Thursday, December 4, 2014

Surabaya buka sekadar sejarah


Bandar kedua terbesar di Indonesia selepas Jakarta iaitu Surabaya dengan populasi penduduk melebihi 3.1 juta merupakan sebuah pusat perniagaan, perdagangan, industri dan pendidikan di kawasan berhadapan Selat Madura dan Laut Jawa.

Dikenali sebagai Kota Pahlawan, Surabaya sangat kaya dengan kisah sejarahnya dalam perjuangan untuk merebut kemerdekaan daripada penjajah. 

Malah, daerah ini juga menjadi pusat bagi kerajaan Majapahit suatu ketika dahulu.

Selain daripada kisah sejarahnya yang tersendiri, di Surabaya juga terdapat Pesantren Pasuruan iaitu merujuk kepada madrasah atau pondok yang terletak di sebuah tempat bernama Pasuruan. 

Perjalanan untuk melihat Pesantren Pasuruan ini adalah usaha Yayasan Kebajikan Anak-anak Kuala Kangsar (Yayasan Anak Kuale) yang diketuai oleh pengerusinya, Datuk Ramly Zahari bersama Al-Habib Alwi dari Surabaya.

Sebelum bertolak ke Surabaya, penulis bersama ahli rombongan yang lain telah berkumpul terlebih dahulu di pejabat Yayasan Anak Kuale untuk menaiki bas ke klia2. Alhamdulillah, selepas dua jam penerbangan, kami selamat tiba di Lapangan Terbang Juanda.

Sampai sahaja di lapangan terbang itu, kami disambut mesra oleh Al-Habib Alwi dan beliau terus membawa kami ke Hotel Pasuruan. Oleh sebab hotel tersebut merupakan milik pesantren, jadi ia tidaklah semewah mana, namun ia sudah mencukupi buat kami.

Keesokannya, lokasi lawatan pertama penulis bersama ahli rombongan yang lain adalah Gunung Bromo dan Pantai Berbisik. Apa yang menariknya mengenai Gunung Bromo ini ialah di situ terdapatnya sebuah pantai ‘berbisik’.

Hal ini kerana gunung berapi di kawasan tersebut masih hidup dan sering mengeluarkan bunyi seperti ular bersisir. Maka, sebab itulah pantai tersebut diberikan nama Pantai Berbisik. 

Untuk pengetahuan pembaca .com juga, kali terakhir gunung berapi tersebut meletup adalah pada 2012.

Setelah tiba di Lake View Lodge yang terletak di kawasan pergunungan tersebut, masing-masing diberikan jip yang boleh memuatkan lima orang. 

Jip ini adalah untuk membawa kami turun ke kawasan gunung berapi tersebut agar kami boleh melihat sendiri bagaimana bentuk pasir yang ada di kawasan itu.

Kemudian, kami pergi ke sebuah tempat khas untuk melihat matahari terbit dan terbenam iaitu di kawasan Gunung Penanjakan. Sememangnya ia adalah sebuah tempat yang cukup indah dan menakjubkan untuk melihat kebesaran ciptaan Yang Maha Esa.

Pada malam harinya pula, kami dibawa ke rumah Al-Habib Alwi untuk mengikuti majlis ilmu dan selawat selain melawat kawasan pesantren, seterusnya menikmati makan malam di rumah Al-Habib Alwi.

Keesokan paginya pula, kami mendaftar keluar dari Hotel Pasuruan dan pergi ke sebuah tempat yang dipanggil Malang. Malang merupakan tempat yang cukup popular dengan ladang epal.

Namun begitu, ketika kami tiba di Malang, kawasan tersebut amat sesak, jadi kami dibawa terus ke sebuah tempat yang dipanggil Resort Selecta.

Resort ini boleh digambarkan seperti Sunway Lagoon, tetapi ia lebih kecil, padat dan sesak dengan pengunjung. Di sini, penulis sempat menikmati bakso dan terang bulan iaitu sejenis makanan yang seakan-akan apam balik dengan rasa campuran coklat, keju dan susu.

