Tuesday, December 9, 2014

Memorial almarhum Tuanku Ja'afar




GALERI Diraja Tuanku Ja'afar, yang terletak kira-kira satu kilometer dari pusat bandar Seremban bakal menjadi daya tarikan baharu kepada para pelancong dari dalam dan luar negara untuk melawat bandar ini khususnya Negeri Sembilan.
Dibina berhampiran Taman Tasik Seremban, tapak bangunan berkeluasan hampir 4,087 meter persegi itu merupakan galeri yang dibangunkan bagi menghidupkan kenangan dan perjalanan Almarhum Tuanku Ja'afar Almarhum Tuanku Abdul Rahman.
Bangunan berkenaan terletak di Jalan Taman Bunga mula dibina sejak 2 Mei 2012.
Majlis perasmian fasa pertama Galeri Diraja Tuanku Ja'afar disempurnakan oleh Tunku Ampuan Negeri Sembilan, Tuanku Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin pada 4 Disember lalu.
Acara tersebut turut dihadiri anakanda dan cucunda Almarhum Tuanku Ja'afar.
Apa yang menarik, pengunjung boleh melihat sendiri dengan lebih dekat koleksi peribadi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10 itu.
Baginda begitu dikenali sebagai seorang pemimpin yang dikasihi rakyat kerana sifat ketelusan dan kebijaksanaan serta pernah dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-10 pada 26 April 1994 hingga 25 April 1999.
Galeri setinggi empat tingkat itu diilhamkan oleh ahli keluarga kerabat Almarhum Tuanku Ja'afar dengan kerjasama kerajaan negeri, Jabatan Muzium Malaysia dan Lembaga Muzium Negeri Sembilan bertujuan memperingati baginda yang memerintah negeri Adat Perpatih ini selama 40 tahun.
Ruang-ruang pameran di galeri Diraja Tuanku Ja'afar juga memaparkan kisah perjalanan hidup baginda.
Pengisian dan susun atur koleksi galeri ini berkonsepkan ‘perjalanan biografi’ Almarhum Tuanku Ja'afar.
Menurut Kurator galeri itu, Nor Hazwani Hembali, terdapat sembilan ruang galeri yang berbeza iaitu ruang pameran sejarah dan Raja-Raja di Negeri Sembilan; mengenal baginda; zaman membesar; kerjaya awal dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10.
Antara lain termasuk ruang pameran Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-10; di sebalik kejayaan baginda Tuanku, Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin dan koleksi kereta antik baginda Tuanku.
“Galeri ini akan dibuka dalam dua fasa. Sempena pelancaran fasa pertama, enam daripada sembilan ruang pameran dibuka secara percuma kepada pelawat sejak 8 Disember lalu bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.
“Proses menyiapkan reka bentuk dalaman masih dilakukan di ruang pameran fasa kedua dan kesemua ruang pameran akan dibuka kepada pelawat bermula pertengahan tahun depan sempena hari keputeraan baginda pada 19 Julai,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata, galeri itu turut menyediakan kemudahan seperti kafe dan kedai cenderahati, pusat sumber termasuk ruang untuk sewaan kepada orang awam.
Tambahnya, lawatan secara berkumpulan adalah dialu-alukan, namun tarikh dan masanya perlu dirujuk kepada pihak galeri dengan menghubungi Pegawai Perhubungan Awam galeri, Nurul Atikah Mohd. Fuad di talian 06-7619 102.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1218&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_03.htm#ixzz3MQKai7FG 
Hakcipta terpelihara