Tuesday, June 3, 2014

Alamak Bagasi Hilang

Memang seronok melancong serta dapat kongsi pengalaman menarik bersama ahli keluarga dan rakan. Namun percutian anda mungkin bertukar menjadi memori pahit jika tiba di sesuatu lapangan terbang tanpa bagasi yang sepatunya jadi bekalan sepanjang bercuti.

Apatah lagi sekiranya barangan disimpan di dalam bagasi itu pula merupakan benda keperluan penting yang sukar dicari di tempat lain atau cenderamata kenangan yang anda beli daripada percutian untuk diberi sebagai hadiah kepada insan tersayang atau kenalan.

Kecuali ada tuah nasib baik, hilang bagasi terutama apabila tiba di lapangan terbang jika berlaku bukan sahaja memeningkan anda malah syarikat penerbangan itu kerana menjadi tanggung jawab mereka untuk memastikan setiap bagasi selamat tanpa masalah besar.

Berikut disenaraikan antara langkah-langkah yang boleh diambil sekiranya bagasi anda hilang:

* Secara umum, anda tidak boleh mempersalahkan sepenuhnya syarikat penerbangan kerana mereka mengurus ribuan bagasi dalam satu masa dan kebarangkalian untuk hilang pasti tidak dapat dielakkan sama sekali.

* Kelaziman anda boleh menuntut ganti rugi kecuaian atas kehilangan bagasi tersebut walaupun mungkin amaun pampasan diberi tidak setimpal dengan nilai sentimental barangan yang disimpan di dalam bagasi anda itu.

* Untuk elak kes bagasi hilang, pastikan anda daftar masuk ke kaunter lapangan terbang paling kurang sejam sebelum penerbangan kerana ia waktu selamat beg anda dipunggah betul teratur mengikut kod destinasi pesawat.

* Lekatkan tanda pengenalan unik dan cukup jelas dilihat pada badan bagasi anda seperti tag nama atau riben kerana jika hilang, pihak berkuasa lapangan terbang dapat kesan bagasi itu berdasarkan tanda khas yang anda buat.

* Agensi pelancongan dan syarikat penerbangan ada menawarkan insurans bagasi; dan anda perlu mengambilnya jika berasa barangan di dalam beg itu amat berharga selain memudahkan urusan tuntutan pampasan.

* Jangan sesekali letak barang mudah pecah, ubat sensitif atau gajet mahal bahkan dokumen penting dan barang kemas dalam bagasi tetapi memadai disimpan dalam beg kecil boleh naik terus ke dalam kapal terbang.

* Semakin ringan berat bagasi anda maka semakin kurang risiko peluang bagasi anda hilang, justeru tetapkan beg anda khusus untuk simpan pakaian sahaja dan barangan murah yang jika hilang pun tidak berasa ralat.

Pastikan anda letak tanda pengenalan unik pada bagasi untuk memudahkan ia dikesan sebaik tiba di lapangan terbang.