Wednesday, September 3, 2014

Elak letih memandu lama


Keletihan semasa memandu merupakan punca utama kemalangan jalan raya. Statistik menunjukkan, kemuncak kemalangan yang berlaku adalah pada musim-musim cuti persekolahan dan cuti perayaan. Ini adalah kerana, pada kedua-dua musim ini, terlalu banyak kenderaan berada di atas jalan raya.

Menurut Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, kemalangan sebegini boleh terjadi pada bila-bila masa. Paling kerap antara pukul 10 malam hingga 8 pagi dan awal pagi hingga tengah hari.Kemalangan berpunca daripada rasa letih lazimnya menyebabkan kecederaan teruk berbanding kemalangan akibat punca-punca lain.

Pemandu yang keletihan bertindak balas lebih lambat dan pertimbangannya mudah terganggu.Ini menyebabkan terjadi kemalangan yang mengakibatkan beribu-ribu kecederaan dan kematian setiap tahun, walhal hakikatnya boleh dielakkan. Apakah yang dimaksudkan dengan keletihan semasa memandu?

Keletihan yang amat sangat lazimnya disebabkan oleh masalah-masalah psikologi seperti berasa kekurangan tenaga, kepenatan atau keletihan. Dalam kebanyakan kes, keletihan yang amat sangat dikaitkan dengan kebosanan, kesedihan, kekecewaan, kurang tidur atau teruk bekerja. Rasa letih yang keterlaluan ini tidak sama seperti rasa mengantuk.

Tetapi biasanya keinginan untuk tidur akan timbul seiring dengan rasa letih yang sebegini.
Keletihan semasa memandu mungkin disebabkan oleh jangka masa yang lama tanpa berhenti rehat, meminum alkohol, kurang tidur, memakan ubat atau dadah seperti antihistamin, antihipertensi, sedatif atau diuretik, masalah kesihatan.

Keletihan juga boleh disebabkan melakukan senaman berlebihan, tekanan perasaan, 
memandu lewat malam atau awal pagi, iaitu waktu yang pada kebiasaannya anda tidur. Tanda-tanda keletihan antaranya: Kerap menguap, mengantuk, keliru, pemikiran kabur, murung, tindak balas dan reaksi lambat, khayal atau berangan-angan.

Juga sukar untuk membuka mata, terasa penat, sakit-sakit badan, mengawal stereng sambil lewa, tidak nampak lampu isyarat atau papan tanda, gagal menumpukan perhatian, tidak dapat mengingat apa yang berlaku dalam tempoh beberapa minit atau beberapa saat yang lalu, badan atau kepala bergoyang-goyang kerana tersengguk-sengguk.

Anda juga dianggap letih jika kereta terbabas atau termasuk ke lorong lain, tersengguk-sengguk semasa memandu, peningkatan sensitiviti mata terhadap cahaya  apabila tidak dapat menahan silauan cahaya. Justeru apa yang perlu dibuat ialah perlahankan kereta anda, berhenti dan berehat di tempat sesuai, berbual dengan penumpang jika ada.

Juga pasangkan radio dan cuba menyanyi bersama-sama alunan muzik yang dimainkan, turunkan tingkap kereta agar udara segar dapat masuk atau pasangkan penghawa dingin pada tahap maksimum, keluar dari kereta dan berjalan-jalan sekejap, berhenti untuk minum, berhenti rehat untuk mandi atau bermalam dahulu sebelum memulakan balik perjalanan.

Tabiat baru yang baik untuk diamalkan ialah berhenti sekejap untuk berehat bagi setiap satu atau dua jam memandu, berkongsi memandu dalam perjalanan yang jauh dan pastikan anda berehat apabila sampai giliran bertukar pemandu, jika anda telah penat bekerja seharian, janganlah memandu untuk perjalanan yang jauh

Sesekali biarkan udara segar memasuki kereta kerana kereta yang sentiasa tertutup boleh membuatkan mengantuk, rancanglah perjalanan dengan ambil kira tempat persinggahan menarik yang boleh dilawati di sepanjang perjalanan serta awasi tanda-tanda menunjukkan anda mungkin letih seperti sakit badan, mata penat dan tidak dapat menumpukan perhatian.

Jika ini berlaku, berhenti dan berehatlah, rancanglah untuk bermalam di sesuatu tempat jika anda dalam perjalanan yang jauh, pastikan ubat yang anda ambil tidak mempengaruhi keupayaan anda memandu. Dapatkan maklumat lengkap mengenainya daripada doktor atau pegawai farmasi.