Saturday, December 27, 2014

Berkunjung ke Vietnam

Musim cuti sekolah ini pasti ramai bersorak riang kerana tiket penerbangan ke destinasi percutian bakal bertemu tarikh berlepas.
Bagi yang mempunyai bajet besar, mungkin negara empat musim menjadi pilihan utama kerana lebih meriah dengan sambutan Krismas.
Namun, yang menyimpan bajet sederhana, tentu memilih percutian ringkas dalam negara atau lokasi popular seperti Indonesia, Thailand, Vietnam atau Singapura.
Tidak kira besar atau kecil bajet anda, perkara penting sebelum memulakan perjalanan ialah pengetahuan asas mengenai lokasi hendak dituju.
Ikuti perkongsian tempat menarik yang wajib dikunjungi sekiranya tiket penerbangan anda dijadualkan ke Ho Chi Minh City (HCMC), Vietnam!

Ben Thanh Market
Pasar ini cukup popular dalam kalangan orang Malaysia dan menjadi lokasi tumpuan utama untuk membeli-belah. Kedudukan pasar ini sangat strategik iaitu terletak di tengah bandar dan dikelilingi banyak hotel.
Barangan di sini sangat murah dan sesuai untuk dibeli secara borong bagi tujuan perniagaan. Kebanyakan orang Malaysia ke sini untuk mendapatkan kain ela, telekung, tudung dan aksesori unik.
Lebih menarik, pasar ini menawarkan perkhidmatan membuat baju melayu, jubah, baju kurung, baju vietnam dan sut. Semua tempahan disiapkan dalam tempoh 24 jam dan dihantar terus ke hotel anda dengan harga yang sangat berpatutan.

Ben Thanh Night Market
Pasar malam Ben Thanh biasanya bermula jam 7 malam di sekeliling Ben Thanh Market. Barangan dijual di sini hampir sama dengan Ben Thanh Market, namun lebih murah jika anda pandai tawar-menawar.
Jika merancang untuk membeli cenderahati, dompet bermanik, aksesori, seluar jeans, baju-T atau pakaian kanak-kanak, elok dapatkan semuanya di sini.
Begitupun, jika tidak serius hendak membeli, usah cuba tawar-menawar kerana peniaga di pasar ini mungkin bertindak kasar atau memarahi anda.

Dong Khoi Street
Ketika zaman kolonial Perancis, kawasan ini dikenali sebagai Rue Catinat dan bertukar kepada Tu Do pada 1960-an.
Ia dibangunkan semula sebagai pusat komersial di Saigon yang menyaksikan persaingan antara butik tempatan dengan jenama antarabangsa.
Kini, Dong Khoi Street popular sebagai kawasan paling 'sofistikated' dan disukai orang tempatan serta pelancong asing. Banyak gerai menjual barangan hiasan dalaman rumah di sepanjang jalan ini.

Saigon Opera House
Satu daripada mercu tanda paling menonjol di bandar raya Ho Chi Minh adalah Saigon Opera House. Ia dibina pada 1897 oleh arkitek Perancis Eugene Ferret.
Pada 1955, binaan ini melalui beberapa proses pengubahsuaian sebelum berfungsi sebagai South Vietnam's Assembly House.
Ia hanya dibuka kepada orang ramai pada acara tertentu dan tiket boleh didapati di District 1, Saigon.
Begitupun, pelancong lebih suka merakamkan foto peribadi kerana keistimewaan bangunan itu yang menjadi sebahagian contoh seni bina kolonial Perancis.

Masjid Jamia Al Muslimin
Masjid ini dibina pada 1935 untuk jemaah Islam dari selatan India. Ia menjadi tumpuan setiap kali waktu solat Jumaat.
Terletak di HCMC District 1, masjid ini dikelilingi penjual makanan halal seperti kari, biskut dan roti.
Terowong Chu Chi
Kata orang, tidak lengkap berkunjung ke Vietnam jika tidak melawat kawasan medan peperangan yang menjadi saksi warga Vietnam menentang penjajah iaitu Terowong Chu Chi.
Anda boleh turun ke terowong bawah tanah yang sempit ini dan merasa sendiri pengalaman tentera Vietnam ketika zaman perang.
Selain itu, pengunjung juga boleh menguji kebolehan menembak dengan mencuba senapang yang digunakan pada zaman berkenaan.

Pasar Terapung Cai Rang
Berkunjung ke Pasar Terapung Cai Rang di Can Tho, Sungai Mekong membuka ruang kepada anda untuk melihat uniknya suasana yang menangkap deria penglihatan, bau, rasa dan pendengaran.
Semua yang ada di sini pasti membuatkan anda teruja.
Pasar Terapung Cai Rang menonjolkan kerancakan urus niaga barangan dari satu bot ke bot lain.
Uniknya, pedagang mempamerkan jenis dagangan mereka dengan menyangkutkan barangan contoh pada tiang buluh di hujung bot sebagai petunjuk kepada bakal pembeli.

Delta Mekong
Delta Mekong adalah antara lokasi yang perlu dikunjungi di Vietnam. Jika melancong secara pakej, pasti pemandu pelancong membawa anda ke beberapa kampung di kawasan delta sungai yang menjalankan perusahaan kecil seperti madu dan gula-gula kelapa.
Selain itu, mereka juga menjual hasil buah-buahan terus dari kebun seperti longan, rambutan, ciku, manggis dan durian.
Banyak lagi lokasi menarik boleh anda kunjungi di Vietnam, tetapi bergantung kepada minat masing-masing.
Usah bimbang jika anda melancong sendirian kerana HCMC adalah lokasi tumpuan ramai pelancong dari Malaysia. Beberapa restoran halal juga bercirikan masakan Melayu. Namun, hati-hati dengan penyeluk saku.
Saigon-Vietnam



- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/15188#sthash.5XRU0ZdS.dpuf