Di Malang ini juga, penulis sempat membeli pelbagai barangan cenderahati untuk dibawa pulang ke tanah air. Antara ‘buah tangan’ yang menarik dijual di situ ialah pelbagai jenis kerepek termasuklah kerepek buah-buahan.

Setelah itu, kami dibawa ke Resort Jambuluwak. Penulis sememangnya sangat teruja dengan resort ini kerana pemandangannya sangat cantik. 

Pada waktu petang, kami melakukan aktiviti santai dan mengambil angin di kawasan resort tersebut dan pada malamnya kami meneruskan aktiviti keagamaan dengan mendengar ceramah daripada Al-Habib Alwi.

Keesokannya kami mendaftar keluar dari resort tersebut dan menuju ke bandar Surabaya. Ketika dalam perjalanan, kami sempat singgah untuk melawat makam Sunan Ampel dan melaksanakan solat Zohor di masjid dalam kawasan makam tersebut.

Apa yang menarik, di dalam masjid ini terdapat sebuah perigi yang mana ramai orang dilihat mengambil air dari perigi tersebut kerana dipercayai air perigi itu mempunyai khasiat seperti air zam zam.

Pengalaman selama tiga hari di Surabaya sememangnya satu pengalaman yang cukup bermakna buat penulis dan juga ahli rombongan dari Yayasan Anak Kuale.

Ia bukan sahaja satu perjalanan untuk meluaskan pandangan, malah ia juga perjalanan spiritual yang pasti tidak akan dilupakan. – BAZRINA RAMLY (https://www.facebook.com/bazrina.ramly)
- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/pelancongan/surabaya-bukan-sekadar-sejarah-1.19416#sthash.d3lHPIc8.dpuf

Wednesday, December 3, 2014

MAS Golden Holidays tawar destinasi baharu




BERITA gembira bagi mereka yang gemar bercuti atau digelar kaki melancong, sama ada secara bersendirian atau berkumpulan, apabila unit pengendalian pelancongan Malaysia Airlines (MAS), Golden Holidays, kini menawarkan pakej percutian seiring dengan pelancaran brosur Destinasi Asean yang meliputi lapan negara di rantau Asia Tenggara iaitu Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina, Vietnam, Thailand, Kemboja dan Myanmar.

Brosur 144 muka surat itu sarat dengan cadangan idea-idea percutian, maklumat percutian, tip dan peta destinasi bagi membantu pelanggan merancang percutian mereka secara bijak.

Melalui Destinasi Asean, anda boleh memilih pelbagai pakej pelancongan yang merangkumi perjalanan empat hari tiga malam, lengkap dengan tempat-tempat menarik untuk dilawati, pilihan hotel, makanan dan pengangkutan.

Anda boleh terus merujuk destinasi negara pilihan hati secara mudah, selain mendapatkan seberapa banyak tip perjalanan, cadangan melancong serta pelbagai pilihan hotel penginapan menerusi paparan brosur yang menarik, reka letak yang ringkas, tepat dan menarik untuk dibaca, sekali gus memudahkan rujukan serta mampu merancang percutian yang menyeronokkan.

Tawaran ini amat sesuai bagi mereka yang sedang mencari-cari destinasi pelancongan terindah kerana Golden Holidays menawarkan lawatan ke tempat-tempat menarik sebagai pelengkap percutian anda. Ia merangkumi lawatan ke lokasi yang penuh dengan cabaran, menikmati pemandangan yang indah dan menyegarkan serta tidak kurang syurga makanan.

Yang pastinya, Destinasi Asean akan memastikan keseronokan untuk semua peringkat umur. Hanya perlu memilih ikon pilihan seperti Halal, Spa, Shopping, Child friendly, Historical & Cultural serta banyak lagi untuk mendapatkan maklumat bermanfaat.

Golden Holidays turut memastikan aspek kualiti kemudahan dengan menetapkan nilaian piawaian mereka sendiri. Bintang atau penggunaan paparan jumlah simbol wau yang berdasarkan kepada nilai eksklusif dan ulasan pertama oleh pakar-pakar pelancongan dari Golden Holidays.

