Saturday, December 6, 2014

Aksi di padang bola terapung


DIKELILINGI panorama batu kapur dan rumah-rumah kayu yang dibina di atas air, Pulau Panyee sama seperti kebanyakan pulau-pulau komersial yang terdapat di Thailand.
Namun, tarikan pelancong ke pulau itu bukan di­sebabkan oleh keindahan alam semula jadinya tetapi sebuah padang bola sepak yang terapung di permukaan air.
Industri pelancongan di negara Gajah Putih itu menghadapi detik sukar sepanjang tahun ini.
Selepas berdepan protes jalanan yang berlangsung selama beberapa bulan, Thailand turut mengalami rampasan kuasa tentera sehingga berlakunya pembunuhan kejam dua pelancong asing di pulau percutian Koh Tao pada bulan September lepas.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Biro Imigresen, kehadiran pelancong menurun sebanyak sembilan peratus antara bulan Januari hingga Oktober berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
Bagaimanapun, situasi itu berbeza di Pulau Panyee yang terletak di da­erah Phanga Nga kerana kedatangan pelancong meningkat saban hari berikutan pengenalan inovasi baharu permainan bola tersebut.
Dibina bersebelahan jeti feri di pulau majoriti penduduknya beragama Islam, padang bola berukuran 400 meter persegi itu menjadi salah satu khazanah negara selepas disiarkan dalam kempen pengiklanan sebuah bank pada tahun 2010.
“Apabila datang ke Pulau Panyee, jangan lepaskan peluang untuk melihat padang bola sepak terapung,” ujar ketua kampung, Muhammad Prasanpan memberikan anggaran penduduk kampung itu memperoleh pendapatan keseluruhan sebanyak RM5,150 hingga RM7,210 sehari hasil kedatangan pelancong luar.
Situasi tersebut menyebabkan pendapatan kira-kira 320 penduduk di pulau yang bergantung hidup kepada hasil laut meningkat lima kali ganda berbanding sedekad lalu.
Sebahagian besar penduduk sangat fanatik dengan bola sepak tetapi di­sebabkan bentuk muka bumi, mereka berdepan kesukaran untuk bermain.
Sebelum ini, mereka hanya bermain di atas pasir pantai apabila air laut surut. Padang bola terapung pertama yang dibina kira-kira 30 tahun lalu mempunyai struktur yang bahaya ke­rana diperbuat daripada kayu dengan permukaan lantai yang tidak kemas.
“Kami terpaksa mengelak daripada terkena paku, ia sangat bahaya. Namun, hanya itu tempat yang kami ada,” cerita pemandu bot, Prakit Prasanpan.
Mengambil inspirasi daripada dedikasi penduduk kampung, Bank TMB membuat siri kempen pengiklanan yang mengisahkan kejayaan pasukan bola sepak tempatan walaupun terpaksa bermain di atas padang usang.
Selepas tayangan iklan itu, sebuah padang yang selamat dan tanpa paku dibina dengan bantuan pihak berkuasa tempatan. Situasi bertambah menarik apabila ia dibina di atas permukaan air.
Nama Pulau Panyee terus dikenali dalam kalangan penduduk tempatan dan antarabangsa melalui kecintaan terhadap bola sepak.
Padang bola sepak terapung itu mendorong keha­diran pelancong.
Pada masa sama, ia mampu menghalang generasi muda di pulau itu daripada berhijrah. Masalah kemiskinan menjadi isu utama di Thailand yang menyebabkan generasi muda terpaksa berhijrah ke ibu kota bagi mencari peluang pekerjaan.
Di Pulau Panyee, kebanyakan ge­nerasi muda masih tinggal bersama keluarga dan populasi penduduk meningkat daripada 1,200 kepada 1,800 orang sejak 10 tahun lepas.
“Peluang pekerjaan di sini lebih baik berbanding di tanah besar. Orang muda mudah untuk mendapat wang yang banyak dengan hanya menjadi pendayung kanu,” terang salah seorang penduduk, Aporn Janchulee.
Namun, kawasan tarikan pelancongan lain di Thailand tidak menerima nasib yang sama. Antara Januari hingga Oktober lalu, pendapatan pelancongan di negara itu menurun sebanyak 6.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2013.
Oleh kerana kebergantungan negara itu masih lagi pada industri pelancongan, Thailand perlu mengambil langkah drastik bagi memulihkan semula situasi genting itu.
Pihak kerajaan junta mengadakan kempen ‘Kembalikan Pantai Kepada Orang Ramai’ sebagai projek sokongan kepada kempen utama industri pelancongan Thailand.
Sebagai langkah awal, kempen tersebut dilancarkan secara besar-besaran di Phuket.
Begitupun, usaha yang dianggap sebagai cara untuk mengembalikan semula kegemilangan Phuket itu tidak mendapat sokongan penuh daripada peniaga tempatan. Kempen itu terus berdepan dengan cabaran apabila be­rita pembunuhan David Miller, 24, dan Hannah Witheridge, 23 di Koh Tao.
Pihak berkuasa menahan dua warga Myammar atas tuduhan membunuh pasangan dari Britain itu sebelum kemudiannya menarik semula pengakuan itu kerana dikatakan diugut untuk membuat kenyataan palsu. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1204&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_02.htm#ixzz3MQGgGdxj 
Hakcipta terpelihara