Friday, August 8, 2014

Kali Pertama Naik Kapal Terbang

Kapal terbang merupakan salah satu pengangkutan yang boleh anda guna untuk pergi ke destinasi pilihan sama ada dalam negara mahupun luar negara. Jika ini kali pertama anda ingin menaiki kapal terbang, berikut diberi panduan yang boleh jadi rujukan.

* Tiket Penerbangan - Perkara pertama ialah anda menempah tiket sama ada atas talian, terus ke kaunter tiket atau agensi pelancongan. Tempahan secara talian sebenarnya adalah lebih baik dijadikan pilihan sebab mudah dan cepat.
Pembelian tiket biasanya hanya memerlukan anda untuk isi butiran maklumat diri iaitu nama, nombor Mykad, alamat dan seumpamanya. Jika anda menempah tiket antarabangsa, butiran peribadi pasport wajib diberikan.

* Daftar Masuk - Jika lapangan terbang saiz kecil, kaunter daftar masuk tidak banyak dan anda boleh nampak kaunter tersebut. Untuk penerbangan dalam negeri, anda hanya perlu tunjuk kad pengenalan sebelum diberi pas berlepas.
Setiap syarikat penerbangan ada peraturan tersendiri mengenai berat beg yang boleh daftar masuk, sila rujuk ini masa buat tempahan tiket. Bagasi tangan yang boleh dibawa naik ke dalam kapal terbang biasanya tidak lebih 7 kilogram.

Kawalan keselamatan - Anda boleh menuju ke pintu berlepas mengikut butiran dicetak di atas pas berlepas dan ada pemeriksaan keselamatan. Jika domestik, pemeriksaan biasanya tidak terlalu ketat, makanan dan minuman pun boleh dibawa masuk tanpa masalah kecuali ada pegawai yang cerewet.
Namun jika penerbangan antarabangsa, ada beberapa larangan yang perlu dipatuhi, sila rujuk papan info barangan larangan di sekitar lapangan terbang. Selepas melepasi kawalan keselamatan, sila pergi ke pintu ditetapkan dan sentiasa dengar pengumuman jika ada perubahan atau penerbangan lewat.

Menaiki pesawat - Apabila pengumuman panggilan masuk, anda perlu bertenang sebab panggilan pertama untuk penumpang istimewa seperti warga emas, ibu hamil dan orang cacat. Panggilan seterusnya akan dibuat mengikut barisan tempat duduk dan rujuk nombor kerusi tempahan anda.
Sebaik memasuki pesawat, boleh minta bantuan pramugari jika tidak pasti di mana kedudukan kerusi anda. Kemudian letak bagasi tangan di ruangan di atas atau di depan tempat duduk anda. Pasang kemas tali keledar, kerusi ditegakkan dan aktifkan mod penerbangan untuk gajet elektronik anda.


Anda perlu berada di terminal perlepasan sekurang-kurangnya 2 jam lebih awal sebelum jadual penerbangan untuk mengelak panik.