Sunday, May 25, 2014

Petua Ketika Melancong

Jika anda memilih agensi pelancongan tempatan untuk ke luar negara, ia menjadi tanggungjawab agensi itu untuk memberi tip-tip bagi pelanggan yang ingin ke negara asing.

Keselamatan pelanggan sentiasa menjadi tumpuan utama namun kadangkala berlaku juga kelalaian disebabkan tiada pengetahuan dan pengalaman pelanggan terbabit.

Berikut disenaraikan beberapa panduan mudah yang mungkin boleh membantu anda berdasarkan pengalaman untuk kita bersama-sama selamat pergi dan pulang:
1. Pastikan anda memiliki pasport antarabangsa atau/dan dokumen perjalanan seperti visa yang sah serta belum lagi tamat tempoh.

2. Sentiasa memerhatikan keadaan bagasi dan beg anda sepanjang sesi lawatan khususnya di sekitar lapangan terbang atau di dalam bas persiaran.

3. Ketika mahu mengambil bagasi di conveyor, tunggu bagasi anda di bahagian keluar bagasi bagi mengelakkan bagasi anda tertukar atau dicuri.

4. Periksa bagasi dalam keadaan sebaiknya. Jika terbuka atau tidak seperti asal, pastikan tiada bendasing di dalamnya atau dapatkan bantuan ketua rombongan atau pihak berkuasa.

5. Sentiasa ada tag nama atau kad nama ketua rombongan atau kad nama hotel sepanjang lawatan. Ia tercatat nombor kecemasan seperti pemandu pelancong dan Kedutaan Malaysia negara terbabit.

6. Bawa dan simpan salinan pasport, kad pengenalan dan kad kredit/ATM di tempat selamat (dalam bagasi/tas tangan) agar boleh jadi rujukan jika barang asal itu hilang.

7. Anda digalakkan membawa sedikit sahaja wang tunai kerana bimbang disamun dan sebaiknya gunakan kad kredit atau cek kembara.

8. Gunakan push-bag atau money belt bagi menyimpan barangan berharga anda ketika keluar lawatan atau sesi membeli-belah.

9. Pertimbangkan untuk membawa satu lagi dompet tambahan yang cuma diisi sedikit wang tunai sebagai umpan kerana cara ini boleh berkesan jika anda dirompak atau dicuri penyeluk saku.

10. Jangan menumpang kenderaan sembarangan, sebaliknya gunakan bas persiaran yang telah disediakan atau teksi rasmi jika keluar selepas waktu lawatan. Dapatkan maklumat lanjut tentang kenderaan awam di situ daripada pemandu pelancong, ketua rombongan atau pihak hotel.


                                  
Aktiviti pelancongan akan lebih menarik jika anda tahu aspek keselamatan semasa dalam perjalanan.