Maklumat lanjut mengenai pakej-pakej Golden Halidays, boleh didapati dengan menghubungi ejen pelancongan atau mengunjungi pejabat Golden Holidays di KL Sentral atau melayari laman web MAS di http://holiday.malaysiaairlines.com atau e-mel kepada goldenholidays@malaysiaairlines.com.

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/pelancongan/perluas-destinasi-baharu-percutian-1.16073#sthash.3c34xZG1.dpuf

Tuesday, December 2, 2014

Damai berkhemah di Pantai Saujana


HAMPARAN pasir pantai seluas 1 kilometer (km) dan panjang kira-kira 0.6 km di samping rimbunan pokok ru menjanjikan ketenangan buat pelancong yang memilih untuk bercuti di Pantai Saujana, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Sesetengah penduduk tempatan pula mengenalinya sebagai Pantai Batu 4 sebelum terlibat dalam pewartaan semula nama-nama pantai peranginan Port Dickson pada 2001.

Hanya satu jam 20 minit memandu sejauh 93 km dari Kuala Lumpur, penulis memilih untuk berkhemah semalaman di sana pada hujung minggu lalu.

Bagi mereka yang mahu keselesaan, terdapat pelbagai tempat penginapan bermula hotel bajet hingga bertaraf lima bintang.

Benar seperti maklumat dikongsikan blogger, cukup hanya semalam di sana, penulis dapat merasai ketenangan yang dicari. Lebih-lebih lagi, ia jauh dari hiruk pikuk kota metropolitan. 

Mudah dikatakan, jauh dari pencemaran bunyi, udara dan air.

Pemandangan senja melihat matahari terbenam serta kumpulan burung yang terbang pulang ke Pulau Burung yang berdekatan membuatkan penulis mula jatuh cinta dengan pantai peranginan ini.

Dari aspek keselamatan, pengunjung tidak perlu berasa khuatir kerana cahaya limpah disediakan di sebelah malam dari lampu kalimantang, selain terletak di sebelah jalan utama.

Malam pertama di Pantai Saujana, penulis bertuah kerana terdapat pasar malam minggu berikutan hari itu adalah hari Sabtu malam Ahad. Penulis membeli pelbagai juadah dan menjamu selera di tepi pantai sebagai kudap kudapan sebelum menikmati hidangan makanan laut di restoran ikan bakar berdekatan.

Lokasi damai dengan taburan pasir lembut seperti tekstur tepung di samping laut bersih dan angin sepoi-sepoi bahasa dari pokok ru membuatkan penulis perlu memakai baju sejuk dan tidur berselimutkan beg tidur. 

Bagi menghangatkan badan, penulis membeli kopi panas di restoran berdekatan dengan memenuhkan termos yang dibawa.

Sudah pasti, kunjungan ke laut tidak sah jika tidak basah. Disebabkan itu, penulis menggunakan kesempatan untuk bermain sukan air seperti bot pisang, jet ski dan ‘airhead’ pada keesokannya. 

Bagaimanapun, sukan air di Pantai Saujana tidak semeriah di Teluk Kemang kerana ia dihadkan bagi memelihara alam sekitar.

Pelbagai kemudahan disediakan seperti tandas, kedai cenderamata, surau, restoran dan parkir kereta bagi keselesaan pengunjung.

Memandangkan hari semakin menganjak ke tengah hari, penulis mengambil keputusan untuk berkemas-kemas dan menikmati snek seperti pisang goreng, keropok lekor dan air kelapa untuk membasahi tekak dan mengisi perut.

Jadi apa tunggu lagi, habiskan hari minggu anda dengan aktiviti berfaedah dan tenangkan fikiran di Pantai Saujana supaya kerja atau kelas di permulaan minggu baharu berasa lebih segar. – DHIYA’ZULHILMI DAUD

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/pelancongan/damai-berkhemah-dipantai-saujana-1.22246#sthash.CQP6SL5Q.dpuf

Monday, December 1, 2014

Inap calet kontena di Langkawi

CALET berkonsepkan kontena yang dibina sendiri, The Cabin menjadi salah satu destinasi pilihan pelancong yang inginkan kelainan ketika bercuti di pulau peranginan negara, selain lokasinya yang terletak di pantai tumpuan ramai iaitu Pantai Chenang, Langkawi.

