Thursday, October 2, 2014

Kenangan panggung opera

RUANG legar yang dikhaskan untuk pengunjung dan penonton menunggu sebelum pertunjukan bermula.


ADAKAH anda pernah mendengar seseorang menyebut mengenai The Phantom of The Opera? Karya sastera nukilan Gaston Leroux itu sangat popular dalam kalangan golongan remaja terutama apabila ia menghasilkan sebuah filem yang menampilkan pelakon tampan, Gerard Butler.
Sama ada novel atau filem, The Phantom of The Opera begitu teliti menceritakan suasana di Panggung Opera iaitu sebuah panggung teragung di Paris, Perancis yang kini terletak di persimpangan jalan Rue Scribe dan Rue Auber.
Kini, panggung itu mempunyai keluasan panjang 172.70 meter, lebar 124.85 meter, tinggi 81.60 meter dan sedalam 10.13 meter.
Panggung Opera itu lebih dikenali dengan nama Perancis, Palais Garnier. Dahulunya, Palais Garnier memiliki pelbagai nama dan sejarah. Nama Panggung Opera itu sering bertukar seiring dengan pertukaran kerajaan Perancis.
Seawal tahun 1858, Palais Garnier dikenali sebagai La Salle Le Peletie. Maharaja ketika itu ialah Napoleon III, Louis-Napoléon Bonaparte telah bertitah kepada Baron Haussmann untuk membina semula kota Perancis.
Baron Haussmann sebagai pengawas pengurusan bandar memutuskan untuk membina semula panggung itu kerana sangat kecil.
Pada tahun 1860, Haussmann mengadakan satu pertandingan terbuka untuk semua arkitek bagi menunjukkan bakat seni bina mereka dalam memberikan nafas baharu kepada Panggung Opera itu.
Sebanyak 171 karya seni bina diserahkan kepada Haussmann termasuk daripada seorang arkitek agung ketika itu, Eugène Emmanuel Viollet-le-Duc.
Namun, seorang arkitek biasa, Charles Garnier yang ketika itu berusia 35 tahun mendapat undian sebulat suara. Garnier menjadi arkitek rasmi yang menggarap seni bina Panggung Opera pada tahun 1861.
Tragisnya, pada tahun 1869, La Salle Le Peletier ranap dijilat api. Selepas kebakaran itu, kerajaan Perancis meminta Garnier untuk membaikpulih kembali panggung agung itu secepat yang mungkin.
Garnier menghimpunkan penukang, pelukis serta pengukir yang paling hebat di Perancis untuk membantunya memulihkan Panggung Opera itu. Akhirnya, karya seni bina Garnier dinobatkan sebagai karya yang teragung bercirikan sentuhan Itali.
Pelancong yang datang ke Perancis pasti akan terpukau dengan seni bina Panggung Opera itu. Garnier menghiasi luaran panggung dengan monumen simbolik seperti patung seniman terkenal, Beethoven dan Mozart.

AUDITORIUM agung kekal dengan elemen Perancis meskipun reka bentuk keseluruhan berkonsep Itali.


Jika seni bina luar mampu memukau para pelancong, hiasan dalaman Palais Garnier mampu membuatkan mereka ternganga mahupun pengsan seketika.
Di dalamnya, terdapat enam tempat unik iaitu Muzium Perpustakaan Opera, Auditorium, Tangga Utama Charles Garnier, Rotundas, Foyer serta siling Marc Chagall.
Rotundas merupakan kawasan legar khas yang terletak di bawah Auditorium Panggung Opera kerana golongan elit sahaja layak berada di situ. Penonton biasa akan menunggu di foyer sebelum berlangsungnya pertunjukan.
Namun, golongan elit Perancis dikenali sebagai subscribers akan berada di Rotundas dan memasuki pintu yang berlainan daripada penonton biasa. Terdapat tiga bilik khas mengikut pilihan golongan itu seperti The Ice Room, The Sun Room dan The Moon Room.
Meskipun panggung opera itu mempunyai sentuhan Itali, Auditorium kekal dengan sentuhan Perancisnya. Auditorium setinggi lima tingkat itu berbeza-beza dari segi lantai, kerusi dan lain-lain mengikut tingkat. Secara keseluruhannya, Auditorium itu mampu menempatkan sebanyak 2,013 orang dan diperbuat daripada besi walaupun berlantai marmar dan berhamparkan baldu berwarna merah.
Pelancong yang ingin melihat Palais Garnier dengan lebih dekat seharusnya merancang dahulu perjalanan ke sana kerana ia dibuka untuk lawatan pada masa-masa tertentu sahaja.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0925&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_04.htm#ixzz3F40uFxMV 
Hakcipta terpelihara