Tuesday, October 7, 2014

Citra kolonial YY48

STEVEN bergambar di kaunter penyambut tetamu Hotel YY48 di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur baru-baru ini.


MEMILIH hotel murah dan selesa menjadi keutamaan kepada mereka yang berkunjung ke ibu kota untuk bercuti atau atas tuntutan kerja.
Lokasi yang strategik seperti terletak di pusat bandar selain kemudahan pengangkutan antara kriteria utama pemilihan.
Bagi memenuhi kehendak pelanggan tersebut, Hotel YY48 yang terletak di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur antara hotel bajet yang boleh dipertimbangkan.
Pengarah Eksekutif Rangkaian Hotel Y&Y, Steven Yong berkata, harga yang berpatutan merupakan tarikan kepada Hotel YY48.
“Soal keselesaan dan keselamatan turut diberi perhatian serta boleh dikatakan ia setaraf dengan hotel-hotel eksklusif,” ujarnya ketika ditemui pada perasmian hotel tersebut baru-baru ini.
Dari segi lokasi, pasti Hotel YY48 memberi banyak kelebihan kepada para pelanggan selain berdekatan dengan pengangkutan awam.
Misalnya, jarak hotel tersebut dengan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek hanya 200 meter manakala Pudu Sentral pula kira-kira 500 meter.
“Disebabkan itu, ia memudahkan pelanggan untuk bergerak ke lokasi-lokasi menarik yang menjadi tumpuan pelancong,” jelas Steven.

HOTEL YY48 terletak di lokasi tumpuan pelancong dan berhampiran kemudahan pengangkutan awam seperti LRT.


Dengan hanya berjalan kaki kira-kira 200 meter, pelanggan boleh mengunjungi salah sebuah bangunan bersejarah iaitu Bangunan Sultan Abdul Samad yang berdekatan dengan Dataran Merdeka.
Bagi mengawal keselamatan pelanggan, Hotel YY48 mewujudkan sistem kad akses yang hanya membenarkan mereka berada di tingkat bilik penginapan.
“Ini bermaksud, kad tersebut tidak boleh digunakan untuk berada di tingkat lain bagi tujuan keselamatan pelanggan,” terang Steven.
Terdapat 80 bilik di hotel tersebut yang dibahagikan kepada empat pilihan iaitu Double Standard, Deluxe Twin, Family dan Loft. Setiap bilik diceriakan dengan lima warna menarik iaitu merah jambu, biru, hijau, perang dan kuning.
Dekorasi bilik disusun ringkas dan dilengkapi televisyen, bilik air serta pendingin hawa. Uniknya, seni bina luaran hotel tersebut masih mengekalkan struktur warisan sejarah.
Ia boleh dilihat menerusi setiap tingkap hotel dan beranda yang mempunyai sentuhan kolonial.
Bersempena dengan pembukaan hotel tersebut, harga istimewa ditawarkan hingga November 2014 iaitu bermula RM80 hingga RM120. Harga asal bermula dari RM100 hingga RM140 mengikut jenis bilik.
Selain Hotel YY48, terdapat dua lagi hotel di bawah rangkaian hotel Y&Y iaitu di YY38 di Bukit Bintang dan YY318 di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.
Hakcipta terpelihara