The Cabin mula beroperasi pada 2009 dengan permulaan cuma 10 bilik sahaja sebelum ditambah kepada 10 unit lagi oleh pemiliknya, Datuk Azliy Rosli, 43. Tambahan dibuat setelah calet tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong.

Bercerita tentang The Cabin, kata Azliy, idea untuk membuka calet tersebut timbul setelah beliau dan keluarga kerap berkunjung ke Pulau Langkawi untuk bercuti.

“Saya rancang nak buka calet dan yang pastinya konsep itu mestilah unik dan lain daripada hotel di Langkawi ini.

“Lokasi The Cabin juga sangat menarik kerana ia terletak di Jalan Pantai Chenang dan hanya berada kira-kira 100 meter dari pantai,” katanya.

Menurut Azliy, kos keseluruhan pembinaan calet itu bernilai kira-kira RM1 juta dan calet tersebut menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.

Beliau berkata, kedudukan calet juga strategik iaitu terletak berdekatan kemudahan asas seperti kedai runcit, restoran dan pusat membeli-belah seperti Chenang Mall serta destinasi pelancongan Underwater World.

Dari segi dekorasi dalaman bilik, pemilihan warna yang terang di setiap sudut bilik dengan dilengkapi hiasan sentuhan moden menjadikan The Cabin bertambah menarik dan sangat mendamaikan untuk penghuninya.

Selain menitikberatkan hiasan dalaman, The Cabin juga kelihatan cukup indah dengan persekitaran yang dipenuhi landskap taman, antaranya pohon kelapa dan lampu hiasan.

Taman tersebut menjadi tarikan di The Cabin dan amat sesuai untuk pengunjung berehat sambil menghayati keindahan alam semula jadi di luar bilik mereka.

Calet ini turut menyediakan pelbagai pakej menarik kepada pengunjung termasuk bagi pasangan pengantin baharu iaitu pakej berbulan madu yang disediakan dengan bayaran serendah RM565 selama tiga hari dua malam meliputi pakej makan malam, island hopping dan banyak lagi.

Pantai awam yang terletak berdekatan juga menjadi tempat tumpuan pelancong yang menyediakan pelbagai aktiviti pantai seperti jet ski, banana boat dan payung terjun, sekali gus menjadikan The Cabin sebagai pilihan utama untuk menginap.

Dalam pada itu, seorang pelancong dari United Kingdom, Lionel Becherel, 57, berkata, dia amat berpuas hati dengan kemudahan yang ditawarkan di The Cabin.

“Selain bilik yang unik, saya juga tertarik dengan kawasan laman di sini. Semuanya lengkap dan harga bilik juga amat berpatutan,” katanya.

Harga bilik adalah RM160 yang mana harga sama turut ditawarkan pada musim cuti sekolah dan perayaan.

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/pelancongan/penginapan-8232-calet-kontena-8232-jadi-pilihan-1.24647#sthash.r6h4QXgu.dpuf

