Thursday, November 6, 2014

Jengah destinasi aura K-Pop



PENGARUH drama bersiri Korea Selatan, Winter Sonata dan Running Man menarik minat saya dan tujuh rakan-rakan untuk berkunjung ke negara yang tidak asing lagi dengan budaya K-pop itu.
Tanggal 31 Ogos lalu, kami merealisasikan rancangan untuk menjejakkan kaki ke Korea Selatan setelah hampir setengah tahun merancang.
Seorang pemandu pelancong, Won Man Soo sedia menunggu setibanya kami di Pulau Jeju. Selepas itu, kami dibawa ke Greenday Guesthouse iaitu tempat penginapan selama tiga hari dengan bayaran hanya RM125 semalam. Namun, kami dilarang untuk membuat sebarang bunyi bising selepas pukul 11 malam.
Oleh kerana pengaruh rancangan realiti televisyen, Running Man, kami pergi ke salah satu lokasi pengembaraan mereka pada hari kedua iaitu Jeju Kimnyong Maze Park. Bayaran yang dikenakan sebanyak KRW3,330 (RM10). Di sana, kami dikehendaki untuk membunyikan loceng yang berada di tengah-tengah taman tersebut.
Seterusnya kami ke Jeju Mini Land. Bayaran masuk dikenakan sebanyak KRW9,000 (RM2) dan hampir ke semua ikon-ikon di setiap negara boleh didapati di taman ini termasuk Menara Berkembar Petronas dan Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar, Perak.
Perjalanan kami diteruskan lagi ke Jeongbang Waterfall iaitu antara 10 pemandangan tercantik di Pulau Jeju. Terusan air terjun itu terus mengalir ke laut dan ia merupakan antara tarikan utama pelancong ke sini dengan bayaran masuk sebanyak KRW2,000 (RM6).
Kami sempat ke Cheonjiyeon Waterfall dengan melalui laluan landskap yang disediakan. Cheonjiyeon Waterfall dipercayai tempat dewi-dewi bermandi-manda.
Seterusnya kami ke Oedolgae Rock iaitu lokasi penggambaran rancangan televisyen, Dae Jang Geum (Jewel in the Palace) yang terkenal dengan pemandangan cantik dan cuaca menenangkan.
Kami juga ke Olle Trail laluan ke­tujuh dari Oedolgae Rock ke Pelabuhan Wolpyeong sejauh 15.1 kilometer tetapi kami hanya mampu sampai separuh jalan kerana terlalu penat.
Pada hari ketiga, kami ke Dragon Coast atau Rock of Dragaon Head iaitu kawasan pantai di mana bentuk batu di sini seperti kepala seekor naga. Kami juga dapat melihat kaum wanita di sini mencari rezeki dengan menyelam ke dasar laut untuk mencari mutiara tanpa sebarang alat bantuan pernafasan.
Langkah diteruskan ke Mystery Road bagi merasai pengalaman menaiki kenderaan yang bergerak sendiri tanpa menghidupkan enjin, sama seperti yang terdapat di Kimanis-Keningau, Sabah.
Sepanjang laluan di Mystery Road, terdapat batu-batu ukiran yang menarik dapat dilihat. Setiap ukiran batu mempunyai cerita tersendiri. Kemudiannya kami ke Teddy Bear Museum yang banyak mempamerkan koleksi-koleksi patung beruang dan persembahan konsert beruang Elvis Presley.
Kami turut mengunjungi Trick Art Museum dan Hello Kitty Island sebelum bergegas ke lapangan terbang untuk ke Seoul menaiki kapal terbang Air Busan BX8012.
Kami menginap di Golden Pond Guesthouse dengan harga RM150 semalam. Lokasi yang strategik di tengah pekan Daehangno dan dekat dengan kemudahan pengangkutan awam.
Tidak banyak lokasi yang kami pergi pada hari keempat kerana cuaca hujan hingga ke tengah hari tetapi kami sempat ke pekan Itaewon dan Dongdaemun Market untuk membeli barangan cenderahati.
Bermula jam 8 pagi waktu tempatan, kami semua menaiki bas dan feri untuk ke Pulau Nami pada hari kelima. Perjalanan mengambil masa selama sejam setengah itu amat berbaloi kerana kami dapat menyaksikan pemandangan indah bandar Seoul.
Melihat sendiri lokasi penggambaran filem Winter Sonata membuatkan kami terasa ingin tinggal terus di Korea Selatan. Kami menaiki basikal untuk mengelilingi Pulau Nami. Setelah hampir seharian, kami menuju ke Namdaemun Market hingga ke malam menyaksikan pelbagai gelagat rakyat Korea Selatan sambil mencari cenderahati.
Pada hari keenam, kami ke National Palace Museum of Korea di Gyeongbukgung dan N Seoul Tower atau lebih dikenali sebagai Menara Namsan dengan ketinggian 237 meter yang turut menjadi lokasi penggambaran Running Man.
Tanpa melengahkan masa, kami terus menaik Cruise di Sungai Han. Pada sebelah malam pula, kami ke Myeong-dong Market, kawasan membeli-belah yang sedikit urban untuk golongan muda.
Pada hari ketujuh pula, kami memilih untuk lebih santai dan kerana pada sebelah petang kami menuju ke Busan dengan menaiki Air Busan BX8875 dan bermalam di Indy House berharga RM150 semalam.
Pada hari kelapan, kami berpecah kerana ada yang ingin ke Haeundae Beach dan sebahagian pula ke Shinseagae Spa Land iaitu sebuah spa yang terkenal di Korea Selatan.
Bagaimanapun, makanan di Korea Selatan sangat mencabar. Kebanyakan kami membawa bekal dari Malaysia seperti serunding, roti, mi segera dan sup segera. Rumah tumpangan di Jeju dan di Busan menawarkan beberapa barangan secara percuma untuk sarapan pagi seperti nasi, jus dan telur.
Kami bebas untuk memasak di ruang dapur yang dikongsi bersama pelancong lain. Masalah komunikasi tidak menjadi masalah kerana salah seorang teman iaitu Fathuljannah fasih berbahasa Korea.
Sempat juga merasai pelbagai juadah Korea seperti Ddukbokkie iaitu kek beras yang dimasak dengan sos merah Korea.
Hakcipta terpelihara