Sesetengah penduduk tempatan pula mengenalinya sebagai Pantai Batu 4 sebelum terlibat dalam pewartaan semula nama-nama pantai peranginan Port Dickson pada 2001.

Hanya satu jam 20 minit memandu sejauh 93 km dari Kuala Lumpur, penulis memilih untuk berkhemah semalaman di sana pada hujung minggu lalu.

Bagi mereka yang mahu keselesaan, terdapat pelbagai tempat penginapan bermula hotel bajet hingga bertaraf lima bintang.

Benar seperti maklumat dikongsikan blogger, cukup hanya semalam di sana, penulis dapat merasai ketenangan yang dicari. Lebih-lebih lagi, ia jauh dari hiruk pikuk kota metropolitan. 

Mudah dikatakan, jauh dari pencemaran bunyi, udara dan air.

Pemandangan senja melihat matahari terbenam serta kumpulan burung yang terbang pulang ke Pulau Burung yang berdekatan membuatkan penulis mula jatuh cinta dengan pantai peranginan ini.

Dari aspek keselamatan, pengunjung tidak perlu berasa khuatir kerana cahaya limpah disediakan di sebelah malam dari lampu kalimantang, selain terletak di sebelah jalan utama.

Malam pertama di Pantai Saujana, penulis bertuah kerana terdapat pasar malam minggu berikutan hari itu adalah hari Sabtu malam Ahad. Penulis membeli pelbagai juadah dan menjamu selera di tepi pantai sebagai kudap kudapan sebelum menikmati hidangan makanan laut di restoran ikan bakar berdekatan.

Lokasi damai dengan taburan pasir lembut seperti tekstur tepung di samping laut bersih dan angin sepoi-sepoi bahasa dari pokok ru membuatkan penulis perlu memakai baju sejuk dan tidur berselimutkan beg tidur. 

Bagi menghangatkan badan, penulis membeli kopi panas di restoran berdekatan dengan memenuhkan termos yang dibawa.

Sudah pasti, kunjungan ke laut tidak sah jika tidak basah. Disebabkan itu, penulis menggunakan kesempatan untuk bermain sukan air seperti bot pisang, jet ski dan ‘airhead’ pada keesokannya. 

Bagaimanapun, sukan air di Pantai Saujana tidak semeriah di Teluk Kemang kerana ia dihadkan bagi memelihara alam sekitar.

Pelbagai kemudahan disediakan seperti tandas, kedai cenderamata, surau, restoran dan parkir kereta bagi keselesaan pengunjung.

Memandangkan hari semakin menganjak ke tengah hari, penulis mengambil keputusan untuk berkemas-kemas dan menikmati snek seperti pisang goreng, keropok lekor dan air kelapa untuk membasahi tekak dan mengisi perut.

Jadi apa tunggu lagi, habiskan hari minggu anda dengan aktiviti berfaedah dan tenangkan fikiran di Pantai Saujana supaya kerja atau kelas di permulaan minggu baharu berasa lebih segar. – DHIYA’ZULHILMI DAUD