Saturday, October 4, 2014

Cabaran Raja Sungai Rajang

PARA peserta bersiap sedia untuk bertarung dalam Regata Sarawak 2014.


REGATA Sarawak mempunyai sejarah penganjuran yang cukup panjang. Pada edisi sulung, penganjuran pada tahun 1872, ia merupakan alternatif bagi budaya memotong kepala dan mengakhiri perbalahan antara kaum di negeri berkenaan.
Bagaimanapun, kini penganjuran temasya itu menjadi simbol kepada kekuatan perpaduan rakyat di negeri Sarawak.
Temasya itu tidak hanya melibatkan perlumbaan perahu semata-mata tetapi turut menyediakan tapak-tapak pameran, jualan pelbagai jenis makanan serta barangan dan juga menjadi titik pertemuan pelbagai lapisan masyarakat di seluruh Sarawak.
Memasuki edisi ke-142 penganjuran pada tahun 2014, temasya yang berlangsung di Tebingan Sungai Sarawak, Kuching dari 4 hingga 7 September lalu itu bertemakan The Race for Harmony.
Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata, selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Regata Sarawak sebagai acara berprestij di peringkat antarabangsa, satu acara baharu diperkenalkan kali ini iaitu Lumba Perahu Naga Antarabangsa.
“Sebanyak 11 buah negara dengan 550 peserta telah menyertai acara tersebut terdiri daripada Australia, Kanada, Hong Kong, Macau, Brunei, Singapura, Filipina, Thailand, Taiwan, Indonesia dan Malaysia.
“Penganjuran Regata Sarawak pada tahun ini juga tercatat dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia 2014 dan ia bertepatan dengan usaha kerajaan negeri Sarawak dalam memperluaskan industri pelancongan bagi menarik kedatangan pelancong global ke Sarawak,” kata beliau kepada Kosmo! baru-baru ini.
Katanya, tradisi penganjuran Regata Sarawak yang diperkenalkan sejak era pemerintahan Charles Brooke iaitu Rajah kedua Sarawak menjadikannya begitu unik serta kaya dengan nilai sejarahnya.
Tambah beliau, tarikan utama pastinya acara lumba perahu panjang untuk merebut gelaran Raja Sungai selain promosi kraf tangan pelbagai etnik, persembahan malam kebudayaan serta festival makanan.
“Selain acara utama perlumbaan perahu, dua acara selingan iaitu Rajah Brooke Swim (berenang merentasi Sungai Sarawak) dan acara menangkap itik juga menjadi acara yang dinanti-nantikan oleh orang ramai,” jelasnya lagi.

ORANG ramai membanjiri Tebingan Kuching bagi menyaksikan para peserta bersaing dalam acara Regata Sarawak 2014 baru-baru ini.


Pasukan Enraz Cahaya Zen dari Kuching muncul Raja Sungai Regata Sarawak 2014 selepas memenangi acara bidar 30 pekayuh lelaki akhir yang berlangsung pada hari terakhir temasya berkenaan pada 7 September lalu.
Kemenangan itu menyaksikan Enraz Cahaya Zen merampas Piala Pusingan Yang Dipertua (YDP) Negeri Sarawak yang menjadi milik pasukan Jang Karaton sebelum ini.
Pasukan itu juga turut membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan medal.
Tempat kedua pula dimenangi pasukan Landas 6 manakala Kumpulan Yayasan Sarawak sekadar di tempat ketiga yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM8,000 dan RM6,000 serta medal.
Sementara itu, pasukan Sabah Tg. Papat (Malaysia) ditabalkan sebagai juara bagi acara Perahu Naga Antarabangsa kategori 20 pekayuh Terbuka Antarabangsa.
Selaku juara, pasukan tersebut membawa pulang sebuah piala, medal dan juga hadiah wang tunai RM5,000.
Dianggarkan lebih 30,000 pengunjung membanjiri Tebingan Sungai Sarawak di Kuching sepanjang temasya selama tiga hari itu berlangsung.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0925&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_03.htm#ixzz3F425dzaT 
Hakcipta terpelihara