaan taman berkenaan semata-mata untuk memacu nilai pelancongan ke tahap yang lebih kukuh di samping menarik pelancong luar.
“Kunci strategi yang kami gunakan ialah menambah elemen baharu setiap tahun bagi memastikan pengunjung dapat merasai keterujaan untuk datang semula ke Legoland,” katanya.
Bangunan yang menempatkan Star Wars Miniland ini dibahagikan kepada lapan ruang berbeza. Enam ruang memaparkan satu adegan ikonik daripada enam filem tersebut manakala ruang ketujuh mempamerkan adegan daripada filem animasi Star Wars: The Clone Wars.
Sementara itu, satu lagi bahagian dikhaskan sebagai seksyen jualan runcit bagi produk-produk Lego Star Wars. Ia meliputi barangan yang sukar diperoleh seperti set bangunan Lego seperti Death Star, R2-D2, Millenium Falcon, Super Star Destroyed dan Ewok Village.
Kedai itu juga dilengkapi dengan rangkaian penuh bahan permainan Star Wars di samping rantai kunci, magnet peti sejuk, pelbagai koleksi topi dan baju-T.
Tidak ketinggalan, para pengunjung juga boleh bergambar kenangan dengan karakter Star Wars pilihan melalui bahagian Hall of Fame yang disediakan.
Menurut pakar pembina model Legoland, Stefan Bentivoglio, pasukannya mengambil masa kira-kira 8,000 jam untuk menyempurnakan binaan model Star Wars Miniland.
“Lima puluh peratus daripada lebih 2,000 model lego tersebut dibina di Malaysia manakala selebihnya dihantar dari Jerman dan Republik Czech.
“Proses pemasangan turut dibantu oleh pasukan teknikal dan landskap yang membangunkan paparan khas bagi mewujudkan kesan realistik yang optimum. Bagi sentuhan akhir, kesan bunyi, animatronik dan pencahayaan ditambah untuk menjadikan model berkenaan kelihatan seperti hidup,” terang Bentivoglio.
Antara karakter model yang dihasilkan termasuklah Anakin Skywalker, Boba Fett, C-3PO, Commander Rex, Darth Maul, Han Solo, Luke Skywalker, Princess Leia, Wicket the Ewok dan Yoda.

LEBIH 2,000 model blok lego digunakan bagi menyiapkan taman mini tersebut.

agi salah seorang peminat dan pengumpul koleksi filem epik itu, Azwanijaya Sukarman, 39, memberitahu, Star Wars sememangnya memberi impak yang sangat besar kepada mereka yang membesar pada awal tahun 1980-an.
Justeru, apabila diwujudkan di Legoland, sudah tentu legasinya akan berterusan kerana umum mengetahui mereka yang meminati Star Wars dan lego pasti akan teruja untuk ke sana.
“Malah, dari gabungan mantap ini, ia bakal melahirkan golongan yang kreatif kerana penghasilan lego itu sendrii diklasifikasikan sebagai ‘permainan baharu setiap hari’.
“Hari ini, masyarakat dapat menerima kehadiran mereka dalam kalangan orang dewasa yang menjadikan hobi ini sebagai suatu pendekatan yang serius. Buktinya wujud kemunculan kelab atau kumpulan yang berasaskan dari mereka yang meminati Star Wars yang suatu masa dahulu difikirkan hanya memenuhi dan menceriakan golongan kanak-kanak.
“Dengan ini, satu keadaan atau boleh diistilahkan sebagai scene akan menjadi lebih menarik seterusnya mengangkat martabat mereka yang meminati permainan ini dengan bukti kewujudan Star Wars Miniland di Legoland,” ungkap Azwanijaya yang mempunyai ribuan koleksi Star Wars dalam simpanannya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0918&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_01.htm#ixzz3F406A5QK 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, October 2, 2014

Kenangan panggung opera

RUANG legar yang dikhaskan untuk pengunjung dan penonton menunggu sebelum pertunjukan bermula.


