Tuesday, July 8, 2014

Bercuti Guna Kereta Sewa

Melancong dengan memandu kereta sewa sebenarnya ada banyak faedah malah ia cukup popular di Australia, Amerika Syarikat dan benua Eropah bagi pelancong berkumpulan atau berkeluarga. Ikuti beberapa sebab anda patut memilih perkhidmatan kereta sewa sebagai cara menikmati percutian.

Lebih kebebasan - Anda bebas untuk memilih waktu sendiri dan tidak perlu terkejar-kejar dengan jadual perjalanan padat jika menggunakan bas persiaran yang perlu mematuhi tempoh masa tertentu. Ini bermakna anda menikmati percutian dengan lebih banyak masa diluangkan jika perlu berada agak lama di sesuatu tempat.

Bajet rendah - Kos menyewa kereta lebih murah berbanding anda membawa kereta sendiri yang mungkin terdedah kepada kerosakan atau penyelenggaraan untuk perjalanan jarak jauh. Kebanyakan kereta sewa memiliki insurans pengembaraan jika terlibat dalam kemalangan atau perlu baik pulih jika rosak di tengah perjalanan.

Jimat minyak - Sebahagian besar syarikat kereta sewa menawarkan kenderaan kompak yang tidak terlalu besar dan memerlukan pengisian minyak lebih jarang untuk perjalanan jauh. Ini bermakna anda tidak perlu risau kehabisan minyak dalam masa singkat atau melalui kawasan sunyi yang langsung tiada stesen minyak lebih 6 jam.

Selesa santai - Kebanyakan kereta sewa sebenarnya dilengkapi kemudahan untuk perjalanan jarak jauh termasuk pendingin udara yang nyaman, ruang luas untuk simpan banyak bagasi dan kerusi dengan lapisan kusyen. Ini bermakna percutian anda boleh digunakan untuk banyak perkara dalam kenderaan yang selesa.

Selamat memandu - Jika anda menempah kereta sewa, anda akan mendapat model terbaharu yang lebih selamat untuk dipandu terutama syarikat terkenal seperti Avis, Hertz atau Alamo. Kereta yang diberi mengandungi beg udara cukup, tali pinggang keledar dan sistem pandu arah GPS selain diskaun berpatutan.


Percutian dengan menggunakan kereta sewa cukup popular dalam kalangan pelancong di benua Eropah, Australia dan Amerika Syarikat kerana jarak lokasi yang agak jauh.

No comments:

Post a Comment