Friday, July 11, 2014

Jemur Santai di Pantai

Aktiviti berjemur atau sunbathe cukup popular dalam kalangan pelancong Barat yang mahu lari daripada suasana iklim sejuk dan menikmati sinaran matahari bagi 'memanaskan' tubuh badan sambil duduk santai mendengar hembusan ombak dan desiran bayu pantai.

Selain kegiatan berenang, mandi-manda, bermain bola pantai atau membina istana pasir, berjemur secara malas yang mendedahkan sebahagian tubuh sebenarnya amat baik kepada kesihatan diri. Berikut disenaraikan beberapa faedah daripada aktiviti berjemur itu.

Merawat mood - Walaupun nampak ringkas, kegiatan berjemur di bawah sinaran suria seketika dapat merawat perasaan diri untuk menjadi lebih tenang sambil mengingati kebesaran Ilahi. Kajian menunjukkan berjemur pada cuaca panas meskipun seketika boleh menyebabkan orang gembira dan lebih ceria sambil melepaskan tekanan kerja.

Melawan penyakit - Berjemur terutama pada waktu pagi memberi anda khasiat vitamin D secara semula jadi kepada tubuh. Ia akan menjana proses melawan jangkitan penyakit kerana sinaran matahari yang kurang terik mengandungi sumber kebaikan tambahan kesihatan atau suplemen yang amat diperlukan oleh tubuh badan untuk kembali segar.

Tidur nyenyak - Benar kajian mendapati pendedahan secara berkala terhadap sinaran matahari akan menyebabkan anda menikmati tidur yang lebih nyenyak. Berjemur menjadikan paras hormon serotonin kekal sihat dan tubuh akan membebaskan hormon melatonin semula jadi pada waktu malam untuk membolehkan anda terus tidur lebih lena.

Kulit sihat - Berjemur paling lama 20 minit sehari akan meningkatkan pigmen warna perang pada kulit dan ini membolehkan lapisan permukaan kulit menjadi lebih tebal sekali gus melindungi tubuh anda daripada sinaran bahaya matahari terik. Ia juga merawat penyakit kulit seperti eczema, acne kronik, kurap atau kutil selain melawan bakteria jahat.

Kurang stres - Selain mempertahankan tubuh anda daripada komplikasi jantung dan penyakit berkaitan, berjemur secara sederhana dapat membantu anda untuk merendahkan tekanan perasaan. Malah hormon stres yang ada dalam badan akan kurang dikeluarkan sekali gus menjadikan tubuh lebih sihat.

                               
Berjemur santai bersama pasangan ketika bercuti bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, malah mengeratkan hubungan.