Wednesday, October 8, 2014

Uniknya jalan Vietnam



Masih segar dalam ingatan kali pertama menjejakkan kaki di bumi Vietnam, takjub melihat budaya unik masyarakat Vietnam yang menjadikan motosikal sebagai pengangkutan utama termasuk mengangkut barangan.

Hampir tidak percaya pada mulanya penulis melihat hampir keseluruhan penduduk di sini menggunakan sebuah motosikal, baik oleh lelaki kemas berkemeja sehingga gadis yang memakai kasut bertumit tinggi.

Semakin pelik apabila wanita negara itu sanggup berpanas memakai jaket untuk menutup lengan daripada terik matahari.

Ada juga yang memilih menutup muka serta kaki menggunakan kain kerana takut kulit menjadi gelap.

Ini kerana bagi rakyat Vietnam percaya kecantikan seseorang wanita bergantung pada kecerahan kulit.

Malah kehidupan penduduk di negara kedua pengeksport kopi terbesar dunia itu sentiasa sibuk dan bergerak pantas.

Bagi mereka yang baru menjejakkan kaki ke negara itu pasti merasa tidak tenang untuk melelapkan mata walaupun seketika apabila berada di jalan raya.

Lawatan selama lima hari masih tidak mampu membiasakan penulis dengan kehidupan sibuk negara komunis itu apabila masih gerun melihat cara penduduk tempatan menunggang motosikal.

Mereka tidak berhenti untuk memberi laluan sebaliknya melulu walaupun menyedari ada kenderaan besar di sebelah.

Hanya hon sebagai isyarat kepada kenderaan lain. Ini bermakna kota itu tidak pernah sunyi tanpa hon kenderaan.

Tetapi yang hairannya sepanjang dalam perjalanan, tiada pula kemalangan walaupun kenderaan bersimpang siur dan berasak-asak di jalan raya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20140803/pl_01/Keunikan-Vietnam#ixzz3F479BWzx
© Utusan Melayu (M) Bhd