Monday, November 10, 2014

Rasai pengalaman sejuk di London



MINGGU terakhir bulan Mac tahun ini menyaksikan suhu kekal sejuk sehingga waktu siang mencecah negatif darjah Celsius. Suhu sejuk membeku ini amat dirasai ramai pengunjung dari negara panas yang datang ke kota raya London.
Ada juga ketikanya, suhu menjunam ke bawah paras beku, serendah negatif 3 darjah Celsius pada waktu siang, diselubungi angin sejuk yang bertiup sederhana.
“Saya datang ke London untuk bercuti. Saya dapat merasakan kesejukan yang melampau. Ia satu kejutan untuk saya dan kawan-kawan kerana kami datang dari Mexico yang berhawa panas,” kata pelancong yang mahu dikenali sebagi Jenny, 30-an, ketika ditemui tidak jauh dari Istana Buckingham.
Musim bunga sepatutnya bermula pada awal bulan Mac apabila musim sejuk melabuhkan tirai pada hujung Februari lalu di Britain dan kebanyakan negara lain di benua Eropah. Bagaimanapun tahun ini suhu beku hadir lebih lama yang pernah dialami sejak lebih lima dekad. Kali terakhir cuaca sejuk sebegini lama dikatakan pada tahun 1963.
Seorang wanita Inggeris yang ditemui di Muzium Britain berkata, kali ini salji turun lebih lama sehingga bulan Mac.
Menurut laporan London Evening Standard, ramai dalam kalangan warga Britain memilih menyambut perayaan Easter tahun ini di negara cuaca panas seperti Mesir, Turki, Tunisia, Sepanyol dan Kepulauan Caribbean.
Easter ialah antara perayaan utama dalam kalendar penganut Kristian. Minggu menyambutnya dinamakan minggu suci dan Jumaat sebelum Easter dikenali sebagai Good Friday.
Bagi pengunjung yang berada di London, mereka tiba dengan persediaan untuk menghadapi musim sejuk yang panjang. Bagi mereka yang sudah biasa dengan musim sejuk kerana bermastautin di Britain dan negara-negara yang mengalami empat musim, turut merasai tempias kesejukan suhu negatif kali ini.
Berhelai-helai pakaian tebal dipakai untuk mengelakkan rasa sejuk dan keadaan berangin ini.
Seorang pengunjung dari Denmark yang bercuti di London selama enam hari bersama keluarganya berkata, di Denmark suhunya jauh lebih rendah berbanding London.
“Saya memang sudah biasa dengan cuaca sebegini tetapi tidak menyangka akan menyambut Easter dalam cuaca sejuk juga. Terpaksalah kami bercuti dengan berbekalkan pakaian tebal seperti ini,” katanya.
“Saya akan pergi bercuti ke Maghribi, cuaca terlalu sejuk di sini,” kata seorang lelaki Inggeris ketika ditanya mengenai suhu sejuk melampau ini di stesen kereta api bawah tanah Oxford Circus.
Lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu baru saja selesai membeli-belah di deretan gedung terkemuka seperti Selfridges, H&M, Marks & Spencer, Hamleys dan Top Shop yang kebetulan ketika ini mengadakan jualan murah musim bunga bersempena sambutan Easter.
Penulis juga menemui beberapa orang rakyat Malaysia yang bercuti di kota raya London.
“Sejuk, memang sejuk sungguh. Tapi kami telah dinasihatkan untuk membawa pakaian termal dan tebal supaya dapat bertahan dalam cuaca sejuk,” kata Noorshazeele Zakaria, 25, yang lengkap berstokin panjang dan sarung tangan tebal.
Hazman Sapawi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, beliau berkunjung ke London pada tahun 2012 dalam tempoh waktu yang sama.
“Saya sudah bersedia dengan pakaian tebal untuk musim sejuk, tetapi terpaksa menyarung pakaian yang lebih tebal lagi kali ini,” katanya.
Akhbar di kota raya London juga melaporkan agensi ramalan kaji cuaca menjangkakan musim dingin kini akan berpanjangan sehingga sebulan lagi. – Bernama
Hakcipta terpelihara 



