Sunday, April 6, 2014

Jejak warisan bumi Perak



Sebelum menyambut ketibaan bulan Ramadan yang lalu, penulis berkesempatan menyertai program lawatan anjuran Gaya Travel Magazine sempena Celebrating 1 Malaysia Truly Asia (C1MTA). Kunjungan ini sangat menarik kerana destinasi yang dituju merupakan negeri kelahiran penulis iaitu Perak Darul Ridzuan.

Destinasi pertama yang kami kunjungi adalah Kellie's Castle yang cukup terkenal dengan cerita seramnya. Pada masa kecil dahulu, nenek penulis pernah menceritakan tentang lokasi ini serta cerita di sebalik pembinaan rumah agam tersebut.

Selepas merasai suasana seram di Kellie's Castle, kami berkunjung pula ke Tin Dredge Heritage. Untuk pengetahuan pembaca, lokasi ini suatu ketika dahulu merupakan kawasan yang aktif dengan aktiviti melombong bijih timah dan terdapat kapal korek dipamerkan di situ.

Puas berjalan di kawasan sekitar, rombongan meneruskan lawatan ke Lost World Of Tambun iaitu sebuah taman tema yang terletak dalam kawasan yang kaya dengan flora dan fauna. Setelah penat berjalan, kami berehat sambil menikmati kopi pekat dan roti bakar sebelum berehat di bilik penginapan masing-masing.

Hari kedua di Perak, penulis bersama peserta lain menuju ke Stesen Keretapi Ipoh yang menjadi nadi kepada perkembangan sejarah bandar raya itu. Di sini, kami dapat menjejaki tapak warisan lama Ipoh dan sedikit demi sedikit penulis dapat mengetahui pelbagai kisah dan sejarah ibu negeri Perak ini.

Kami kemudiannya melawat ke Gerbang Malam iaitu sebuah bazar yang hanya dibuka pada waktu malam. Sama seperti bazar di ibu negara yang dikenali sebagai 'downtown', bazar ini menawarkan pelbagai barangan pada harga yang sangat berpatutan.

Peluang berkenaan juga digunakan oleh kami bersama penganjur untuk mengedarkan buku serta cenderahati kepada pengunjung di kawasan sekitar bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014. Selepas lawatan ini, kami balik ke bilik masing-masing untuk berehat.

Masuk hari ketiga, kami bertolak ke Lenggong untuk melawat Galeri Arkeologi Lenggong. Kita biasanya didedahkan dengan kisah kehebatan pengkaji barat menemui rangka manusia zaman batu tetapi tahukah anda bahawa pasukan penyelidik tempatan telah menemukan rangka manusia purba di Lembah Lenggong.

Di sinilah, para arkeologi tempatan menjumpai rangka manusia yang berusia kira-kira 10,000 tahun Sebelum Masihi di Gua Gunung Runtuh. Ia diberi nama sebagai Perak Man dan telah diiktiraf sebagai rangka manusia tertua dan paling lengkap di Asia Tenggara.

Hari terakhir di bumi Perak, kami dibawa menikmati sajian enak di Ayam Penyet Mydin Meru Jaya. Kami makan tengah hari di situ sebelum bertolak ke Muzium Lama Gopeng. 

Muzium ini banyak menyimpan warisan barang-barang antik seperti kamera, ubat gigi zaman duhulu, perabot lama, kipas lama dan banyak lagi. Selepas itu, kami dibawa pula melawat Muzium Perlombongan Bijih Timah Kinta di Kampar. Banyak ilmu dapat ditimba tentang sejarah bijih timah di muzium tersebut.

Lawatan kali ini cukup bermakna buat penulis. Berada di kampung halaman sendiri untuk belajar susur galur kehidupan kita sememangnya mengujakan. Ia juga menjadi satu pengalaman yang tidak ternilai.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20140816/pl_01/Jejak-warisan-bumi-Perak#ixzz3FYlkV5zM
© Utusan Melayu (M) Bhd