Wednesday, October 1, 2014

Warna-warni rumah Burano

PEMILIK perlu mendapatkan permit jika mahu mengecat rumah mereka.


BERKUNJUNG ke Burano, Itali mata pasti terpana dengan kemeriahan rumah penduduk setempat yang diwarnakan dengan rona-rona cerah dan menarik.
Walaupun struktur binaan rumah yang dipanggil La Casa di Bepi Sua itu berada pada tahap usang, ia telah diindahkan dengan warna-warna ceria bagi menghidupkan semula perkampungan itu.
Setiap rumah diwarnakan dengan rona berbeza daripada blok bersebelahan bagi mewujudkan kontra antara satu sama lain.
Kemeriahan warna-warni bak pelangi itu menjadikan Burano sebagai antara lokasi terkenal di dunia dan pilihan terbaik para jurugambar.
Aktiviti mewarna rumah tersebut bukan dilakukan sebagai tujuan pelancongan tetapi ia merupakan tradisi yang dipertahankan sehingga kini. Ia jauh berbeza dengan keadaan bangunan-bangunan yang terdapat di Venice dengan warna kusam daripada batu-batuan jenis bata dan marbel.
Pemilihan warna pada rumah adalah mengikut sistem yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa sejak berkurun lamanya. Jika pemilik ingin mengecat rumah mereka, satu permit perlu dipohon sebelum kebenaran diberikan.
Permit yang dikeluarkan akan disertakan dengan warna yang wajib diikut oleh penduduk yang mengikut sistem sosial masyarakat. Warna-warna rumah tersebut diwarisi sehingga kini dan tidak berubah.
Orang dahulu percaya warna-warna terang tersebut dilakukan supaya para nelayan dapat melihat rumah mereka ketika berjauhan dengan keluarga.
Seni bina rumah moden Burano biasanya berbentuk empat segi dan mempunyai dua tingkat. Tingkat bawah dikhususkan untuk bahagian dapur, sudut sarapan dan bilik air. Tingkat atas pula diletakkan bilik-bilik tidur.
Ia berbeza dengan struktur dahulu yang dibina di atas tiang dan dindingnya diperbuat daripada tenunan tebu dan plaster.
Burano terletak di pulau kecil tidak jauh dari bandar pusat di Venice yang menghidangkan panorama mengagumkan dan tampak menarik ketika merakamkan foto kenangan.
Jarak perjalanan dari Venice sejauh tujuh kilometer yang mengambil masa selama 40 minit menggunakan motobot tradisi Venice atau dipanggil sebagai vaporetti.

SETIAP rumah diwarnakan dengan rona berbeza daripada blok bersebelahan bagi mewujudkan kontra antara satu sama lain.


Burano terkenal sebagai lokasi pengeluar renda yang sudah menjadi nadi ekonomi penduduk setempat. Terdapat satu muzium dan sekolah yang dikhususkan dalam melahirkan pelajar-pelajar membuat renda.
Kehebatan renda Burano diakui sejak tahun 1400 sehingga pernah digunakan oleh Leonardo da Vinci yang pernah berkunjung ke kedai renda untuk digunakan pada bajunya.
Namun, hanya segelintir penduduk yang masih mengekalkan cara pembuatan tradisional. Pembuat renda-renda tersebut mudah ditemui di sepanjang kedai-kedai yang menjual renda. Selain itu, mereka hidup secara sederhana dengan bekerja tradisional sebagai nelayan.
Ia berdekatan dengan wilayah Mazzorbo yang hanya dipisahkan dengan sebuah jambatan. Populasi terkini penduduk Burano ialah kira-kira 2,800 orang.
Tarikan lain yang terdapat di Burano ialah gereja San Martino yang dilengkapi dengan menara loceng dan lukisan daripada pelukis terkenal, Giambattista Tiepolo.
Berada di Galuppi Square yang terletak di tengah bandar, pengunjung berpeluang melihat kerja-kerja tangan penduduk wanita yang menjual renda-renda berkualiti tinggi.
Jika penat berjalan, banyak gerai-gerai minuman dan makanan atau dipanggil Tattoria Buranella yang menghidangkan ikan-ikan segar dari pelaut.
Di dalam kawasan sama, pengunjung boleh melawat Museo del Merletto atau muzium renda selain Town Hall yang dibina menggunakan batu Istria.
Terdapat juga skulptur Baldassarre Galuppi yang dicipta khas oleh Remigio Barbaro, seorang juruarca terkenal kelahiran Burano.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0918&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_03.htm#ixzz3F3yvZU5W 
Hakcipta terpelihara