Thursday, July 10, 2014

Tukar Mata Wang Asing

Jika anda memilih untuk melancong ke luar negara, masalah paling besar ialah tukaran mata wang asing. Secara teknikal bagi yang berpengalaman sering ke luar negara, adalah lebih baik membuat pertukaran di dalam ­negara sebelum bertolak, ia lebih me­nguntungkan, mudah dan paling penting selamat.
Namun anda perlu ingat, sesetengah tempat ­pertukaran atau disebut pengurup mata wang asing tidak sama kadarnya ­dengan tempat lain. Malah jika di kaunter pengurup di lapa­ngan terbang, anda sebenarnya akan mendapat nilai kurang daripada yang ditukar di tempat lain, begitu juga di bank.

Lebih teruk jika membuat pertukaran di luar negara pula, ada negara yang tidak menerima Ringgit Malaysia dan keadaan ini sudah pasti menyusahkan terutama jika anda sudah kehabisan wang tunai ketika melancong. Berikut disenaraikan beberapa tip pertukaran mata wang asing sebagi panduan.

1. Semak nilai mata wang ­negara yang dituju sebelum berangkat. Cara mudah adalah melalui ­Internet. Anda juga boleh bertanyakan kepada agensi pelancongan atau tempat penukaran mata wang asing yang terdekat. Maklumat nilai tukaran asing negara yang dituju adalah penting untuk anda boleh buat perbandingan supaya anda tidak tertipu atau rugi.
2. Biasanya nilai tukaran di lapangan terbang dan bank lebih rendah atau dengan kata lain harganya lebih mahal. Cuba sedaya upaya tidak menukar duit di lapangan terbang atau hotel. Jika terpaksa, ­tukarlah hanya jumlah diperlukan untuk bayar teksi atau ­kereta sewa untuk ke hotel penginapan dari lapangan terbang atau keperluan mustahak ­sahaja.

3. Sesetengah pengurup ambil komisen dan ada yang tidak. Jangan tertipu dengan nilai ­ tukaran yang tinggi berbanding di tempat lain, padahal ­dikenakan komisen. Di akhir urus niaga, ­harganya sama saja bahkan mungkin lebih ­mahal. Buat kiraan sebaik mungkin agar tidak rugi ­sebaliknya menguntung­kan anda. Jika ada pilihan, carilah yang tidak ­ada komisen.

4. Carilah tempat ­tukaran mata wang asing yang boleh dipercayai untuk elak penipuan. Minta saranan daripada ­kakitangan hotel di lokasi percutian anda. Kenal pasti tempat pengurup itu berada di kawasan yang selamat. Di beberapa negara, ada pengurup sering menipu. Mereka akan membayar wang yang ditukar kurang daripada jumlah yang sepatutnya diterima. 



Buat semakan kadar terbaru pertukaran lebih awal untuk mendapatkan nilai mata wang asing yang banyak.