Sunday, November 9, 2014

Kembara solo gadis Melayu



PASTI ramai masyarakat di negara ini yang gemar melancong ke luar negara bagi melihat sendiri keindahan negara orang. Tidak kurang juga yang melancong atas tujuan ingin berbelanja besar di negara-negara yang terkenal dengan jolokan syurga beli-belah.
Tetapi berapa ramai pelancong dari Malaysia yang boleh digelar sebagai seorang pengembara? Menjelajah ke negara asing secara backpacker seperti yang dilakukan oleh kebanyakan pelancong Eropah.
Mungkin tiada apa yang perlu dihairankan jika individu yang melancong secara bersendirian itu merupakan seorang lelaki.
Namun, lain pula halnya jika aktiviti tersebut dilakukan oleh kaum wanita yang mampu membuktikan mereka mampu mengembara bersendirian.
Berbekalkan keberanian dan minat mendalam terhadap dunia pengembaraan telah membawa dua figura wanita yang terkenal dalam dunia travelog Malaysia untuk menjelajah negara asing secara solo.
Menariknya, kedua-dua mereka merupakan wanita yang berani membawa diri ke tempat asing tanpa ditemani sesiapa.
Ternyata apa yang dilakukan mereka memberi inspirasi kepada kaum wanita di luar sana yang masih berasa ragu-ragu dengan kemampuan berkelana seorang diri keluar dari negara masing-masing.
Seorang pegawai teknologi maklumat, Siti Noridah Ab. Rahman, 29, mula mengembara secara solo sejak dua tahun lalu ke Thailand sebelum meneruskan penjelajahannya ke beberapa negara di Asia Tenggara antaranya Indonesia, Vietnam dan Kemboja.
"Saya gemar melancong secara solo untuk memgajar saya lebih berdikari dan berani berinteraksi dengan masyarakat setempat.
"Memandangkan minat utama saya ketika melancong adalah mempelajari perkara baharu di negara orang, saya berjaya menggunakan wang yang ada sebaiknya, tanpa perlu membazir dengan membeli-belah," ujarnya yang mesra disapa Et.
Menurutnya, pengalaman manis yang tidak boleh dilupakan adalah ketika mengembara secara solo sejauh 2,500 kilometer merentasi tiga buah negara selama 14 hari menggunakan jalan darat.
Pengembaraan tersebut bermula dengan penerbangan tambang murah dari Kuala Lumpur ke Ho Chi Minh di Vietnam dan seterusnya melewati bandar Phnom Penh, Siem Reap dan Battambang di Kemboja. Kemudian, Et meneruskan perjalanan ke Bangkok dan Hatyai di Thailand sebelum pulang ke Kuala Lumpur menaiki bas.
"Walaupun berjaya menempuh perjalanan secara bersendirian, saya masih berasa gementar apabila berada di tempat baharu kerana bimbangkan keselamatan diri.
"Namun, setakat ini kebanyakan orang yang ditemui tidak menimbulkan sebarang keadaan mencemaskan," jelas wanita yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu.
Meskipun jarang berdepan dengan situasi buruk, Et mengakui tidak dapat melupakan kenangan ketika seorang pelancong asing cuba mengambil kesempatan secara seksual ke atasnya sewaktu bercuti di Phnom Penh.
"Pelancong asing itu kelihatan mabuk dan cuba meraba, tetapi saya sempat mengelak. Sejak peristiwa itu, ketika bercuti saya lebih berhati-hati dengan orang yang mabuk," ujarnya.
Berkongsi tentang tip keselamatan pula, sebagai seorang backpacker wanita dia selalu membawa wisel dan tali besi halus untuk mengikat beg yang dibawa bagi mengelak berlaku kecurian atau apa-apa kejadian yang tidak diingini.
Pada mulanya, minat Et mendapat tentangan ibu bapanya kerana bimbang aspek keselamatan gadis berkenaan memandangkan dia seorang perempuan yang berada jauh daripada pengawasan keluarga.
