Monday, October 6, 2014

Ulu Dong gamit alam



BERADA seharian di Tanah Aina Fahad, Ulu Dong, Raub, Pahang menjadikan diri terasa segar dan tenang kerana dikelilingi pepohon hutan yang meliputi kawasan yang berkeluasan 37,432 meter persegi itu.
Terasa dibuai-buai sambil fikiran melayang mendengar simfoni alam antara unggas-unggas dan deruan air yang berakar dari Lata Jarum, Ulu Dong.
Hilang lelah di tubuh Ari Suwari selepas seminggu sibuk membanting tulang yang menuntut ketekunan fizikal dan emosi dalam menjalankan tanggungjawab sehariannya.
Bagi jejaka berusia 28 tahun itu, Tanah Aina Fahad mempunyai keistimewaan yang secocok dengan jiwanya yang mencintai alam semula jadi.
“Memang banyak lokasi percutian hujung minggu yang terdapat di Malaysia tetapi saya lebih gemar untuk berada dekat dengan flora dan fauna.
“Tanah Aina Fahad menjanjikan kesegaran dan ketenangan yang jarang sekali dirasai, terutamanya kepada penduduk di ibu kota,” ujar Ari yang turut ditemani oleh adiknya, Aan, 24.
Tanah Aina Fahad merupakan lokasi baharu yang diperkenalkan oleh pengusahanya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.
Selain Tanah Aina Fahad, terdapat lima lagi lokasi percutian di bawah kendalian Tanah Aina Sdn. Bhd. iaitu Tanah Aina Farrah Soraya (Raub), Tanah Aina Farouq (Mukim Tras, Raub), Tanah Aina Fareena (Bentong), Tanah Aina Farhana (Desaru) dan sebuah Restoran Tanah Aina Azareena di Bentong.

KAWASAN seluas 12,140 meter persegi dikhususkan untuk tapak perkhemahan.


Bakal dibuka sepenuhnya pada bulan depan, Tanah Aina Fahad menekankan konsep perkhemahan yang menempatkan pengunjung di sebuah khemah berdekatan sungai.
Kawasan seluas 12,140 meter persegi dikhususkan untuk tapak perkhemahan yang mampu menempatkan 20 khemah dalam satu-satu masa.
Sebuah khemah boleh memuatkan seramai empat hingga lima orang yang turut dilengkapi katil, tilam dan kipas.
Konsep perkhemahan tersebut dipilih berdasarkan struktur muka bumi Tanah Aina Fahad yang dikelilingi hutan simpan semula jadi.
Ia terletak di kawasan Hutan Simpan Gunung Benom di bawah kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang. Disebabkan itu, pengunjung bakal menikmati keadaan hutan sebenar yang dihuni oleh hidu- pan flora dan fauna.
Berkesempatan mengunjungi kawasan ekopelancongan itu, pengunjung berpeluang melihat pelbagai variasi burung yang bebas berterbangan, antaranya burung murai, serindit dan merbah.
Bagi mengekalkan momentum tersebut, pengunjung juga diminta untuk menyediakan makan dan minum sendiri bagi mewujudkan semangat berdikari dalam diri mereka.
“Kami akan menyediakan kemudahan memasak seperti dapur, peralatan memasak dan bahan memasak mengikut permintaan mereka,” ujar Shariffa Sabrina.
AAN (kiri) dan Ari memilih bercuti hujung minggu di Tanah Aina Fahad.

Selain itu, Tanah Aina Fahad juga mempunyai anak sungai yang lebih luas berbanding Tanah Aina Farrah Soraya iaitu kira-kira satu kilometer.
Ia membolehkan pengunjung melakukan aktiviti air selain melihat ikan-ikan sungai yang terdapat di situ seperti ikan kelah dan tengas.
Dalam masa terdekat, pengunjung berpeluang mengikuti aktiviti flying fox yang merentasi sungai Lata Papan hingga sejauh 200 meter. Bagi penggemar aktiviti air yang lebih mencabar, aktiviti tubing di Sungai Chekas pasti memuncak adrenalin pemain.
Binatang liar
Selain itu, terdapat beberapa aktiviti yang boleh disertai oleh pengunjung seperti merentas Hutan Simpan Gunung Benom dengan jarak perjalanan sejauh empat kilometer.
Jika bernasib baik, kelibat binatang liar seperti kijang, kambing gurun atau kancil mungkin menemani perjalanan pengunjung yang mengambil masa selama dua hingga tiga jam.
Fasiliti lain yang tersedia di Tanah Aina Fahad ialah sebuah bangunan yang menempatkan dewan terbuka di bahagian bawah dan bilik dorm di tingkat atas.
Dewan terbuka berkeluasan 240 meter persegi itu boleh diguna pakai untuk mesyuarat atau melakukan aktiviti tertutup. Ia turut menyediakan kemudahan seperti meja ping pong dan pool.
Bilik dorm pula menempatkan enam bilik kongsi yang mampu memuatkan seramai 38 orang.
Uniknya, seperti di Tanah Aina Farrah Sofiya, seni bina bangunan di Tanah Aina Fahad juga menggunakan pokok buluh sebagai bahan utama.

KHEMAH dilengkapi dengan kemudahan seperti katil, tilam dan kipas.


Ia mengambil inspirasi rumah buluh dari negara jiran, Indone- sia dalam kebanyakan rekaan luaran bangunannya. Ciri alam semula jadi itu memberi keisti- mewaan kepada jenama Tanah Aina yang terus mengekalkan keindahan flora dan fauna.
Pengunjung hanya dikenakan bayaran sebanyak RM100 seorang bagi penginapan khemah dua hari satu malam manakala bayaran RM500 bagi sewaan dapur untuk 20 orang.
“Deposit sebanyak RM100 bagi sewaan dapur akan dipulangkan jika tiada sebarang kerosakan pada alatan memasak tersebut,” jelas Shariffa Sabrina.
Ruang memasak itu lengkap dengan peti sejuk untuk simpanan bahan basah dan set pemanggang bagi aktiviti barbeku.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0925&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_01.htm#ixzz3F43vzAFI 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment