Tuesday, May 27, 2014

Cara Pilih Agensi Pelancongan

Sekiranya anda memilih untuk melancong dengan menggunakan agensi pelancongan atau travel agent, pastikan anda memilih dengan bijak. Kepakaran setiap agensi adalah berbeza bagi memenuhi kehendak anda sebagai pelancong, pelanggan dan pengguna.
Di sini disenaraikan beberapa petua secara ringkas yang boleh dikongsi:

1. Buat sedikit kajian perbandingan harga pakej yang ditawarkan. Pada kebiasaannya harga berubah mengikut musim dan jenis pakej yang dipilih. Perlu diingat yang terendah bukanlah yang terbaik. Pastikan ia juga selaras dengan bajet anda.

2. Selidiki latar belakang agensi, lesen berdaftar Kementerian Pelancongan serta permit Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang sah. Ia adalah sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan anda ditipu, hilang wang deposit dan sebagainya.

3. Rujuk tarikh dan kadar harga syarikat penerbangan selain jenis perjalanan jika pakej yang dipilih termasuk tiket penerbangan. Setiap syarikat penerbangan mungkin menyediakan perkhidmatan yang berbeza atau ada kos-kos tambahan lain.

4. Ambil tahu tentang hotel penginapan yang disediakan oleh agensi pelancongan itu termasuk alamat, lokasi, kadar penginapan, makanan dan sebagainya. Ia akan menunjukkan harga pakej pelancongan anda secara umum.

5. Kenal pasti cara bayaran yang boleh dibuat kepada agensi pelancongan sama ada hanya guna wang tunai, cek, kad kredit atau bayaran online. Sebaiknya pilih kad kredit kerana lebih selamat dan bayaran akan ditolak sebaik menaiki kapal terbang.

6. Pastikan tiada bayaran tambahan atau kos tersembunyi yang dikenakan. Ini adalah kes yang selalu berlaku apabila anda mungkin dikenakan banyak caj tambahan yang tersembunyi. Maka berhati-hatilah sebelum membuat sebarang keputusan.


                                         
Pilih agensi pelancongan yang berwibawa bakal menjadikan pakej percutian anda lebih unik.