Saturday, July 5, 2014

Bermalam Dalam Khemah

Aktiviti tidur dalam khemah terutama bagi pelancong jenis backpacker atau beg sandang memang popular dalam kalangan pengembara Eropah yang bercuti pada kos amat bajet. Ia juga memberi pengalaman unik berbanding penginapan di hotel kerana banyak kegiatan boleh dilakukan di tempat terbuka secara santai.

Namun, terdapat beberapa perkara asas yang perlu diambil kira terlebih dulu sebelum anda mahu membuat keputusan untuk bermalam di dalam khemah jika dibandingkan tidur di hostel atau motel biasa. Berikut disenaraikan antara panduan ringkas yang boleh dijadikan rujukan anda:

Lokasi
Apabila tiba ke destinasi yang hendak dijadikan tempat percutian, hubungi pihak berkuasa tempatan atau polis untuk mendapatkan lokasi perkhemahan yang selamat, lazimnya mereka ada mewartakan kawasan lapang atau padang untuk pelancong berkhemah secara sistematik. Kedudukan tapak perkhemahan yang sesuai biasanya tidak terdedah kepada risiko menjadi mangsa jenayah serta bukan di kawasan sering dilanda bencana alam seperti ribut atau banjir. Juga jika memilih lokasi di zon taman negara atau hutan lipur, pastikan ia bukan tempat haiwan buas berkeliaran mencari makanan mereka.

Unggun api
Sekiranya anda ingin membuat hidangan barbeku yang melibatkan aktiviti pembakaran terbuka semasa berkhemah di tapak perkhemahan awam contohnya di pinggir bandar, pastikan ia dibuat di tempat unggun api yang dibina khusus untuk tujuan itu. Jika tiada tapak disediakan, barbeku masih boleh dibuat tetapi mestilah di tempat yang bebas daripada risiko api merebak sehingga menyebabkan pula kebakaran. Selepas selesai barbeku, padam api sehingga tiada bara sebelum meninggalkan lokasi perkhemahan.

Kebersihan
Sampah sarap perlu dikutip dan dibuang dalam tong khusus untuk sisa pepejal. Tetapi jika tiada pula tong sampah disediakan di kawasan perkhemahan itu, simpan sampah di dalam bekas plastik dan kemudiandibuang apabila anda menemui mana-mana tong sampah awam di luar tapak perkhemahan tersebut. Justeru anda digalakkan membawa bekas khas untuk mengisi sampah kerana dibimbangi tempat anda berkhemah mungkin tiada tong sampah dan jangan amalkan membuang sampah merata-rata kerana tindakan itu mungkin menyebabkan anda boleh dikenakan hukuman denda oleh pihak berkuasa tempatan jika ditangkap.

Telefon bimbit
Sebelum memasang khemah, pastikan terlebih dulu kawasan perkhemahan itu mempunyai liputan telekomunikasi selular atau kemudahan jalur lebar wifi dan bateri telefon bimbit anda dicas penuh yang boleh digunakan untuk menghubungi pasukan penyelamat sekiranya berlaku apa-apa kecemasan. Adalah lebih baik juga jika tapak perkhemahan itu memang sentiasa dikunjungi orang ramai atau berhampiran dengan kawasan penduduk tempatan.

                        
Kegiatan perkhemahan menjadikan aktiviti percutian lebih unik jika anda membuat persediaan awal secara berkumpulan dan teratur.