Wednesday, July 9, 2014

Kekal Sihat Masa Bercuti

Melancong bukan sekadar berehat tetapi yang lebih penting ialah mesti kekal sihat. Tiada guna pergi bercuti di destinasi menarik atau menerusi pakej mewah walhal anda terlantar di katil hospital atas sebab-sebab kesihatan. Berikut antara panduan untuk persediaan anda memastikan tahap kesihatan sentiasa baik sepanjang percutian.

* Dapatkan suntikan vaksin sebelum pergi melancong khasnya negara yang memerlukan pelancong disuntik vaksin tertentu sebelum dibenarkan masuk.

* Bawa bersama salinan maklumat kesihatan peribadi anda dan disimpan selamat di dalam beg berasingan yang mudah dicapai ketika berlaku kecemasan.

* Jangan minum air terus daripada paip tetapi digalakkan mengambil minuman yang dibotolkan, air berkarbonat atau masak sahaja air lebih selamat.

* Guna straw untuk minum air dalam tin tetapi jika tiada straw disediakan, lap permukaan tin bagi bersihkan karat logam atau tuang air ke dalam gelas.

* Elak makan sayur-sayuran mentah atau buah-buahan segar yang dibasuh dengan air paip, sebaliknya guna air masak untuk bersih makanan tersebut.

* Pastikan anda sudah menjalani temujanji doktor gigi sebelum pergi bercuti atau bawa dokumen rawatan pergigian sebagai langkah berwaspada.

* Rujuk dengan pemandu pelancong atau pihak berkuasa mengenai lokasi klinik atau hospital tempatan yang berdekatan dengan tempat anda melancong.

* Jika ada alahan pada sesuatu, tulis dalam bahasa tempatan untuk dimaklumkan pada restoran atau petugas perubatan jika diserang alergik.

* Ambil perlindungan insurans atau takaful sekiranya bercuti di negara diketahui berisiko wabak penyakit, perang atau bencana alam.

                
Kesihatan perlu dipelihara sepanjang percutian untuk memastikan aktiviti pelancongan anda berjalan lancar tanpa masalah.