Sunday, July 6, 2014

Kembara Pengangkutan Awam

Selain kapal terbang, ada juga pelancong yang sanggup menghabiskan percutian mereka dengan hanya menaiki pengangkutan awam seperti bas, teksi, kereta api atau feri. Ia memang murah dan anda boleh menikmati pengembaraan secara langsung dengan melihat sendiri kehidupan sebenar masyarakat tempatan. Namun ada beberapa perkara perlu diberi perhatian demi memastikan aktiviti percutian anda lebih selesa.

Jadual perjalanan
Kebanyakan pelancong yang bergerak menggunakan pengangkutan awam bertindak mencetak sendiri jadual perjalanan perkhidmatan pengangkutan awam lebih awal sebelum tiba ke negara yang ingin dilawati. Anda kena periksa dan cetak jadual itu di atas kertas sebelum memulakan percutian dan ia dapat memudahkan perancangan waktu perjalanan agar tidak terlepas daripada menaiki pengangkutan tersebut.

Kurang bagasi
Beg pakaian, bagasi atau barang peribadi yang terlalu banyak untuk dibawa sebenarnya boleh mengganggu kelancaran perjalanan anda terutama apabila berhimpit di stesen-stesen pengangkutan awam yang penuh sesak pada waktu puncak. Hanya bawa barangan yang perlu sahaja seperti peralatan kebersihan diri, beberapa helai pakaian contohnya baju sejuk dan kasut yang sesuai untuk berjalan jauh di semua jenis permukaan jalan.

Simpan barang
Segala dompet, wang belanja harian dan dokumen perjalanan perlu disimpan di tempat yang selamat bagi mengelakkan anda daripada menjadi mangsa penyeluk saku. Ingat penjenayah ini banyak berkeliaran di stesen pengangkutan awam yang popular dalam kalangan pelancong asing dan mungkin berpura-pura kononnya mahu membantu anda.

Periksa tambang
Kadar tambang bagi setiap jenis pengangkutan awam adalah berbeza yang bergantung kepada jarak perjalanan, tempoh promosi atau risiko kecemasan. Bagaimanapun kebanyakan harga tambang standard telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan tetapi anda perlu menyemak kadar tambang daripada ditipu oleh penyedia pengangkutan awam tersebut terutama teksi bandar yang mungkin mengenakan cas mahal kepada pelancong.

Bawa peta
Perlu dapatkan peta perjalanan terkini daripada mana-mana kaunter pelancongan tempatan kerana ia dapat membantu untuk mengenal pasti kedudukan sebenar stesen-stesen pengangkutan awam yang terdekat. Ia juga akan menolong anda untuk mengelak daripada tersesat jalan serta banyak membuang masa, wang dan tenaga yang habis dibazirkan ketika melakukan perjalanan.
          
Melancong dengan menaiki pengangkutan awam lebih menarik dan anda dapat menyaksikan kehidupan masyarakat tempatan secara langsung.