"Lama-kelamaan kedua-duanya orang tua saya akur dan selalu mendoakan keselamatan saya sepanjang bercuti ke luar negara," katanya yang bercadang untuk mendaki Gunung Rinjani, Lombok di Indonesia pada bulan depan.
Berlainan pula dengan seorang peguam muda, Farah Nadiah Zainudin, 27, yang memberanikan diri mengembara secara solo ke Kemboja ketika masih berusia 23 tahun iaitu pada 2009.
"Semasa melanjutkan pengajian di peringkat ijazah, saya kerap ketinggalan aktiviti percutian yang dirancang oleh rakan sekelas kerana duit yang ada hanya cukup-cukup untuk kos sara hidup sebagai seorang mahasiswa.
"Saya berazam untuk mengembara secara solo bila sudah bekerja selepas tamat pengajian di Universiti Teknologi Mara pada tahun 2008," katanya.
Farah Nadiah memberitahu, dia gemar melawat negara yang mempunyai tarikan aktiviti lasak seperti mendaki gunung dan tidak kisah berhabis duit untuk membeli peralatan pendakian.
Beberapa kawasan tumpuan pendaki seluruh dunia yang berjaya ditawan gadis dari Kulim, Kedah itu ialah Gunung Semeru, Jawa Timur dan Gunung Rinjani, Lombok di Indonesia serta Gunung Mulu di Miri, Sarawak.
Berkongsi tentang pengalaman yang tidak dapat dilupakannya pula, Farah Nadiah memberitahu, dia pernah melalui saat mencemaskan ketika melawat New Delhi, India pada Februari 2011 kerana ketika itu berlangsungnya perhimpunan Hari Asyura oleh puak Syiah di sana.
"Terus-terang saya bimbangkan keselamatan diri pada ketika itu kerana saya telah ditolak ke kiri dan ke kanan sewaktu terperangkap dalam ribuan peserta perhimpunan tersebut. Syukur tidak terjadi apa-apa. Saya hanya mengikut perarakan mereka yang rata-rata berpakaian hitam sempena sambutan tersebut," ujarnya.
Tambah Farah Nadiah, pengalaman mendapatkan sebuah beca auto di India adalah sangat mencabar kerana kebanyakan pemandunya biadap dan sukar untuk tawar-menawar.
"Saya baru hendak mencuba tawar-menawar dengan pemandu beca auto untuk mengetahui tentang kadar perjalanan, tiba-tiba mereka berlalu begitu sahaja. Selepas tiga kali mencuba, saya membuat keputusan untuk berjalan kaki sahaja berpandukan arah yang diberikan oleh masyarakat setempat," jelas Farah Nadiah.
Menurutnya, pengalaman bercuti secara solo sangat berharga kerana dia berpeluang memupuk nilai survival dalam diri meskipun ketika berada di negara orang.
"Jika saya tidak mulakan langkah pertama untuk bercuti secara seorang diri, sampai bila-bila saya tidak akan tahu kemampuan diri sendiri. Tidak dinafikan memang berasa takut ketika mula-mula mencubanya. Rupa-rupanya, ia (bahaya) tidaklah seperti yang digambarkan, malah menyeronokkan," jelasnya.
Adakalanya gadis genit itu turut mengembara bersama beberapa orang rakan yang berkongsi minat sama bagi mengurangkan kos perjalanan dan bersesuaian dengan aktiviti lasak yang disukainya.
"Kadang-kadang memang tidak mampu untuk pergi semua destinasi impian secara berseorangan dan lebih baik untuk bercuti secara berkumpulan.
"Bagi percutian dalam negara pula, saya selalu mengikuti aktiviti anjuran Tourism Selangor yang aktif mengadakan lawatan ke lokasi menarik di negeri itu," katanya yang pernah dicalonkan dalam Anugerah Blog Eko-pelancongan Antarabangsa Malaysia baru-baru ini.
Beberapa negara yang telah dilawati Farah Nadiah secara solo ialah Indonesia, Filipina, Kemboja, Myanmar dan India.
Maklumat lanjut berkenaan kisah menarik tentang perjalanan kedua-dua gadis itu boleh dilayari di www.derubirusiti.blogspot.com dan www.thatsofarah.com.
Hakcipta terpelihara 



