Saturday, April 5, 2014

Jelajah solo Anita Yusof

DIA tidak pernah memiliki motosikal sendiri mahupun lesen untuk menunggang kenderaan dua roda tersebut. Segalanya bermula selepas dia membaca satu blog catatan pengembara bertajuk Dengan Basikal Aku Menjelajah, yang membakar semangatnya untuk mengembara menaiki motosikalnya sendiri.

Pada usia ketika itu mencecah 43 tahun, Anita Yusof membuktikan tiada apa yang boleh menjadi halangan sekiranya diri sendiri sudah menetapkan matlamat.

Dengan usaha dan azam yang kuat, Anita telah berjaya membuktikan kemampuan dirinya mengembara menggunakan motosikal dan lebih membanggakan ia dilakukan secara bersendirian.

Dengan hanya berbekalkan minat, Anita, mencari ‘sifu’ yang sesuai untuk memberi tunjuk ajar, namun dia diarah membeli motosikal dan mendapatkan lesen terlebih dahulu sebelum menuntut ilmu.

“Tidak sampai dua minggu saya kembali menemui ‘sifu’ saya itu, seorang pengembara bernama Hadi Husin. Dia pernah menjelajah dari Kuala Lumpur ke Kota London menaiki motosikal kapcai.

“Dia juga yang mengajar saya teknik menunggang yang betul dan aspek-aspek keselamatan ketika mengembara solo. Sikap profesional dan ketegasannya memberikan saya keyakinan dan keberanian untuk mengembara ke negara asing menggunakan motosikal.

“Hampir dua bulan selepas belajar, kami merentasi Thailand, Myanmar, Laos, China, Vietnam dan Kemboja, dalam jelajah yang memakan masa selama 23 hari.

“Memang pada masa itu saya masih takut-takut membawa motosikal dan terhoyong-hayang apabila ada kenderaan besar lalu di tepi. Lama kelamaan saya semakin mahir," katanya yang merupakan pensyarah jabatan pendidikan jasmani di Institut Pendidikan Guru (IPG), kampus Ipoh, Perak.

Perjalanannya merentasi negara-negara Asia itu lebih bermakna apabila dia berjaya menempuh seba­nyak 1,684 selekoh untuk sampai ke satu tempat diberi nama Thousand Corner, yang terletak di Mae Hong Son, utara Thailand.

Laluan tersebut dianggap antara yang paling mencabar bagi setiap pe­ngembara motosikal.
Malah, kegembiraan dan keyakinannya yang semakin tinggi untuk mengembara secara solo dengan bermotosikal, mendorongnya menjelajah sekali lagi ke Thailand, Myanmar, Laos, China, Vietnam dan Kemboja, kali ini secara solo dalam tempoh 12 hari.

Selepas yakin dengan kemampuannya, Anita yang kini berusia 47, memulakan satu lagi langkah berani iaitu menjelajah lima negara di Asia Tengah bermula 22 Mei lalu.

Pengembaraan solo yang disifatkan sebagai epic solo ride, ibu kepada dua anak ini menunggang motosikal seorang diri melalui Uzbekistan, Kazakhstan, Kyrgystan, Tajikistan dan Pakistan.

Melawat ke negara-negara tersebut memang menjadi impiannya sejak sekian lama kerana ingin menyaksikan sendiri keindahan muka bumi rantau Asia Tengah itu.

Katanya, antara persiapan penting sebelum bertolak ialah mendapatkan permit bagi memastikan perjalanan sah dan lancar.

“Sepanjang perjalanan ke lima negara itu, saya berkomunikasi dengan pihak berkuasa dan rakyat di sana hanya dalam bahasa isyarat kerana mereka tidak tahu berbahasa Inggeris dan saya pula tidak faham bahasa tempatan.

“Bagaimanapun perjalanan saya lancar dan lebih menarik, saya tidak mengalami sebarang kejadian tidak diingini seperti tayar pecah dan sebagainya, biarpun melalui jalan berbukit yang penuh batu kerikil yang turut dikenali sebagai laluan kambing," katanya.

SALAH satu impian yang berjaya dicapai Anita Yusof iaitu menyaksikan puncak tertinggi dunia Gunung Everest, biarpun pendakian sekadar sampai base camp.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20140813/pl_01/Jelajah-solo-Anita-Yusof#ixzz3FYkss57u
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment