Thursday, April 10, 2014

Hujung minggu di Janda Baik


GAYA hidup sibuk dan penuh tekanan tidak harus dijadikan penghalang untuk menikmati kehidupan berkualiti untuk diri sendiri. Justeru, cuti panjang sempena Hari Kemerdekaan baru-baru ini, penulis bersama dua rakan berkunjung ke Janda Baik, Pahang.

Perkampungan Melayu di lereng Banjaran Titiwangsa, daerah Bentong itu terletak kira-kira 600 meter dari paras laut. Ia terkenal dengan udaranya yang dingin dan suasana persekitarannya yang nyaman.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke perkampungan itu sangat mudah. Janda Baik terletak kira-kira 40 kilometer (km) dari ibu negara. Ia boleh didatangi melalui Lebuh Raya Karak.

Perjalanan menaiki kereta hanya mengambil masa kira-kira 45 minit di mana pelancong dikehendaki menyusur keluar ke persimpangan Genting Sempah menuju ke Janda Baik.

Di pintu masuk, terdapat puluhan papan tanda calet-calet dan resort di kawasan itu. Malah, papan tanda itu seolah-olah bertindak menjadi pemandu arah, sekali gus menyambut kedatangan pelancong-pelancong tempatan mahupun luar negara.

Tanpa berlengah, penulis menuju ke Harmony Excellence Resort yang terletak di Lorong Chemperoh Satu untuk penginapan memandangkan hari sudah semakin petang.

Keunikan resort ini adalah ia sangat mesra dengan keperluan pelancong Islam, selain memiliki prasarana lengkap untuk menjalankan aktiviti riadah terutama bina diri.

Terdapat surau, WiFi, dewan makan, astaka, Astro dan pendingin hawa mengikut jenis bilik, selain parkir kereta. Bukan itu sahaja, pelancong atau peserta kem bina diri tidak perlu risau dengan keselamatan mereka kerana kawasan resort dikelilingi pagar.

Sementara mengisi masa lapang pada waktu petang dan malam, pengunjung yang gemar beriadah boleh melakukan aktiviti seperti berakit, memancing, berkhemah dan paintball. 

Manakala, pelancong yang sekadar mahu bersantai, terdapat gelanggang badminton dan bola tampar disediakan, selain berehat di astaka sambil bermain congkak dan karom. 

Setelah penat beriadah dan bersukan, pengunjung boleh mengadakan aktiviti barbeku di tepi sungai pada sebelah malam.

Lari dari kesibukan kota metropolitan Kuala Lumpur, pelbagai aktiviti boleh dilakukan pada hari berikutnya di resort ini dan tidak hanya terbatas untuk kegiatan riadah atau bina diri sahaja.

Bagi mereka yang menggemari aktiviti lasak, boleh melakukan aktiviti seperti berakit, memancing, berkhemah, merentas hutan dan sungai.

Selain itu, pengunjung juga mempunyai pilihan untuk mendaki bukit untuk ke air terjun berdekatan seperti air terjun Ulu Tampit yang popular dengan tingkat-tingkat tertentu mengikut ketinggian semula jadi yang dimilikinya.

Untuk merasai pengalaman unik dan menyaksikan flora dan fauna ciptaan Allah SWT yang mengkagumkan ini, khidmat pemandu pelancong disediakan di sini.

Tidak hairanlah sepanjang berada di situ, pengunjung masih boleh menikmati udara segar dan sejuk. Pada sebelah malam pula, ada kalanya suasana nyaman dan sejuk itu mampu mencatatkan suhu sehingga 23 darjah celsius.

Menurut pemilik resort, Nor Hashim Abdullah, matlamat utama resort itu diwujudkan ialah menjadikannya sebagai sebuah pusat sehenti program bina diri dan percutian khususnya bagi mengisi cuti hujung minggu.

"Kelebihan perkhidmatan kami adalah sentiasa fleksibal dan mendahulukan keselesaan pengunjung," katanya.

Tambah Nor Hashim, sebarang tempahan boleh dilakukan melalui panggilan telefon atau laman sosial, Facebook. Malah, tempahan yang dilakukan oleh pihak institusi pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan akan diberikan pakej harga istimewa.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20140906/pl_01/Berhujung-minggu-di-Janda-Baik#ixzz3FYoH4UXM
© Utusan Melayu (M) Bhd