ADAKAH anda pernah mendengar seseorang menyebut mengenai The Phantom of The Opera? Karya sastera nukilan Gaston Leroux itu sangat popular dalam kalangan golongan remaja terutama apabila ia menghasilkan sebuah filem yang menampilkan pelakon tampan, Gerard Butler.
Sama ada novel atau filem, The Phantom of The Opera begitu teliti menceritakan suasana di Panggung Opera iaitu sebuah panggung teragung di Paris, Perancis yang kini terletak di persimpangan jalan Rue Scribe dan Rue Auber.
Kini, panggung itu mempunyai keluasan panjang 172.70 meter, lebar 124.85 meter, tinggi 81.60 meter dan sedalam 10.13 meter.
Panggung Opera itu lebih dikenali dengan nama Perancis, Palais Garnier. Dahulunya, Palais Garnier memiliki pelbagai nama dan sejarah. Nama Panggung Opera itu sering bertukar seiring dengan pertukaran kerajaan Perancis.
Seawal tahun 1858, Palais Garnier dikenali sebagai La Salle Le Peletie. Maharaja ketika itu ialah Napoleon III, Louis-Napoléon Bonaparte telah bertitah kepada Baron Haussmann untuk membina semula kota Perancis.
Baron Haussmann sebagai pengawas pengurusan bandar memutuskan untuk membina semula panggung itu kerana sangat kecil.
Pada tahun 1860, Haussmann mengadakan satu pertandingan terbuka untuk semua arkitek bagi menunjukkan bakat seni bina mereka dalam memberikan nafas baharu kepada Panggung Opera itu.
Sebanyak 171 karya seni bina diserahkan kepada Haussmann termasuk daripada seorang arkitek agung ketika itu, Eugène Emmanuel Viollet-le-Duc.
Namun, seorang arkitek biasa, Charles Garnier yang ketika itu berusia 35 tahun mendapat undian sebulat suara. Garnier menjadi arkitek rasmi yang menggarap seni bina Panggung Opera pada tahun 1861.
Tragisnya, pada tahun 1869, La Salle Le Peletier ranap dijilat api. Selepas kebakaran itu, kerajaan Perancis meminta Garnier untuk membaikpulih kembali panggung agung itu secepat yang mungkin.
Garnier menghimpunkan penukang, pelukis serta pengukir yang paling hebat di Perancis untuk membantunya memulihkan Panggung Opera itu. Akhirnya, karya seni bina Garnier dinobatkan sebagai karya yang teragung bercirikan sentuhan Itali.
Pelancong yang datang ke Perancis pasti akan terpukau dengan seni bina Panggung Opera itu. Garnier menghiasi luaran panggung dengan monumen simbolik seperti patung seniman terkenal, Beethoven dan Mozart.

AUDITORIUM agung kekal dengan elemen Perancis meskipun reka bentuk keseluruhan berkonsep Itali.


Jika seni bina luar mampu memukau para pelancong, hiasan dalaman Palais Garnier mampu membuatkan mereka ternganga mahupun pengsan seketika.
Di dalamnya, terdapat enam tempat unik iaitu Muzium Perpustakaan Opera, Auditorium, Tangga Utama Charles Garnier, Rotundas, Foyer serta siling Marc Chagall.
Rotundas merupakan kawasan legar khas yang terletak di bawah Auditorium Panggung Opera kerana golongan elit sahaja layak berada di situ. Penonton biasa akan menunggu di foyer sebelum berlangsungnya pertunjukan.
Namun, golongan elit Perancis dikenali sebagai subscribers akan berada di Rotundas dan memasuki pintu yang berlainan daripada penonton biasa. Terdapat tiga bilik khas mengikut pilihan golongan itu seperti The Ice Room, The Sun Room dan The Moon Room.
Meskipun panggung opera itu mempunyai sentuhan Itali, Auditorium kekal dengan sentuhan Perancisnya. Auditorium setinggi lima tingkat itu berbeza-beza dari segi lantai, kerusi dan lain-lain mengikut tingkat. Secara keseluruhannya, Auditorium itu mampu menempatkan sebanyak 2,013 orang dan diperbuat daripada besi walaupun berlantai marmar dan berhamparkan baldu berwarna merah.
Pelancong yang ingin melihat Palais Garnier dengan lebih dekat seharusnya merancang dahulu perjalanan ke sana kerana ia dibuka untuk lawatan pada masa-masa tertentu sahaja.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0925&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_04.htm#ixzz3F40uFxMV 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, October 1, 2014

Warna-warni rumah Burano

PEMILIK perlu mendapatkan permit jika mahu mengecat rumah mereka.


