Thursday, June 19, 2014

Jom Lawat Muzium

Tidak sah cuti ke sesebuah negara jika tidak lawat muzium tempatan kerana bangunan itu pamer segala artifak sejarah dan imej budaya sesebuah masyarakat. Majlis Muzium Antarabangsa anggar kira-kira 55,000 muzium ada di 202 buah negara malah 18 Mei setiap tahun diisytihar sebagai Hari Muzium Antarabangsa sejak 1977. Berikut 10 buah muzium terbaik di dunia:

Le Louvre, Paris, Perancis – Tarikan utama pasti potret asli Mona Lisa karya Leodardo da Vinci, ia asalnya sebuah istana Raja Perancis di dalam kubu sebelum jadi muzium pada 1793. Keunikan muzium ini ialah binaan piramid kaca di dataran lapang istana namun ia terkenal dengan koleksi 35,000 objek dari kurun ke-19 sehingga kini dan dikunjungi hampir 10 juta pelawat setahun.
Vatican Museums, Vatican City – Dikelilingi ibu negara Itali, Rom, muzium terletak di negara terkecil di dunia ini ada 55 salas atau galeri koleksi nadir daripada seni Mesir kuno termasuk peta purba. Kira-kira 5 juta pelawat setahun datang menyaksikan keindahan seni bina muzium kedua tertua di dunia yang diasaskan pada 1506 oleh pemimpin Katholik, Paus Julius II.

British Museum, London, Britain – Diasaskan pada 1753 oleh saintis Sir Hans Sloane yang turut derma koleksi peribadi beliau berjumlah 71,000 unit objek, ia dianggap antara muzium terbaik di dunia dengan koleksi 8 juta artifak dari seantero bumi. Sebelum 1997, ia berkongsi dengan British Library sebelum bangunan diasingkan dan kini lebih 6 juta pelawat datang ke sini setahun.

Metropolitan Museum of Art, New York, Amerika Syarikat – Ada lebih 2 juta hasil seni koleksi purba hingga moden dari seluruh dunia, muzium dibuka sejak 1870 ini juga meliputi kaligrafi Islam, lukisan klasik Eropah, peralatan senjata silam seperti pedang samurai dari Jepun serta ukiran arca nadir.

Uffizi Gallery, Florence, Itali – Dibina oleh arkitek terkenal Giorgio Vasari pada 1560, asalnya sebagai pejabat majistret dan arkib negara, ia dianggap muzium seni terkenal dan antara tertua di Eropah. UNESCO menganggarkan 60% karya seni terbaik dunia berada di sini antaranya oleh Leonardo da Vinci, Raphael, Michelangelo, Rembrandt, Botticelli dan Caravaggio.

Egyptian Museum, Kaherah, Mesir – Mulanya dibina kerajaan Mesir pada 1835 dekat Ezbekeyah Garden tetapi terpaksa dipindah beberapa kali dan akhirnya pada 1902, bangunan tetap dekat Dataran Tahrir. Ia menyimpan 120,000 item dari zaman prasejarah sehingga era Yunani Roman termasuk keranda dan peralatan kerabat pemerintah Firaun Tutankhamun.

The Smithsonian, Washington DC, Amerika Syarikat – Kompleks muzium terbesar di dunia dibuka pada 1846 ada 16 muzium dan Zoo Nasional. Ia mempamerkan 142 juta objek sejarah penting Amerika termasuk angkasa lepas, komuniti Afrika Amerika, filem, akhbar dan tragedi 11 September 2001 yang mengambil masa beberapa hari jika lawat keseluruhan Smithsonian.

Museo del Prado, Madrid, Sepanyol – Muzium seni kebangsaan ini dibuka pada 1819 ialah galeri paling banyak dilawati iaitu 3 juta pelawat setahun. Koleksinya karya terbaik artis tempatan dari kurun ke-12 hingga ke-19 meliputi hampir 8,000 lukisan, 1,000 arca, 4,800 cetakan dan 8,000 lakaran.

State Hermitage, Saint Petersburg, Rusia – Diasaskan pada 1764 oleh Catherine the Great, ia antara muzium terbesar dan tertua di dunia dilawati hampir 3 juta orang setahun. Ia ada 6 bangunan dengan koleksi 3 juta item termasuk artifak Mesir, Itali, Sepanyol, Belanda, British dan Jerman.

Rijksmuseum, Amsterdam, Belanda – Dengan sejuta objek, ia menyimpan koleksi terbesar sejarah Belanda selain karya seni Timur Tengah dan Asia tenggara dari kurun ke-13 hingga ke-21. Dibuka pada 1800, ia menerima lebih 2 juta pelawat setahun dan dikelilingi banyak muzium lain. 
Pelancong Barat paling gemar mengunjungi muzium bagi memahami sejarah dan budaya masyarakat tempatan sesebuah negara.