“Sebenarnya ramai dalam kalangan penduduk di sini berkebolehan mendayung perahu, tidak kiralah sama ada lelaki mahupun wanita,’’ kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kurung Tengar, Arani Mahmud.

Sehubungan itu, katanya, timbul idea untuk menggunakan kemahiran ini bagi menarik pelancong, sekali gus dapat menggembalikan nostalgia perahu tambang kepada orang ramai yang mana dahulu ia digunakan sebagai pengangkutan utama sebelum diambil alih oleh pengangkutan moden selepas pembinaan jalan raya.

Katanya, ada baiknya aktiviti berperahu ini dikomersialkan kerana ia dapat menarik orang luar khususnya pelancong merasai pengalaman menaiki perahu tambang.

Arani menambah sungguhpun setakat ini hanya dua orang sahaja yang bertanggungjawab mengayuh perahu tambang secara tetap tetapi kelak tanggungjawab itu akan diselang-selikan dengan orang lain secara bergilir.

Lagi pun katanya, semua penduduk sanggup berganding bahu kerana hasil keuntungan itu akan dimasukkan ke dalam Koperasi Serbaguna Penduduk Kampung Tengar yang baru sahaja ditubuhkan.

Katanya, dengan adanya aktiviti ini, ia sekali gus merangsang penduduk untuk mempergiatkan usaha membersih dan mencantikkan kawasan rumah masing-masing termasuk di sepanjang sungai.


“Tambahan pula, kami memang menggunakan bahan terbuang seperti tayar dan sebagainya untuk dipakai semula bagi mengindahkan landskap kampung ini,’’ katanya.

Dalam pada itu, katanya, kesemua penduduk juga akan bergotong-royong memastikan sampah sarap di sungai dikutip supaya sungai dapat mengalir tanpa halangan dan bersih.

Beliau berkata, perkhidmatan bagi sesiapa yang ingin menaiki perahu tambang ini bermula dari pukul 9 pagi hingga 6 petang pada setiap Sabtu dan Ahad.


Katanya, orang ramai berpeluang menyusuri sungai sejauh 500 meter yang mana waktu perjalanan adalah sekitar 30 minit.

Arani juga berkata, setiap perahu itu boleh memuatkan lapan orang dewasa dalam satu-satu masa.
“Harga tiket RM4 untuk dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak,’’ katanya. 

Beliau berkata, daripada kutipan RM4 itu, sebanyak RM2 akan diberikan kepada pemilik perahu, RM1 untuk pendayung dan RM1 untuk tabung Koperasi Serbaguna Kampung Kurung Tengar.

Katanya, pihaknya juga mengutamakan keselamatan di mana setiap penumpang akan diwajibkan memakai jaket keselamatan.

Salah seorang pendayung wanita, Jamilah Hassan, 52, memberitahu beliau sanggup membawa penumpang menaiki perahu tambang itu jika khidmatnya diperlukan.



“Tidak sukar untuk mendayung perahu kerana saya telah mempelajarinya sejak berusia 12 tahun lagi apabila sering mengikut ayah ke laut untuk menangkap ikan,” katanya.

Jelas wanita itu lagi, dengan peluang tersebut, ia sekurang-kurangnya memberikan ia pengalaman baharu kerana dapat membawa penumpang luar menikmati suasana kehidupan di kampungnya.

Salah seorang penduduk, Rohani Lebai Senapi, 46, berkata, dengan adanya perkhidmatan perahu tambang ini, ia akan menjadikan Kampung Kurung Tengar popular sebagai destinasi pelancongan dari dalam dan luar Perlis. 

Selain itu, katanya, pelancong juga berpeluang membeli pelbagai produk keluaran penduduk kampung seperti belacan, pekasam, ikan kering dan kuih tradisional untuk dibawa pulang ke rumah atau dijadikan ‘buah tangan’ untuk keluarga atau kenalan.

Sesiapa yang berminat untuk mengikuti aktiviti berperahu ini, boleh menghubunginya di talian 012-4376276.