BERKUNJUNG ke Burano, Itali mata pasti terpana dengan kemeriahan rumah penduduk setempat yang diwarnakan dengan rona-rona cerah dan menarik.
Walaupun struktur binaan rumah yang dipanggil La Casa di Bepi Sua itu berada pada tahap usang, ia telah diindahkan dengan warna-warna ceria bagi menghidupkan semula perkampungan itu.
Setiap rumah diwarnakan dengan rona berbeza daripada blok bersebelahan bagi mewujudkan kontra antara satu sama lain.
Kemeriahan warna-warni bak pelangi itu menjadikan Burano sebagai antara lokasi terkenal di dunia dan pilihan terbaik para jurugambar.
Aktiviti mewarna rumah tersebut bukan dilakukan sebagai tujuan pelancongan tetapi ia merupakan tradisi yang dipertahankan sehingga kini. Ia jauh berbeza dengan keadaan bangunan-bangunan yang terdapat di Venice dengan warna kusam daripada batu-batuan jenis bata dan marbel.
Pemilihan warna pada rumah adalah mengikut sistem yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa sejak berkurun lamanya. Jika pemilik ingin mengecat rumah mereka, satu permit perlu dipohon sebelum kebenaran diberikan.
Permit yang dikeluarkan akan disertakan dengan warna yang wajib diikut oleh penduduk yang mengikut sistem sosial masyarakat. Warna-warna rumah tersebut diwarisi sehingga kini dan tidak berubah.
Orang dahulu percaya warna-warna terang tersebut dilakukan supaya para nelayan dapat melihat rumah mereka ketika berjauhan dengan keluarga.
Seni bina rumah moden Burano biasanya berbentuk empat segi dan mempunyai dua tingkat. Tingkat bawah dikhususkan untuk bahagian dapur, sudut sarapan dan bilik air. Tingkat atas pula diletakkan bilik-bilik tidur.
Ia berbeza dengan struktur dahulu yang dibina di atas tiang dan dindingnya diperbuat daripada tenunan tebu dan plaster.
Burano terletak di pulau kecil tidak jauh dari bandar pusat di Venice yang menghidangkan panorama mengagumkan dan tampak menarik ketika merakamkan foto kenangan.
Jarak perjalanan dari Venice sejauh tujuh kilometer yang mengambil masa selama 40 minit menggunakan motobot tradisi Venice atau dipanggil sebagai vaporetti.

SETIAP rumah diwarnakan dengan rona berbeza daripada blok bersebelahan bagi mewujudkan kontra antara satu sama lain.


Burano terkenal sebagai lokasi pengeluar renda yang sudah menjadi nadi ekonomi penduduk setempat. Terdapat satu muzium dan sekolah yang dikhususkan dalam melahirkan pelajar-pelajar membuat renda.
Kehebatan renda Burano diakui sejak tahun 1400 sehingga pernah digunakan oleh Leonardo da Vinci yang pernah berkunjung ke kedai renda untuk digunakan pada bajunya.
Namun, hanya segelintir penduduk yang masih mengekalkan cara pembuatan tradisional. Pembuat renda-renda tersebut mudah ditemui di sepanjang kedai-kedai yang menjual renda. Selain itu, mereka hidup secara sederhana dengan bekerja tradisional sebagai nelayan.
Ia berdekatan dengan wilayah Mazzorbo yang hanya dipisahkan dengan sebuah jambatan. Populasi terkini penduduk Burano ialah kira-kira 2,800 orang.
Tarikan lain yang terdapat di Burano ialah gereja San Martino yang dilengkapi dengan menara loceng dan lukisan daripada pelukis terkenal, Giambattista Tiepolo.
Berada di Galuppi Square yang terletak di tengah bandar, pengunjung berpeluang melihat kerja-kerja tangan penduduk wanita yang menjual renda-renda berkualiti tinggi.
Jika penat berjalan, banyak gerai-gerai minuman dan makanan atau dipanggil Tattoria Buranella yang menghidangkan ikan-ikan segar dari pelaut.
Di dalam kawasan sama, pengunjung boleh melawat Museo del Merletto atau muzium renda selain Town Hall yang dibina menggunakan batu Istria.
Terdapat juga skulptur Baldassarre Galuppi yang dicipta khas oleh Remigio Barbaro, seorang juruarca terkenal kelahiran Burano.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0918&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_03.htm#ixzz3F3yvZU5W 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, September 10, 2014

Famili cuti ceria selamat

Jika anda melancong dengan keluarga dan mempunyai anak, anda mungkin ingin mempertimbangkan untuk mengambil nota penting 5 tips perjalanan keluarga. Perjalanan pada anda sendiri boleh menyeronokkan dan kurang sukar, tetapi perjalanan keluarga boleh membuat kenangan yang akan berlangsung seumur hidup. Terdapat beberapa cadangan penting untuk ingat apabila merancang percutian keluarga. Semak tip perjalanan ini:

# 1: Pastikan anda tenang
Jika anda boleh mengekalkan tahap kesabaran dalam kebijaksanaan apabila perjalanan dengan anak-anak, anda mendahului permainan ini! Kesabaran adalah sangat penting semasa dalam perjalanan dengan orang yang disayangi, jika berlaku apa-apa senario sukar. Anda mesti menyimpan rasa sejuk dan menenangkan diri apabila perjalanan keluarga anda semakin jauh dan lebih lama.

# 2: Keperluan bagasi
Pastikan anda bawa semua yang anda dan keluarga anda memerlukan segera dibawa di beg. Ini mungkin termasuk mainan, buku mewarna dan hiburan, susu ibu, ubat-ubatan, makanan ringan, jus, kain lap bayi dan banyak lagi. Pastikan anda menyemak dengan pihak berkuasa serta memastikan anda telah mengisi keperluan perjalanan apabila menaiki kapal terbang.

