Monday, December 8, 2014

Hotel mewah jati diri Islam



TERLETAK di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur, Hotel Premiera antara hotel terbaik untuk badan-badan korporat mengadakan majlis-majlis tertentu atau bermesyuarat.
Ini kerana, hotel setinggi 30 tingkat itu menawarkan kemudahan lengkap dan terbaik untuk kesemua majlis tersebut.
Lokasinya di kawasan stategik di ibu kota juga membuatkan hotel tersebut menjadi pilihan pelbagai syarikat termasuk perbankan dan kejuruteraan.
Seorang tetamu hotel tersebut, Saiful Fazli Ramli, 35, mengatakan, majikannya turut memilih hotel berkenaan sekiranya ingin mengadakan mesyuarat atau majlis-majlis tertentu.
Menurut Saiful Fazli yang merupakan arkitek di Jabatan Kerja Raya, pejabatnya yang terletak di Jalan Raja Laut hanya beberapa meter dari hotel berkenaan.
“Kami hanya berjalan kaki sekiranya ada mesyuarat atau seminar diadakan di hotel ini. Kemudahan seperti bilik mesyuarat dan seminar di hotel ini adalah sangat selesa dan kondusif. Tambahan pula, terdapat pelbagai kemudahan lain disediakan,” ulasnya.
Antara badan-badan korporat yang sering menggunakan kemudahan di Hotel Premiera tersebut termasuklah Malayan Banking Bhd. (Maybank) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Syarikat-syarikat boleh mendapatkan pakej penginapan dan mesyuarat yang berharga daripada RM205 seorang. Pakej tersebut merangkumi bufet hidangan pagi, tengah hari, malam dan peralatan mesyuarat.
Dewan utama hotel itu yang mempunyai keluasan 3,392 meter persegi boleh memuatkan 800 orang dan dilengkapi sistem audio terkini.
Selain itu, dewan utama itu turut menjadi tumpuan orang ramai mengadakan majlis perkahwinan.
“Saya juga menyukai makanan yang disediakan di Coffee House, Hotel Premiera kerana pilihan yang banyak dan rasanya yang sedap.
“Justeru itu, saya dan rakan-rakan adakalanya datang ke hotel ini untuk menjamu selera di Coffee House,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Coffee House, Hotel Premiera baru-baru ini.
Hotel Premiera yang terletak di tengah-tengah bandar ini merupakan hak milik Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan diuruskan oleh Impiana Hotels dan Resorts Management Sdn. Bhd.
Secara keseluruhannya, hotel tersebut mempunyai 90 buah bilik dan mempunyai empat jenis iaitu Superior, Deluxe, Executive Suite dan Suite. Bilik Suite merupakan bilik terbesar yang mempunyai keluasan 72 meter persegi dan mempunyai katil bersaiz king. Bilik Superior merupakan bilik yang paling kecil dengan keluasan 30 meter persegi dan mempunyai katil bersaiz single.
Tambahan pula, setiap bilik di hotel tersebut dilengkapi kemudahan untuk umat Islam beribadat seperti tanda arah kiblat, sejadah dan al-Quran.
Selain itu, hotel yang berkonsepkan Islamik itu juga berdekatan dengan pusat beli-belah seperti Maju Junction, Sogo and Jalan Masjid India.
Malah, di bangunan hotel tersebut terdapat pusat beli-belah yang dikenali sebagai Busana. Ia menawarkan pelbagai jenis pakaian Muslimah dan barangan berunsurkan Islam.
Tidak jauh dari Busana, individu yang ingin menjamu selera, Coffee House, Hotel Premiera menawarkan makanan halal dengan tiada sebarang alkohol disajikan.
Salah seorang cefnya, Cef Abdul Rashid Mohd. Yusop, 35, memberitahu, kesemua makanan yang disediakan di hotel tersebut merupakan sajian istimewa.
“Setiap makanan di sini adalah istimewa dan asli. Kami lebih ketengahkan masakan tradisional seperti rendang tok dan bubur pulut hitam,” ulasnya sambil meninjau keadaan dapur.
Cef Abdul Rashid yang telah bekerja selama 20 tahun menjelaskan, dia sering menyajikan sesuatu yang baharu kepada para pengunjung yang datang ke Coffee House hotel itu.
“Pelanggan selalunya tertarik dengan sesuatu yang baharu walaupun makanan tersebut merupakan makanan tradisional. Selain itu, kami turut menggunakan konsep gabungan dalam masakan.
“Misalnya, daging stik yang merupakan makanan terkenal Barat dimasak secara sizzling, iaitu masakan berkonsepkan Cina,” ujarnya lagi.
Makanan yang disediakan di Coffee House bukan sahaja berkonsepkan makanan bufet malah terdapat makanan ala carte dan barbeku.
Menurutnya lagi, juadah barbeku selalunya diadakan pada musim-musim perayaan dan Ramadan. Contohnya, pada Disember merupakan bulan sambutan Hari Natal dan juga Tahun Baharu, maka terdapat hidangan istimewa disajikan seperti masakan ayam belanda. Selain makanan, Coffee House itu juga dihias mengikut tema-tema tersebut.
Selain itu, pada setiap bulan, makanan dihidangkan mengikut tema. Antara tema-tema masakan yang dihidangkan ialah Melayu, Cina, India, Barat, Jepun, dan Baba Nyonya.
Minuman yang dihidangkan juga istimewa kerana mempunyai campuran buah-buahan seperti jus oren dan kiwi. Minuman-minuman tersebut seiring dengan makanan yang dihidangkan.
Coffee House di hotel itu dibuka pada setiap hari pada pukul 6.30 pagi sehingga 11 malam bagi hidangan bufet manakala untuk hidangan ala carte pula, dibuka pada pukul 11 pagi sehingga 10.30 malam.