Friday, November 7, 2014

Lambaian indah desa Kedah



SESEKALI lari dari hiruk-pikuk kota metropolitan terasa nikmat yang tidak terhingga. Tidur berbantalkan bantal kekabu asli, berselimutkan kedinginan udara malam sambil diiringi alunan bunyi cengkerik rimba sememangnya menjadi sebuah gabungan irama yang sempurna.
Waktu siang pula dipenuhi dengan aktiviti desa seperti menangkap ikan sambil membiarkan tubuh disentuh kedinginan air terjun, berjalan di belantara sambil mengenali habitat sekeliling atau belajar untuk memasak dan memakan nasi buluh, pastinya akan membuatkan diri berasa seperti dibesarkan di perkampungan tersebut.
Justeru, kunjungan penulis sempena program Discover Kedah Agro Trail 2014 anjuran majalah Santai Travel dengan kerjasama Tourism Malaysia baru-baru ini ternyata berbaloi apabila dibawa menjelajah di Homestay Desa Keda, Ulu Legong, yang terletak kira-kira 19 kilometer dari pekan Baling, Kedah.
Meskipun agak terpencil lokasinya, namun siapa sangka perkampungan tersebut mampu menawarkan sebuah percutian yang tidak akan dilupakan, terutamanya buat pencinta alam.
“Kami ingin pastikan pengunjung yang datang ke sini merasai pengalaman lengkap sebagai anak kampung,” ujar pengerusi homestay tersebut, Mohd. Akhir Ismail ketika menceritakan keunikan homestay kendaliannya itu.
Menurutnya, kebanyakan pengunjung memilih untuk merasai pengalaman menginap secara pakej.
“Contohnya, pakej dua hari satu malam yang mendedahkan pengunjung mengenai cara hidup kampung di sini,” katanya.
Bagi yang gemarkan aktiviti lasak, aktiviti mendaki Gunung Baling yang berketinggian kira-kira 450 meter pasti menjadi pilihan utama.
“Pengunjung juga mempunyai pilihan untuk melakukan aktiviti merentas hutan bagi mengenali habitat flora dan fauna di sini.
“Bunyi-bunyian unggas dan ranting kayu kering yang dipijak pasti memberi ketenangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata,” ujar lelaki yang membahasakan dirinya sebagai Pak Long itu.
Jika berasa letih melakukan aktiviti pada siang hari, pengunjung boleh merehatkan badan dan urat-urat sendi dengan mandi-manda di Kolam Air Panas Ulu Legong, tidak jauh dari perkampungan tersebut.
Dengan suhu air sekitar 30 hingga 40 darjah Celcius, kolam tersebut dibuka 24 jam sehari bagi memudahkan pengunjung berendam pada ketika waktu malam.
Menginap di Homestay Desa Keda juga, pengunjung tidak perlu risau mengenai makanan.
“Kami menyediakan hidangan sebanyak enam kali sehari berupa sajian selera kampung seperti ulam-ulaman, ikan-ikan segar, air kopi asli buatan tempatan dan nasi serta lauk-pauk yang dimasak di dalam buluh.
“Jadi, pengunjung sedikitpun tidak akan berasa lapar kerana bekalan makanan sentiasa ada,” ujar Mohd. Akhir.
Selain itu, di Kampung Desa Keda juga dihuni masyarakat Orang Asli suku kaum King Siew.
Menurut Mohd. Akhir, masyarakat Orang Asli itu merupakan satu-satunya puak King Siew terakhir yang masih terdapat di benua Asia.
“Pengunjung berpeluang mempelajari cara hidup, percakapan, pergaulan mahupun adat resam mereka,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Selain ‘bersahabat’ dengan alam, di manakah lagi destinasi yang mampu memberikan kelainan kepada percutian anda sekali gus lari daripada kebiasaan?
Diaju soalan sebegitu, penulis berfikir sejenak mengenai lokasi menarik seterusnya yang terdapat di negeri kelahiran penulis itu.
Ketika membiarkan persoalan itu tidak berjawab, penulis dibawa pula ke sebuah kawasan rumah di tepi sawah yang terletak di Jalan Kuala Sedaka, Daerah Yan.
Sambil minda ligat berfikir mengenai keistimewaan yang ada pada rumah tersebut, satu-persatu langkah dihayun memasuki kawasan rumah tersebut.
Serta-merta perasaan kagum dan teruja dirasai tatkala terpandang beberapa pokok nira nipah di sekitar kediaman tersebut yang seumpama sebuah taman.
Itulah Ladang Nira Nipah Ismail Che Kar yang menampilkan konsep perlancongan berbeza iaitu taman air nira nipah, sejenis minuman yang popular di negeri Kedah yang dihasilkan sendiri oleh pengusahanya, Ismail Che Kar dan isteri, Rohana Ali.
“Selain menikmati air nira nipah yang segar, pelanggan juga berpeluang melihat sendiri proses pengambilan air nira tersebut.
“Dengan harga RM10 untuk satu jag, RM1 untuk jeli nira dan RM4 bagi manisan nira, ia memberi peluang kepada pengunjung untuk lari seketika daripada aktiviti kebiasaan seperti minum air kelapa,” jelas Ismail.
Justeru itu, jika anda berada di sekitar kawasan Yan dan tekak terasa kering, destinasi tersebut merupakan pilihan yang tepat kerana airnya dapat menghilangkan rasa dahaga.
“Pengunjung tidak perlu pergi ke habitat pokok nipah yang kebiasaannya hidup subur di kawasan berpaya, lembab dan berlumpur kerana di sini, tumbuhan itu tumbuh dan dijaga dengan rapi di dalam kawasan taman,” ujarnya.
Dalam pada itu, berbeza pula ceritanya dengan seorang pekerja swasta, Keanu Ch’ng yang datang dari Pulau Pinang ke Merbok semata-mata untuk memenuhi hobi memancingnya di Chin Fong Aquaculture & Resort.
“Saya pernah ke sini dalam empat ke lima kali dan berasakan ia amat sesuai untuk saya memenuhi hobi memancing.
“Selain mendapat kepuasan selepas memancing ikan, pengunjung berpeluang untuk terus memasak hasil tangkapan mereka dan memakannya secara segar.
“Isi ikan yang masih segar itu terasa manis dan enak sekali apabila dibakar dan dimasak apa-apa jenis hidangan,” ujarnya yang mendapat tahu mengenai tempat itu daripada rakannya.
Bagi yang ingin menghabiskan masa lebih lama di situ pula, Chin Fong Aquaculture & Resort turut menyediakan resort yang dibina khusus untuk pengunjung bermalam.
“Dengan lapan bilik standard yang lengkap dengan kemudahan asas, destinasi ini juga sesuai bagi pengunjung yang merancang untuk membuat aktiviti seperti hari keluarga,” jelas pengusahanya, Tan Boon Thye.
Menurutnya, kebiasaannya, resort tersebut akan mendapat tempahan penuh ketika musim cuti sekolah.
“Dengan keadaan sekelilingnya yang tenang, kawasan ini kelihatan seperti sebuah perkampungan terapung yang amat sesuai untuk beristirehat,” jelasnya.
Hakcipta terpelihara