Wednesday, June 4, 2014

Susun Atur Beg Pakaian

Kerja menyusun banyak pakaian dalam bagasi sama ada percutian lama atau singkat pasti memeningkan kepala jika tidak dilakukan dengan betul apatah lagi jika melibatkan ahli keluarga yang ramai dan pelbagai kerenah.

Berikut disediakan beberapa tip mudah cara ideal untuk anda menyusun segala jenis barangan di dalam ruang sebuah bagasi yang terhad saiz untuk memastikan percutian anda lengkap tanpa masalah kemudian hari:

Semak cuaca – Ini amalam standard pengembara iaitu menyemak status  semasa cuaca tempat anda akan pergi bagi anda tambah atau buang mana-mana pakaian tidak perlu, misalnya jika cuaca meramalkan salji, anda perlu bersedia dengan pakaian tebal sekurang-kurangnya lengkap sepasang.

Pakaian rasmi – Jika anda pergi atas urusan kerja sambil melancong, bawa hanya sehelai pakaian suit, gaun mahal atau blazer tebal itu yang memang akan dipakai untuk program tersebut. Ia boleh dilipat bersama kasut dan diletak bahagian atas sekali agar mudah dicapai sebaik bagasi dibuka.

Barangan diri – Bungkuskan segala barangan penjagaan kesihatan diri dan diasingkan pada tempat berzip dalam ruang bagasi bersama objek kecil lain seperti ubat gigi. Juga pakaian kecil contoh stoking, seluar dalam, baju dalam boleh dilipat dan disimpan di ruang poket luar berzip yang jimat ruang.

Pilih benda penting – Susun pakaian dan barangan yang hanya akan dibawa bercuti dan mengikut tema hari agar anda hanya memakai pakaian ditetapkan untuk sepanjang hari itu. Banyakkan baju T dan seluar kasual sebagai kecemasan untuk anda senang tukar jika pakaian asal basah kotor.

Gajet elektronik – Pengembaraan kini tidak lengkap tanpa alat canggih ini seperti tablet, laptop, ipod, notebook; namun ia perlu disusun dalam satu beg berasingan dan dibawa menaiki kapal terbang. Jangan simpan di dalam bagasi untuk mengelak ia rosak ketika dipunggah muat dalam pesawat.

Ada ruang sikit – Tinggalkan sedikit bahagian dalam bagasi anda kerana mungkin ada barangan menarik yang anda beli semasa bercuti untuk dibawa balik. Jika tidak, anda mungkin terpaksa beli sebuah lagi bagasi tambahan bagi mengisi segala macam barangan yang anda beli itu.
Bukan semua jenis pakaian boleh dimuatkan dalam ruang bagasi yang terhad dan sempit untuk tujuan percutian anda.