Wednesday, November 5, 2014

Jejak warisan Sherlock Holmes



KEPADA peminat-peminat bola sepak, menjadi satu impian kepada mereka untuk melawat stadium dan tempat-tempat bersejarah pasukan kegemaran masing-masing.
Pasukan Manchester United misalnya, sinonim dengan Old Trafford manakala pasukan Chelsea pula ke Stamford Bridge di United Kingdom. Peminat siri drama Korea Selatan pula pasti teruja mahu menjejakkan kaki ke Pulau Jeju, penggambaran drama bersiri Winter Sonata.
Penulis dan teman perjalanan, Shahreen Alias merupakan peminat tegar fiksyen detektif ciptaan Sir Arthur Conan Doyle iaitu Sherlock Holmes dan sahabat beliau, Dr. John Watson.
Ada pelbagai versi Sherlock Holmes yang dizahirkan ke layar perak dan televisyen.
Antaranya, versi Jeremy Brett/Edward Hardwicke sekitar era 80-an sehinggalah yang terkini, jelmaan versi Elementary, yang dilakonkan oleh Jonny Lee Miller dan Lucy Liu sebagai Dr. John Watson.
Namun, yang menjadi kegilaan jutaan peminat Sherlock Holmes seluruh dunia, pastinya versi BBC Sherlock. Dua tonggak utamanya didukung oleh pelakon British, Benedict Cumberbatch dan Martin Freeman.
Mula ditayangkan sejak tahun 2010, siri televisyen ini berjaya menarik jutaan penonton seluruh dunia, walaupun cuma ada 10 episod setakat ini. Rancangan ini berjaya memenangi puluhan anugerah berprestij seluruh dunia dan yang terkini, tujuh anugerah Emmy.
Sherlock versi Cumberbatch hidup dalam era moden.
Beliau ditemani gajet-gajet canggih tetapi masih menjiwai watak dalam karya asal penulisnya sebagai seorang yang biadab, mementingkan diri dan sanggup berbuat apa sahaja demi menyelesaikan kes.
Kami merancang perjalanan ini seawal bulan Mei. Penulis mengambil kesempatan sempena cuti pendek selepas anak sulung saya tamat peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk ‘merehatkan otak’ tanpa menyangka terjadinya insiden kebocoran kertas peperiksaan tersebut.
Namun, penulis bersyukur kerana tarikh peperiksaan ulangan tidak mengganggu perancangan kami.
Berpandukan maklumat yang disenaraikan di laman web Sherlockology, kami mengambil masa lebih kurang dua hari untuk berkunjung ke lokasi-lokasi ini.
Destinasi pertama kami ialah Hospital St. Bartholomew yang terletak di West Smithfield.
Kami tiba di lokasi tersebut pada pukul 8 pagi. Sebagai antara hospital tertua di London, lokasi ini mula diperkenalkan dalam episod A Study In Pink. Di situlah kali pertama Sherlock ditemukan dengan John Watson.
Di atas bumbung hospital ini jugalah berlakunya peristiwa penting dalam episod The Reichenbach Fall.Para peminat Sherlock tidak melepaskan peluang meninggalkan mesej kepada watak-watak kegemaran mereka dalam sebuah pondok telefon di hadapan hospital ini.
Kami meneruskan perjalanan ke rumah bernombor 187, North Gower Street. Di sinilah lokasi ikonik 221B difilemkan kerana lokasi asalnya, 221B Baker Street telah diubah suai menjadi Muzium Sherlock Holmes.
Namun, kami agak kecewa kerana restoran Speedy’s yang terletak bersebelahan ditutup pada hari Ahad. Terlepaslah peluang untuk menikmati secawan kopi di sini.
Restoran ini mengambil kesempatan atas populariti siri Sherlock dan menambah hidangan Sherlock wrap ke dalam menunya.
Destinasi kami yang seterusnya ialah Leinster Gardens iaitu salah sebuah lokasi daripada episod The Last Vow. Terselit antara bangunan unik ini, ia bukanlah kediaman sebenar tetapi hanyalah facade yang dibina untuk menyelesaikan masalah infrastruktur pada zaman awal penubuhan landasan kereta api bawah tanah lewat tahun 1860-an.
Bagaimanakah kami mengenal pasti façade ini? Lapan belas tingkap bangunan bernombor 23 dan 24 ini digelapkan dan pintunya tiada peti surat.
Sampai ke Muzium Sherlock Holmes di 221B Baker Street, kami agak kecewa melihat barisan pelawat yang beratur panjang menunggu giliran.
Muzium yang dirasmikan pada tahun 1990 ini dibuka dari pukul 9.30 pagi hingga 6 petang.
Tiket masuknya berharga 10 pound (RM53) untuk dewasa dan 8 pound (RM42) untuk kanak-kanak bawah usia 16 tahun. Kami mengambil keputusan untuk tidak masuk ke muzium tersebut, sebaliknya mengambil kesempatan menjamu mata di kedai cenderamata yang terletak bersebelahan.
Destinasi seterusnya ialah Tower of London yang menjadi salah satu tempat yang dibolosi oleh James Moriarty dalam episod The Reichenbach Fall. Kami terpegun melihat pekarangan istana yang bermandi darah.
Rupa-rupanya, ia adalah simbolik sempena memperingati ulang tahun Perang Dunia Pertama yang bermula seabad lalu. Pameran Blood Swept Lands and Seas of Red itu berlangsung sejak 5 Ogos lalu hingga 11 November ini. Sebanyak 888,246 kuntum bunga popi seramik direka khas untuk memperingati setiap warga Britain yang terkorban dalam Perang Dunia Pertama.
Hasil jualan setiap kuntum bunga popi ini akan disalurkan kepada enam badan kebajikan perajurit.
Sebenarnya, banyak lagi lokasi ikonik yang kami sempat lawati seperti yang ditonjolkan dalam siri ini seperti Istana Buckingham, bangunan Parlimen di Istana Westminster dan St. James Park, sekadar menyebut beberapa nama.
Tidak ketinggalan juga pengalaman menjadi penumpang Black Cabse setelah kepenatan berjalan sepanjang hari. Dalam kisah sebenar, Sherlock hampir menjadi mangsa pemandu teksi pembunuh bersiri ini dalam episod A Study in Pink. Walaupun mata kami memandang pasrah meter teksi yang berjalan laju, sambil otak mencongak pertukaran mata wang pound kepada Ringgit Malaysia.
Hebat sungguh penangan sebuah rancangan televisyen kepada para peminat Sherlock. Penulis berpendapat, ada antara peminatnya dari seluruh dunia datang ke London semata-mata kerana penangan siri ini dan kerana para pelakonnya yang kian meningkat popular.
Mungkinkah suatu hari nanti, para karyawan kita dapat menghasilkan sebuah filem atau siri televisyen yang bisa menarik jutaan pelancong seluruh dunia berkunjung ke Malaysia?