Saturday, June 14, 2014

Pelancongan Penjara Unik

Selain pelancongan seram iaitu cuti di kawasan hantu, kegiatan pelancongan penjara kian popular bagi pelancong yang mahu jelajah di sebalik tirai besi terkenal serata dunia. Mungkin penjenayah profil tinggi pernah jadi banduan di penjara itu dan kini ia dianggap tarikan pelancong popular. Berikut 10 penjara ternama pilihan pelancong antarabangsa:

Alcatraz, San Francisco, Amerika Syarikat – Juga disebut The Rock kerana terletak di pulau berbatu, ia penjara kerajaan sejak 1934 sebelum ditutup pada 1963. Penjara kawalan ketat dikelilingi laut sukar untuk banduan melarikan diri kemudian sering jadi lokasi penggambaran filem dan kini, anda perlu tempah lebih awal jika mahu melancong ke sini.

Old Melbourne Gaol, Melbourne, Australia -  Dibuka pada 1845, ia dijadikan muzium pada 1957 oleh National Trust Australia, sebuah badan warisan sejarah. Penjara ini menjadi tarikan pelancong kerana dilaporkan berhantu oleh penggemar aktiviti paranormal namun kini popular untuk pelbagai acara persendirian seperti parti hari jadi dan majlis perkahwinan.

Kalapani Cellular Jail, Andaman Islands, India – Pernah dijadikan penjara khas untuk tahanan politik ketika era penjajahan British antara 1896 sehingga 1906. Kemudian selepas India merdeka, penjara dekat pulau peranginan popular Nicobar ini diubah sebagai sebuah memorial kebangsaan sejak 1969 dan menjadi tarikan utama kedatangan pelancong asing.

Kilmainham Gaol, Dublin, Ireland – Mula dibina pada 1796, ia menjadi tempat kurungan dan hukuman untuk ramai pemimpin terkenal Ireland pada zaman dahulu. Pada pertengahan 1980-an, kerajaan Ireland menukar kepada muzium tetapi senibina bangunan penjara ini popular sebagai lokasi pembikinan filem terkenal The Shawshank Redemption dan The Italian Job.

Hoa Lo Prison, Hanoi, Vietnam – Bererti lubang neraka, ia dibina penjajah Perancis pada 1888 untuk banduan aktivis politik kemerdekaan Vietnam. Pertengahan 1990-an, sebahagian penjara dijadikan muzium termasuk bilik pancung kepala lengkap dengan peralatan asal, manakala sebahagian lagi jadi hotel apartmen 25 tingkat dan beberapa kompleks beli-belah.

Ottawa Jail Hostel, Ottawa, Kanada – Asalnya bernama Carleton County Gaol kini sebuah hostel diuruskan oleh Hostelling International. Penjara 4 tingkat terletak di pusat bandar ibu negara Kanada ini dibina pada 1862 dan warden dilaporkan sering melihat roh hantu ramai banduan yang gantung bunuh diri sehingga 1972 apabila ia diubah menjadi sebuah hostel.

Karosta Prison, Liepaja, Latvia -  Dibina antara 1890 hingga 1906, ia merupakan sebuah penjara pelabuhan terletak dalam kawasan pangkalan tentera laut  Rusia ketika pemerintahan Tsar Alexander III. Penjara 2 tingkat ini ditukar kepada sebuah galeri iaitu K@2 Artist Center dan menjadi tumpuan pelukis antarabangsa dan pelancong asing menikmati panorama indah laut.

Port Arthur, Tasmania, Australia – Mulanya ia sebuah stesen kayu balak sebelum menjadi penjara pada 1830 dan berkembang sebagai bandar kecil untuk ribuan pesalah diasingkan dalam pulau Tasmania. Pada 1970-an, Perkhidmatan Hidupan Liar dan Taman Negara menguruskan kawasan ini menjadi tapak bersejarah yang menarik pelancong asing.

Seodaemun Prison, Seoul, Korea Selatan – Dibuka pada 1908 semasa penaklukan Jepun, ia menjadi penjara untuk aktivis antipenjajah. Apabila Korea Selatan merdeka pada 1945, ia masih lagi penjara untuk banduan biasa sehingga 1992 ditukar menjadi Taman Sejarah Penjara Seodaemun untuk tarikan pelancong antarabangsa dan tempatan.

Eastern State Penitentiary, Philadelphia, Amerika Syarikat – Juga disebut ESP, ia dibuka pada 1829 sehingga 1971 dalam kawasan seluas 11 ekar. Rekabentuk macam mahligai lama jadikan ia popular untuk penggambaran drama siri TV, filem malah permainan komputer. Kerajaan menjadikan ia mercu tanda sejarah sejak 1965 bagi memulihara warisan negara.
Bekas tapak penjara terkenal yang pernah mengurung banduan profil tinggi kini popular menjadi tarikan pelancong asing.