Monday, July 7, 2014

Sebelum Keluar Bercuti

Bercuti merupakan satu aktiviti yang paling digemari masyarakat masa ini. Ia bukan sahaja dapat menenangkan fikiran setelah sekian lama 'mengabdikan' diri dengan kerja-kerja pejabat, malah ia memberi peluang kepada anda untuk bersantai bersama ahli-ahli keluarga.
Pada hujung tahun ini adalah waktu yang sesuai untuk pergi bercuti sementelah cuti sekolah yang panjang, cuti umum dan ada yang ingin menghabiskan cuti tahunan yang perlu dihabiskan sebelum tahun baru.
Bagi yang berkeluarga, waktu inilah perlu diambil kesempatan untuk melancong sama ada di dalam negara atau yang berkemampuan, bolehlah ke luar negara. Bercuti bukan semata-mata melawat ke tempat-tempat menarik tetapi boleh juga balik ke kampung.
Bagaimanapun seperti umum ketahui, untuk pergi bercuti bukanlah satu perkara yang membebankan tetapi persiapan sebelum berangkat pastinya sedikit sebanyak membuatkan anda menjadi 'kelam kabut'.
Tambahan pula sekiranya anda merupakan orang yang bertanggungjawab menguruskan segala-galanya termasuk anak-anak. Jadi di sini terdapat beberapa tip persediaan bercuti untuk memudahkan perjalanan anda sekeluarga sebelum berangkat:

* Pilih untuk bercuti pada hari biasa. Lazimnya untuk hari biasa ia dapat menjimatkan kos kerana tidak ramai pergi bercuti jika dibandingkan dengan hari minggu atau cuti perayaan.

* Buat kajian awal mengenai tempat-tempat yang bakal dilawati. Ini memudahkan anda mengetahui apa-apa kemudahan yang disediakan secara sistematik.

* Bagi yang tidak biasa melancong atau ingin ke tempat yang tidak pernah dilawati, anda dinasihat agar guna khidmat agensi pelancongan kerana boleh melawat lebih banyak tempat berbanding melancong sendiri, secara tidak langsung jimatkan masa dan kos.

* Jangan pakai banyak barang kemas. Ia adalah untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Sebaliknya biarlah penampilan anda tidak terlalu ketara seperti orang asing.

* Tukar mata wang asing sebelum bertolak bagi mereka yang ingin melancong ke luar negara dan simpan sedikit sebagai persediaan jika berlaku kecemasan luar jangka.

* Sediakan barang-barang yang sesuai dan penting sahaja dan jangan terlalu banyak atau menyusahkan. Jika perjalanan jauh, seelok-eloknya kurangkan beban yang akan dibawa.

* Elakkan banyak berjalan seperti membeli-belah kerana itu akan memenatkan dan jadual percutian anda akan lari daripada tujuan asal untuk menikmati keunikan sesebuah tempat.
                         
Buat perancangan awal sebelum pergi bercuti dapat menjadikan aktiviti pelancongan anda bersama keluarga lebih unik.