Friday, October 10, 2014

Amsterdam warnai cita rasa




AMSTERDAM ialah ibu negara Belanda yang sering digambarkan sebagai 'syurga dunia'. Syurga yang dimaksudkan di sini ialah sikap keterbukaan penduduknya terhadap seks dan pengambilan dadah.

Sebelum terciptanya sistem Internet, rencana dan berita tentang Amsterdam yang dipaparkan di dalam media cetak dan elektronik banyak berkisar kepada dua aspek tersebut selain destinasi pelancongan yang menarik.

Antara tarikan pelancong yang dipaparkan termasuk kincir angin dan bunga-bunga yang beraneka warna serta pelbagai produk tenusunya sebagai lambang produk utama di negara itu.

Unsur-unsur kebebasan tersebut menjadi tarikan untuk saya singgah selama dua hari di Amsterdam sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Saya melakukan transit di bandar itu selepas menghadiri mesyuarat kewartawanan peringkat antarabangsa di Belgium.

Penerbangan dari Belgium ke Amsterdam hanya memerlukan sekitar 30 hingga 40 minit dan sesiapa yang menaiki penerbangan KLM akan singgah di Amsterdam untuk seketika sebelum menuju ke destinasi lain di Eropah.

Keinginan untuk menyaksikan sendiri keadaan di Amsterdam yang sebelum ini dianggap 'menjijikkan' itu sebenarnya tidaklah sehodoh yang digambarkan. Bak kata pepatah Inggeris 'seeing is believing' (melihat sendiri untuk mempercayai).

Selama dua hari saya tinggal di bandar itu tidak ada seorang penagih dadah yang dikaitkan dengan berpakaian lusuh, berbau hapak dan berambut panjang yang saya temui, melainkan para pelancong yang berpakaian kemas dan berkunjung ke sana untuk mencari hiburan.

Selain menjadi destinasi pelancongan popular dunia, Amsterdam juga ialah bandar kosmopolitan yang bersih dengan sistem pengangkutan awam yang efisien malah mempunyai penghuni yang datang dari segenap pelosok dunia yang hidup dalam suasana harmoni.

Sikap keterbukaan warga Belanda ini digambarkan dengan terbinanya muzium seks yang mempamerkan pelbagai karenah dan ragam manusia berkaitan hubungan intim yang dipamerkan menerusi patung-patung yang digerakkan dengan tenaga elektrik.

Terdapat aksi-aksi yang melucukan di dalam muzium itu. Bagaimanapun pengunjung tidak dibenarkan membawa kamera untuk merakamkan aksi lucu patung-patung yang adakalanya lucah... terpulang kepada persepsi seseorang pengunjung.

Terletak berhampiran stesen kereta api utama Amsterdam, bandar yang penuh dengan aktiviti sama ada di sebelah siang mahupun malam itu menawarkan pelbagai corak hiburan bergantung kepada cita rasa seseorang.

Pada sebelah siang, pelancong boleh bersiar-siar di sekitar bandar dengan menaiki bot pelancong yang melalui sepanjang Sungai Amstel (Aeme Stelle) yang bermaksud 'kawasan yang dilimpahi air' dalam bahasa Belanda.

Tidak lengkap jika seseorang pelancong tidak menaiki bot beratap kaca melalui terusan yang mengelilingi bandar Amsterdam yang amat mengagumkan.

Anda boleh menyaksikan aktiviti seharian masyarakat di bandar itu seperti beberapa remaja memancing ikan dengan menaiki bot kecil dan kegiatan para penghuni di dalam rumah masing-masing, kedai-kedai dan juga senario bandar.

Jangan lepaskan peluang untuk merakamkan gambar-gambar menarik sewaktu menaiki bot yang mengelilingi bandar Amsterdam ini.

Muzium Van Gogh juga merupakan destinasi yang menjadi kemestian untuk dikunjungi kerana sejarah sedih dan penuh kontroversi yang dilalui pelukis yang lahir di Zundert, Belanda pada 1853 dan meninggal dunia pada usia 37 tahun pada tahun 1890.

Perjalanan dengan menaiki kereta api ke muzium itu adalah kurang daripada 30 minit. Di sepanjang perjalanan anda boleh melihat pemandangan menarik seperti rumah dan bangunan komersial dengan seni bina Belanda klasik.

Tatkala sampai ke Muzium Van Gogh, anda akan melihat pengunjung yang berbaris panjang sebelum pintu muzium dibuka.

Bangunan muzium itu terbahagi kepada beberapa bahagian. Muzium tersebut mempunyai jumlah koleksi lukisan Van Gogh yang terbanyak di dunia.

Di sini juga anda berpeluang untuk mengikuti perkembangan karier Van Gogh dan membandingkan karya-karya lukisannya dengan pelukis lain pada abad ke-19.

Di muzium itu juga anda boleh menyaksikan lebih daripada 200 lukisan Van Gogh yang menggunakan cat selain lakaran dan surat-suratnya.

Antara hasil karya lukisan Van Gogh adalah berkaitan landskap, kehidupan petani, still life, dan potretnya sendiri.

Jika anda cintakan seni dan mahu membawa pulang karya lukisannya yang dicetak semula atau dalam bentuk cenderahati, anda boleh membelinya di kawasan luar muzium dengan harga yang berpatutan.

Berhubung makanan halal yang menjadi pilihan utama para pelancong Muslim, perkara ini tidak menjadi masalah kerana terdapat banyak restoran Islam yang menyajikan pelbagai makanan halal di sana.

Jika anda seorang yang suka kepada cenderahati dan barangan kecil untuk dibawa pulang sebagai hadiah untuk rakan-rakan, di Amsterdam terdapat banyak kedai yang menjual pelbagai jenis barang seperti kunci angin, bunga-bungaan dan patung wanita berpakaian tradisional Belanda dalam bentuk miniature.

Saya membelanjakan sekurang-kurang RM500 untuk membeli barangan kecil tersebut untuk koleksi almari selain diagihkan kepada rakan-rakan dan sanak saudara sebagai buah tangan.

Oleh kerana saya melancong seorang diri, maka memadai dengan hanya menyewa bilik hotel bajet rendah yang berhampiran stesen kereta api. Lokasi sedemikian amat penting bagi memudahkan saya sampai ke destinasi pelancongan di samping mencari tempat makan dengan selesa.

Hanya yang tidak menyelesakan ketika melancong seorang diri ialah perasaan suka dan duka atau terharu ketika berada di sesuatu tempat tidak dapat dikongsi dengan orang lain.

Anda juga mesti membuat persiapan rapi seperti membaca atau mengkaji tentang sesuatu tempat terlebih dahulu sebelum membuat tempahan tiket di samping mengetahui undang-undang di negara tersebut.

Kesemua ini penting kerana undang-undang dan peraturan di sesebuah negara tidak sama dan begitu juga dengan budaya masyarakatnya. Maka kepelbagaian dan perbezaan inilah yang menjadi seseorang pelancong teruja untuk berkunjung ke Amsterdam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20140907/pl_01/I-amsterdam-penuhi-kepelbagaian-cita-rasa-pelancong#ixzz3F4FApS2l
© Utusan Melayu (M) Bhd