Saturday, November 8, 2014

Toko buku 18 bahasa



RUANG kecil kedai itu hanya disusun dengan rak-rak buku. Di setiap rak, tersusun rapi buku-buku pelbagai judul dan bahasa.
Papan tanda mini memaparkan nama-nama negara pula digantung bersama tali yang diikat pada siling. Biarpun ruangnya terhad, susun atur buku mengikut tulisan bahasa dan negara di organisasi kemas.
Sebagai satu-satunya kedai buku di Pulau Langkawi, Kedah dan di Malaysia yang menjual buku dengan pilihan 18 bahasa utama di dunia, Your Language Books Corner (YLBC) tidak putus-putus dikunjungi orang terutama pelancong asing.
Pemiliknya, Mashhor Salleh, 47, ketika ditemui Kosmo! ketika itu sedang sibuk memunggah kotak berisi buku-buku pelbagai genre yang baru tiba.
Selepas lima tahun beroperasi, perniagaan Mashhor berkembang daripada sebuah gerai kecil menjadi premis berbumbung yang lebih selesa. Bermula dengan 20 buku bahasa Inggeris dan Sweden, YLBC kemudiannya menambah seleksi bukunya kepada 6,000 judul.
Kesemua buku daripada 18 bahasa yang boleh ditemui di sini meliputi bahasa dari negara-negara Eropah dan Asia. Selain bahasa Melayu dan Inggeris, kaki buku akan menemui naskah dalam bahasa Finland, Denmark, Sweden, Itali, Poland, Rusia, Slovakia, Norway, Jepun dan Korea.
Menurut Mashhor, majoriti pengunjung YLBC terdiri daripada pelancong Eropah khususnya mereka dari rantau Scandinavia (Denmark, Norway, Sweden dan Finland). Justeru, pesanan bagi buku-buku bahasa utama negara tersebut perlu sentiasa diperbaharui dan dipenuhkan di rak-rak buku. Tidak ketinggalan, pelancong dari Kazakhstan, Uzbekistan dan Republik Czech yang sejak kebelakangan ini semakin ramai.
“YLBC tidak menjual buku baharu. Semua buku di sini adalah buku terpakai yang dibeli daripada pembekal istimewa. Kami juga menjalankan konsep pertukaran buku iaitu pengunjung boleh memberikan dua buah buku mereka dengan memilih salah satu daripada buku di sini.
“Jika ada yang mahu menjual buku pula, kami akan membeli dengan separuh harga. Namun, kebanyakan pelancong asing sering menderma buku-buku mereka sebelum pulang ke negara masing-masing.
“Mereka mahu orang lain merasakan perasaan yang sama apabila membaca buku mereka. Ia bagaikan satu perkongsian firasat,” kongsi Mashhor yang pernah menerima kunjungan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun lalu.
Buku yang dijual di YLBC dipecahkan kepada pelbagai genre. Majoritinya adalah novel, karya fiksyen atau buku panduan pelancongan.
Judul-judul daripada penulis buruan ramai seperti Paulo Coelho, John Grisham dan Khaled Hosseini wajib ada. Antara buku kerap dicari pengunjung ialah The Alchemist (Coelho) dan The Kite Runner (Hosseini). Buku bahasa Melayu pula banyak membariskan novel yang diadaptasi ke dalam bentuk drama televisyen atau filem.
Tambah Mashhor, stok buku-bukunya tidak menentu. Memasuki bulan April dan Mei, pelancong Eropah akan berkurang kerana musim sejuk di negara mereka telah tamat.
Pada musim puncak, dia dapat menjual 50 buah buku secara purata dalam sehari. Hari-hari biasa di luar musim pelancong pula, YLBC masih menerima pembelian buku mencecah 20 hingga 30 buah.
Konsep kedai buku pelbagai bahasa itu diwujudkan Mashhor selepas mengenal pasti budaya orang Eropah yang suka membaca. Sebagai destinasi tumpuan pelancong seluruh dunia, Mashhor melihat potensi idea itu untuk diperbesarkan sekali gus mempelbagaikan produk pelancongan di Langkawi.
Selepas setahun dibuka, permintaan dalam kalangan pelancong meningkat. Sebagai pencinta buku, Mashhor sendiri mengambil inisiatif mempelajari gaya dan bentuk bahasa pelbagai negara.
Empat bulan merupakan tempoh minimum bagi menguasai asas bahasa asing. Kini, dia dapat membezakan bahasa Norway dan Sweden yang hampir memiliki kesamaan bunyi tetapi berlainan dialek.
Merancang untuk memperbesarkan kedainya menjadi premis dua tingkat dalam tempoh lima tahun dari sekarang, Mashhor turut mengidamkan membuka gerai di pameran-pameran buku bagi mendedahkan masyarakat kepada buku-buku pelbagai bahasa.
Bapa kepada dua anak itu juga kerap menderma buku untuk perpustakaan sekolah di sekitar Langkawi. Kekurangan kedai buku di Langkawi menyulitkan akses pelajar di pulau itu terhadap bahan bacaan bervariasi.
Hakcipta terpelihara