Dikenali sebagai Kota Pahlawan, Surabaya sangat kaya dengan kisah sejarahnya dalam perjuangan untuk merebut kemerdekaan daripada penjajah. 

Malah, daerah ini juga menjadi pusat bagi kerajaan Majapahit suatu ketika dahulu.

Selain daripada kisah sejarahnya yang tersendiri, di Surabaya juga terdapat Pesantren Pasuruan iaitu merujuk kepada madrasah atau pondok yang terletak di sebuah tempat bernama Pasuruan. 

Perjalanan untuk melihat Pesantren Pasuruan ini adalah usaha Yayasan Kebajikan Anak-anak Kuala Kangsar (Yayasan Anak Kuale) yang diketuai oleh pengerusinya, Datuk Ramly Zahari bersama Al-Habib Alwi dari Surabaya.

Sebelum bertolak ke Surabaya, penulis bersama ahli rombongan yang lain telah berkumpul terlebih dahulu di pejabat Yayasan Anak Kuale untuk menaiki bas ke klia2. Alhamdulillah, selepas dua jam penerbangan, kami selamat tiba di Lapangan Terbang Juanda.

Sampai sahaja di lapangan terbang itu, kami disambut mesra oleh Al-Habib Alwi dan beliau terus membawa kami ke Hotel Pasuruan. Oleh sebab hotel tersebut merupakan milik pesantren, jadi ia tidaklah semewah mana, namun ia sudah mencukupi buat kami.

Keesokannya, lokasi lawatan pertama penulis bersama ahli rombongan yang lain adalah Gunung Bromo dan Pantai Berbisik. Apa yang menariknya mengenai Gunung Bromo ini ialah di situ terdapatnya sebuah pantai ‘berbisik’.

Hal ini kerana gunung berapi di kawasan tersebut masih hidup dan sering mengeluarkan bunyi seperti ular bersisir. Maka, sebab itulah pantai tersebut diberikan nama Pantai Berbisik. 

Untuk pengetahuan pembaca .com juga, kali terakhir gunung berapi tersebut meletup adalah pada 2012.

Setelah tiba di Lake View Lodge yang terletak di kawasan pergunungan tersebut, masing-masing diberikan jip yang boleh memuatkan lima orang. 

Jip ini adalah untuk membawa kami turun ke kawasan gunung berapi tersebut agar kami boleh melihat sendiri bagaimana bentuk pasir yang ada di kawasan itu.

Kemudian, kami pergi ke sebuah tempat khas untuk melihat matahari terbit dan terbenam iaitu di kawasan Gunung Penanjakan. Sememangnya ia adalah sebuah tempat yang cukup indah dan menakjubkan untuk melihat kebesaran ciptaan Yang Maha Esa.

Pada malam harinya pula, kami dibawa ke rumah Al-Habib Alwi untuk mengikuti majlis ilmu dan selawat selain melawat kawasan pesantren, seterusnya menikmati makan malam di rumah Al-Habib Alwi.

Keesokan paginya pula, kami mendaftar keluar dari Hotel Pasuruan dan pergi ke sebuah tempat yang dipanggil Malang. Malang merupakan tempat yang cukup popular dengan ladang epal.

Namun begitu, ketika kami tiba di Malang, kawasan tersebut amat sesak, jadi kami dibawa terus ke sebuah tempat yang dipanggil Resort Selecta.

Resort ini boleh digambarkan seperti Sunway Lagoon, tetapi ia lebih kecil, padat dan sesak dengan pengunjung. Di sini, penulis sempat menikmati bakso dan terang bulan iaitu sejenis makanan yang seakan-akan apam balik dengan rasa campuran coklat, keju dan susu.

Di Malang ini juga, penulis sempat membeli pelbagai barangan cenderahati untuk dibawa pulang ke tanah air. Antara ‘buah tangan’ yang menarik dijual di situ ialah pelbagai jenis kerepek termasuklah kerepek buah-buahan.

Setelah itu, kami dibawa ke Resort Jambuluwak. Penulis sememangnya sangat teruja dengan resort ini kerana pemandangannya sangat cantik. 

Pada waktu petang, kami melakukan aktiviti santai dan mengambil angin di kawasan resort tersebut dan pada malamnya kami meneruskan aktiviti keagamaan dengan mendengar ceramah daripada Al-Habib Alwi.

Keesokannya kami mendaftar keluar dari resort tersebut dan menuju ke bandar Surabaya. Ketika dalam perjalanan, kami sempat singgah untuk melawat makam Sunan Ampel dan melaksanakan solat Zohor di masjid dalam kawasan makam tersebut.

Apa yang menarik, di dalam masjid ini terdapat sebuah perigi yang mana ramai orang dilihat mengambil air dari perigi tersebut kerana dipercayai air perigi itu mempunyai khasiat seperti air zam zam.

Pengalaman selama tiga hari di Surabaya sememangnya satu pengalaman yang cukup bermakna buat penulis dan juga ahli rombongan dari Yayasan Anak Kuale.

Ia bukan sahaja satu perjalanan untuk meluaskan pandangan, malah ia juga perjalanan spiritual yang pasti tidak akan dilupakan. – BAZRINA RAMLY (https://www.facebook.com/bazrina.ramly)