Sunday, October 5, 2014

Desa tertua Amish di dunia

PENDUDUK di Lancaster County lebih gemar menggunakan kereta kuda berbanding kenderaan bermotor.


PERKAMPUNGAN Amish di Lancaster County, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) yang dihuni seramai 31,000 orang menarik kehadiran lapan juta pelancong dan menjana pendapatan kira-kira AS$1.9 bilion (RM6.65 bilion) setiap tahun.
Konvensyen Pennsylvania pada 2013 dan Biro Pelancongan Pennsylvania menyimpulkan, kesederhanaan komuniti Amish mengekalkan cara hidup seperti pada abad ke-18, menjadi faktor utama tarikan pelancong ke negeri itu.
"Industri pelancongan memberi penghormatan besar kepada komuniti Amish yang menjual selimut, pakaian dan cenderamata buatan tangan kepada para pelancong.
"Walaupun pada awalnya mereka tidak suka diganggu pelawat dari luar, golongan Amish kini mula belajar untuk mendapatkan manfaat daripada pelancongan," kata jurucakap Biro Pelancongan Pennsylvania, Joel Cliff.
Beberapa tahun lalu, kisah hidup Amish di AS digambarkan secara ekstrem menerusi dokumentari Amish Mafia dan Breaking Amish yang menceritakan penglibatan komuniti itu dalam kegiatan jenayah.
"Ia adalah gambaran yang salah terhadap Amish. Seorang keturunan Amish datang kepada saya dan menyatakan kekecewaan terhadap filem dokumentari sedemikian," kata Mary Haverstick.
Haverstick berhijrah ke Lancaster County sejak 50 tahun lalu dan berusaha keras mengetuai gerakan membantah filem-filem yang tidak menggambarkan kehidupan Amish secara tepat daripada diulang tayang.
Wanita itu menambah, kawasan ladang yang menjadi lokasi penggambaran filem Witness lakonan Harrison Ford pada tahun 1985 itu kekal sebagai destinasi terkenal dalam kalangan pelancong.
"Setiap pelancong luar yang datang ke sini akan meminta panduan arah daripada penduduk untuk pergi ke ladang itu. Ia cukup terkenal kerana menjadi lokasi penggambaran filem Hollywood," kata Haverstick.

KOMUNITI Amish menghasilkan pelbagai peralatan besi termasuk ladam kuda tanpa menggunakan mesin moden.


Pennsylvania ialah negeri yang paling ramai dihuni komuniti Amish di AS melibatkan 53 buah perkampungan tradisional Amerika. Selain Lancaster County, perkampungan lain ialah Somerset County dan Indiana County.
Lancaster County yang terletak berhampiran Chester County merupakan perkampungan Amish yang terbesar dan tertua di dunia.
Komuniti itu terkenal dengan budaya sederhana seperti cara hidup masyarakat Amerika pada abad ke-18 termasuk memakai pakaian yang tidak mempunyai corak dan enggan menggunakan teknologi canggih dalam urusan harian.
Sejarah komuniti itu bermula pada penghujung abad ke-17 apabila segolongan pendatang Belanda, Switzerland dan Jerman yang diketuai Jakob Ammann membuka penempatan di AS.
Pada awal abad ke-18, komuniti tersebut berpindah ke pedalaman Pennsylvania disebabkan beberapa faktor termasuk ingin menjauhkan diri daripada pengaruh pemikiran moden yang boleh merosakkan nilai moral.
Penduduk Lancaster County menggunakan kereta kuda berwarna gelap serta lebih selesa mengamalkan cara hidup konservatif dan tradisional.
Pertanian dan penternakan masih menjadi pekerjaan utama komuniti itu walaupun peluang untuk berjaya sebagai peladang semakin mengecil disebabkan peningkatan dalam persaingan.
Perkembangan tersebut menyebabkan generasi muda melibatkan diri dalam perusahaan hiliran kecil seperti pengeluaran makanan siap diproses dan menghasilkan perabot dengan kemahiran pertukangan tradisional.
Malah, komuniti itu juga tidak pernah melibatkan diri dalam khidmat ketenteraan di AS meskipun dipanggil secara rasmi oleh pihak berkuasa kerana bimbang terjebak dengan cara hidup moden apabila meninggalkan kampung halaman.
Perkampungan Amish tidak seperti kawasan luar bandar lain di AS yang turut dipengaruhi pemodenan. Komuniti Amish lebih gemar melakukan pekerjaan menggunakan peralatan tradisional berbanding mesin-mesin canggih.
Mereka tidak gemar memandu kenderaan bermotor dan lebih suka menaiki kereta kuda. Selain itu, mereka juga lebih suka membasuh pakaian dengan cucian tangan walaupun menikmati bekalan elektrik. Kerja ladang pula dibantu mesin bajak yang ringkas dan bukan jentera canggih.
GOLONGAN Amish menghasilkan pelbagai jenis cenderahati.
Cara hidup sedemikian menjadikan persekitaran di perkampungan Amish bebas daripada pencemaran serius dan ia mendorong para pelancong dari bandar untuk merasai suasana nyaman apabila bercuti di kawasan pedalaman.
Selain cara hidup tradisional golongan Amish yang menjadi produk pelancongan utama di Pennsylvania, terdapat banyak tarikan lain di sekitar Lancaster County.
Tarikan lain seperti kereta api enjin wap yang menyediakan perkhidmatan mengangkut pelancong mengelilingi kawasan ladang di perkampu- ngan Amish.
Perjalanan selama 45 minit tersebut bermula di Stesen Kereta Api Starsburg yang merupakan salah satu stesen kereta api wap tertua dan masih beroperasi di AS walaupun hanya melibatkan perjalanan sekitar Lancaster County.
Di samping itu, para pelawat juga berpeluang menaiki kereta kuda tradisional seperti abad ke-18 sambil menikmati suasana desa di perkampungan tersebut.
Bagi melihat pemandangan perkampungan tersebut dari udara, pelawat boleh mendapatkan khidmat belon panas yang disediakan di ladang-ladang.
Pengunjung yang berkeluarga pula boleh membawa anak-anak mereka bersuka ria di Dutch Wonderland yang menyediakan taman tema air serta roller-coaster bagi menikmati percutian di situ. - Reuters
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0925&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_02.htm#ixzz3F43DIBMI 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment