Friday, May 30, 2014

Awas Penyeluk Saku!

Usah pandang remeh gejala seluk saku khasnya ketika melancong di Eropah kerana penjenayah profesional ini memiliki kemahiran cukup tinggi malah lebih hebat daripada ahli silap mata sendiri jika anda leka seketika.

Berikut disenaraikan beberapa panduan umum bagi memastikan anda bukan mangsa terbaharu penyeluk saku licik ini yang amat aktif di Eropah dan menjadikan pelancong asing sebagai sasaran mudah utama mereka:

* Penyeluk saku biasanya bergerak secara berkumpulan, dengan seorang akan cuba mengalihkan tumpuan anda dan seorang lagi akan kebas dompet atau barang berharga anda dalam beg galas, manakala ramai ladi ‘pelakon tambahan’ berada di sekeliling anda berpura-pura bersembang.

* Tempat tumpuan orang ramai adalah fokus sasaran iaitu bas, tren LRT atau pasar, bahkan berhati-hati ketika melihat persembahan jalanan atau buskers yang jika ramai orang kerana mungkin penghibur seni itu adalah salah seorang daripada anggota mereka sendiri.

* Kawasan pelancongan yang ada dipasang papan tanda 'Beware of Pickpocket' atau ada pengumuman interkom hebahan awam disebut: 'Please take care of your belongings' sebenarnya adalah kawasan hitam dan banyak jenayah. Anda harus lebih berhati-hati.

* Berwaspada ketika merentasi sempadan antara negara Eropah guna kereta api kerana penyeluk saku sangat aktif, dan jika anda hilang pasport, maka sukar untuk memasuki negara jiran tersebut bagi buat laporan polis terutama jika anda kehilangan semua wang tunai.
 
* Jangan baik hati beri pinjam telefon bimbit anda kepada orang tidak dikenali tetapi jika ada cuba minta walaupun nampak seperti kecemasan, katakan sahaja anda tiada telefon atau tunjuk arah pondok telefon awam.

* Elak terlalu layan orang tempatan yang ingin beramah mesra dengan anda. Ingat anda datang untuk melancong dan jangan layan orang hendak tukar duit kecil kerana mereka boleh buat sendiri di kedai runcit jika beli gula-gula.

* Usah layan orang tidak dikenali beri salam dan hulur tangan. Jawab sahaja salam tanpa jabat tangan. Jika tidak, mungkin jam tangan atau dompet anda lesap. Untuk elak, harus tiada sentuhan badan dengan penyeluk saku.

* Jika menaiki kereta api atau bas awam, jangan letak beg berisi barang berharga di rak atas kepala dan jika mahu tidur, jangan semua ahli kumpulan anda tidur serentak tetapi salah seorang perlu berjaga.

* Tidak ada polis berpakaian preman di Eropah yang ‘rajin’ periksa pasport, dompet atau b
eg anda, sebaliknya itu adalah penyeluk saku yang berlakon kononnya dia anggota polis dan tunjuk kad kuasa palsu.

* Kaji indeks jenayah di tempat yang anda ingin lawat dengan rujuk laman Tripadvisor; dan jika mahu masuk taman tema contohnya, beli tiket di kaunter khas bukan dari individu yang tawar harga murah kepada anda.

* Elak beli cenderamata dari individu tepi jalan; anda mungkin ditahan polis sebab beli barang curi; dan usah bersedekah kepada pengemis kerana di sekitarnya ada ramai penyeluk saku sedang memerhati.
 

Anda perlu waspada dengan keadaan sekeliling dan menjaga barangan berharga daripada lesap menjadi sasaran penyeluk saku.