Thursday, May 29, 2014

Sebaik Pesawat Mendarat

Ada perbezaan prosedur apabila tiba di lapangan terbang jika anda melancong di luar negara atau dalam negara sendiri. Namun prosesnya adalah mudah jika semua berjalan lancar dan anda boleh melancong dengan gembira tanpa masalah. Ikuti panduan ringkas di bawah:

* Apabila kapal terbang telah selamat mendarat, jangan lupa mengambil bagasi anda jika diletakkan di ruang atas kepala atau depan tempat duduk anda dan dengar arahan pramugari yang akan memberi tunjuk arah pintu keluar dari pesawat sama anda menerusi tangga atau jambatan udara.

* Ikut pergerakan penumpang lain tertib berjalan kaki dalam barisan menuju ke bangunan terminal dewan ketibaan. Sekiranya anda mempunyai bagasi tambahan yang disimpan dalam ruangan kargo pesawat tadi, sila segera terus pergi ke kawasan conveyer pengambilan beg. 

* Ambil bagasi anda dan pastikan ia betul milik anda dan bukan penumpang lain, kemudian boleh bergerak ke pintu keluar. Jika anda memerlukan perkhidmatan teksi atau kereta sewa, sila buat tempahan di kaunter-kaunter yang terdapat dalam perjalanan ke arah pintu keluar dewan ketibaan.

* Bagi penerbangan antarabangsa, setibanya di lapangan terbang selepas mengambil bagasi, anda perlu pula melalui lorong pemeriksaan pihak imigresen untuk pengesahan pasport dan kemudian kastam untuk pengimbasan bagasi sebelum anda dibenarkan keluar.

* Ada pihak penguat kuasa sesetengah lapangan terbang akan meminta untuk memeriksa isi kandungan bagasi anda. Jangan panik, biarkan mereka melakukan kerja itu dan hanya perlu jawab jika ada kemusykilan contohnya sambal belacan yang mungkin disangka sebagai dadah!

Nota: Jika anda pergi berkumpulan menerusi pakej percutian tertentu, anda akan disambut oleh wakil agensi pelancongan tempatan di ruang menunggu di luar dewan ketibaan sebelum dibawa menaiki van atau bas persiaran.

Aktiviti pelancongan secara rasmi dianggap bermula sebaik anda melepasi proses pemeriksaan di dewan ketibaan lapangan terbang.