# 3: Kerusi ceria tingkap  
Pengembara bijak memberi anak mereka tempat duduk bertingkap. Dengan meletakkan anak anda di situ, anda boleh menyelamatkan mereka daripada dirempuh pergerakan troli minuman dan makanan. Selebihnya penumpang dan krew kabin penerbangan akan gembira jika si kecil anda leka di tingkap kerana ia mengehadkan kebisingan jika duduk di laluan menghadap adik-beradik dan keluarga.

# 4: Hiburan adalah kunci
Apabila perjalanan anda mungkin lama di lapangan terbang jika penerbangan tertangguh atau isu perjalanan yang lain, anda mungkin perlu menunggu di lobi hotel sibuk atau tinggal di barisan panjang di stesen kereta api. Apa sahaja kes, buat ceria dengan alat hiburan untuk anak-anak. Elak mereka terganggu agar anda tidak perlu dengar aduan kekecewaan dan kebosanan anak-anak.

# 5: Persekitaran selamat
Apabila anda menginap di hotel, pusat peranginan atau inap desa, periksa di dalam bilik dan pastikan adalah selamat untuk anak-anak anda berkeliaran. Perhatikan pagar rendah kawasan balkoni, tali dan wayar yang longgar, serta mana-mana barang berbahaya lain dipantau kerana ia menyebabkan anak-anak boleh mencederakan diri mereka jika ibu bapa leka seketika.


Sedar dan anda dan keluarga anda akan menikmati percutian anda sepenuhnya. Pastikan keluarga anda selamat dengan menjaga tenang diri anda dalam situasi yang boleh menakutkan atau menyebabkan kebimbangan untuk anak anda. Ketenangan anda, lebih selamat keluarga anda dan orang tersayang akan rasa. Ia masa perjalanan keluarga!

Tuesday, September 9, 2014

Petua rakam foto kembara


1. Bangun awal - Lampu terbaik menangkap sebahagian besar jenis subjek adalah dalam waktu emas: satu jam selepas matahari terbit dan satu jam sebelum matahari terbenam (bergantung haluan di mana anda berada di dunia). Jadi bangun awal untuk dapat peluang merakam gambar yang menakjubkan, manakala semua pelancong lain masih tidur.

2. Buat penyelidikan - Jangan serahkan kepada peluang sahaja tetapi belajar seberapa banyak yang anda boleh latar belakang mengenai tempat yang anda kira-kira akan merakamkam banyak gambar semasa dalam perjalanan menuju ke sana. Lebih banyak anda tahu, lebih 'pintar' imej anda.

3. Belajar kemahiran - Jangan buang masa dengan perjalanan mahal anda tanpa buat apa-apa sebaliknya belajar bagaimana untuk mengendalikan kamera baru, kanta canggih atau tahap kilat. Buat sedikit kerja rumah anda di hotel sebelum bertolak.

4. Pilih penginapan betul - Cuba tinggal di tengah-tengah bandar, atau mempunyai bilik dengan arah pemandangan indah seperti panorama, gaya hidup penduduk atau mercu tanda unik sekali gus boleh mewujudkan banyak peluang untuk merakamkan foto yang hebat.

5. Ucap beri salam - Belajar bagaimana untuk berkata "Hello" dalam bahasa tempatan dan ucapan terima kasih kepada penduduk tempatan apabila mengambil gambar mereka. Ini menjadikan gambar anda kelihatan lebih hidup dan nampak agak jujur bercerita.

6. Rujuk inspirasi - Lihat portfolio jurugambar lain untuk dapat idea atau ilham baru. Anda boleh dapat banyak tip hebat. Jika lihat diri anda sebagai artis, anda mesti mengakui kerja artis lain. Jangan memandang rendah melawat galeri seni, hadiri ceramah fotografi atau dengar muzik klasik.

7. Rasai tempat itu - Fotografi tidak hanya kira-kira inspirasi visual. Cuba rasai sendiri makanan tempatan, bau pasar tempatan dan mendengar muzik tempatan, ini akan membantu anda untuk lebih memahami kisah rahsia di sebalik keunikan tempat itu.

8. Cari orang tempatan - Berbincang seketika dengan penduduk tempatan dan mendapatkan nasihat mereka mengenai peluang-peluang rakaman foto yang hebat di negara mereka sendiri.

9. Kembara ringan - Jangan ambil semua barangan anda ketika bercuti mengembara. Dalam perjalanan hanya bawa bersama dua kanta: Satu zoom dan satu kanta utama. Ini adalah tip amat penting jika anda bercadang daki tanah tinggi, trek hutan, jalan sempit dalam bandar.

10. Biar unik - Beritahu penonton anda mengenai sesuatu yang segar dan baharu. Gambar anda sebenarnya berkongsi cerita terus dari mata anda sendiri ke imej tempat yang baharu. Anda akan dapat berbuat demikian.