Thursday, June 5, 2014

Kembara Kereta Api

Melancong kereta api popular di benua Eropah selain Amerika Syarikat, Australia dan India. Di Malaysia, perkhidmatan kereta api khas Eastern & Oriental antara Singapura dan Bangkok juga digemari pelancong yang mahu menikmati panorama semula jadi sepanjang laluan.

Ada jenis moden berkelajuan tinggi setanding kapal terbang tetapi kebanyakan pelancong memilih jenis konvensional lengkap dengan layanan istimewa dan pengalaman unik. Berikut panduan untuk anda yang mahu mengembara dengan kereta api sebagai rujukan:

Semak jadual – Walaupun beli tiket awal, periksa teliti jadual perjalanan berlepas dengan pihak stesen kereta api dan pastikan anda memilih kereta api yang betul untuk anda dapat rancang pergerakan dari rumah atau hotel.

Bagasi ringan – Sesuai untuk gerabak sempit boleh diletak di bawah kerusi bagi mudah dicapai apabila tiba di destinasi. Jika gerabak ada katil, beg saiz kecil memadai untuk jimat ruang dan letak barang keperluan peribadi seperti berus gigi di luar beg yang senang dilihat.

Tiba awal – Macam kapal terbang, lebih baik tiba awal di stesen agar anda tidak terlepas gerabak atau keliru platform. Kebanyakan kereta api tidak menunggu penumpang keluar masuk gerabak dan mungkin cuma singgah seketika untuk beberapa minit sebelum bergerak.

Awas pencuri – Jika berkongsi tempat duduk atau katil bertingkat berjiran dengan orang asing, waspada barangan anda. Kunci bagasi dengan mangga dan letak di tempat selamat. Jika berasa bahaya, tidur dengan beg manakala rakan lain bergilir-gilir jaga persekitaran.

Pelihara adab – Anda mungkin menyiku atau bergesel dengan penumpang lain kerana laluan koridor sempit atau kedudukan kerusi kecil. Ucap saja minta maaf atau isyarat bahasa tangan anda tidak sengaja terlanggar mereka. Ia lebih baik daripada bertekak memarahi orang lain.

Cukup rehat – Jika kereta api perjalanan jarak jauh sama ada waktu malam atau siang, cuba rehat cukup termasuk tidur sekejap. Bila badan letih, anda mungkin terlepas stesen sepatutnya kerana tiada siapa akan kejut anda bangun kecuali hebahan pengumuman ketibaan stesen.

Waspada makanan – Kebanyakan kereta api ekspres jarak jauh ada gerabak kafeteria atau kantin. Namun, jika anda tidak selesa dengan menu hidangan atau bimbang makanan cepat habis dijual, bawa bekalan kecemasan seperti biskut, keropok atau buah untuk dikunyah.
Pengalaman menaiki kereta api merentasi banyak negara amat digemari pelancong yang mahu mengembara tanpa mengejar masa.